Keadaan Jin dan Orang Kafir pada Hari Kiamat
Surah 6: Al-An’am (128 – 130)
Ayat 128
وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ قَدِ ٱسْتَكْثَرْتُم مِّنَ ٱلْإِنسِ ۖ وَقَالَ أَوْلِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلْإِنسِ رَبَّنَا ٱسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلْتَ لَنَا ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثْوَىٰكُمْ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
Allah Ta’ala menjelaskan keadaan orang-orang yang zalim pada hari kiamat nanti. Dia akan mengumpulkan orang-orang yang sesat dan menyesatkan daripada golongan jin atau syaitan dan manusia di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan berfirman kepada segolongan jin (syaitan), kerana merekalah yang menjadi punca kepada kesesatan manusia dengan pujukan mereka untuk melakukan kesyirikan, kekafiran, dan kemaksiatan.
Maka kawan-kawan syaitan ini yang terdiri daripada golongan manusia memberikan pengakuan kepada Allah Ta’ala terhadap apa yang terjadi, iaitu mereka telah saling mendapatkan kesenangan. Manusia memanfaatkan jin melalui perbuatan sihir, tenung nasib, dan juga tergoda untuk melakukan kemaksiatan dan sebagainya. Golongan jin berasa bangga kerana mereka dijadikan rujukan, penguasa dan ikutan manusia sehingga tiba waktu yang telah dijanjikan iaitu hari pembalasan.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memberikan keputusan kepada mereka bahawa nerakalah tempat mereka buat selama-lamanya, kecuali jika Dia menghendaki yang lain. Allah Swt mempunyai kekuasaan yang tidak terbatas dalam segala hal.
Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Bijaksana dalam meletakkan sesuatu pada tempatnya, menyeksa orang-orang yang berdosa dengan keadilan-Nya dan memasukkan orang yang bertakwa ke dalam syurga dengan anugerah-Nya. Dia Maha Mengetahui siapa yang berbuat baik dan siapa yang berbuat jahat.
Ayat 129
وَكَذَٰلِكَ نُوَلِّى بَعْضَ ٱلظَّـٰلِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).
Pada ayat sebelum ini dinyatakan bahawa syaitan-syaitan daripada jin dapat menguasai manusia-manusia menjadi kufur, sehingga menjadikan syaitan-syaitan itu kawan-kawan mereka. Dalam ayat ini pula, Allah Ta’ala menyatakan bahawa dijadikan manusia zalim saling menguasai antara satu sama lain di dunia disebabkan kemaksiatan-kemaksiatan yang telah mereka lakukan.
Allah Ta’ala menyatakan sebagaimana adanya persahabatan antara jin dan manusia, Dia juga menjadikan sebahagian orang-orang yang zalim (mensyirikkan-Nya) sebagai teman dan penolong kepada sebahagian yang lain sebagaimana sebahagian orang-orang mukmin menjadi teman kepada sebahagian yang lain, firman-firman-Nya:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah daripada yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
At-Taubah 9:71
“Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (wahai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
Al-Anfal 8:73
Ayat 130
يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِى وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَآءَ يَوْمِكُمْ هَـٰذَا ۚ قَالُوا۟ شَهِدْنَا عَلَىٰٓ أَنفُسِنَا ۖ وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا وَشَهِدُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا۟ كَـٰفِرِينَ
Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat-Ku (perintah-perintah-Ku), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)”. Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).
Allah Ta’ala menambahkan lagi celaan-Nya terhadap orang-orang yang zalim dan ancaman-Nya kepada orang-orang kafir yang terdiri daripada jin dan manusia. Dia menjelaskan keadaan mereka pada hari kiamat dengan pertanyaan-Nya yang penuh dengan penegasan, ancaman dan penghinaaan tentang kedatangan para rasul yang telah diutus-Nya untuk menyampaikan berita gembira dan ancaman serta tentang Hari Kebangkitan.
Lalu mereka menjawab pertanyaan tersebut dengan mengakui tentang kedatangan para rasul yang telah datang menyampaikan peringatan tentang Hari Perjumpaan dengan Allah Ta’ala itu pasti berlaku. Firman-Nya:
“Mereka menjawab: “Benar ada,” sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan(nya) dan kami katakan, ‘Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar.'”
Al-Mulk 67:9
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa mereka sebenarnya tertipu oleh kehidupan dunia dengan hiasan dan kenikmatannya iaitu hawa nafsu, harta, anak-anak, pangkat dan kekuasaan sehingga mereka mengabaikan perintah-Nya. Mereka binasa kerana mendustakan para rasul dengan penuh keangkuhan dan kesombongan. Mereka bersaksi terhadap diri mereka sendiri bahawa mereka dahulu di dunia mengingkari apa yang dibawa oleh para rasul.