Surah 6: Al-An’am (141)

Perintah untuk Mengeluarkan Zakat

Surah 6: Al-An’am (141)


Ayat 141

وَهُوَ ٱلَّذِىٓ أَنشَأَ جَنَّـٰتٍ مَّعْرُوشَـٰتٍ وَغَيْرَ مَعْرُوشَـٰتٍ وَٱلنَّخْلَ وَٱلزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُۥ وَٱلزَّيْتُونَ وَٱلرُّمَّانَ مُتَشَـٰبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَـٰبِهٍ ۚ كُلُوا۟ مِن ثَمَرِهِۦٓ إِذَآ أَثْمَرَ وَءَاتُوا۟ حَقَّهُۥ يَوْمَ حَصَادِهِۦ ۖ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ

Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menciptakan tumbuh-tumbuhan dalam pelbagai jenis dan bentuk, ada yang merayap, ada yang memanjat seperti pokok anggur dan ada pula tegak berdiri seperti pohon kurma. Begitu juga dengan pelbagai bentuk, saiz, warna dan rasa seperti buah zaiton dan delima. 

Semua nikmat kurniaan Allah Ta’ala ini adalah untuk manfaat hamba-hambaNya sebagai tanda rahmat dan kasih sayangNya. Oleh itu, Dia menyuruh mereka memakan hasil buahnya apabila telah berbuah dan mengeluarkan zakat yang wajib atasnya pada hari hasilnya dipetik atau dituai. Dia juga mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas-batas dalam urusan harta iaitu tidak terlalu boros atau terlalu bakhil. Begitu juga dengan makanan, manusia diingatkan agar bersederhana tidak terlalu kenyang dan membazir. Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.