Agama Islam Agama yang Lurus
Surah 6: Al-An’am (126 – 127)
Ayat 126
وَهَـٰذَا صِرَٰطُ رَبِّكَ مُسْتَقِيمًا ۗ قَدْ فَصَّلْنَا ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ
Dan inilah jalan Tuhanmu (agama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat – insaf.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa apa yang Dia telah jelaskan kepada Rasulullah saw itulah jalan yang menuju kepada keredhaan dan syurga-Nya. Sesungguhnya Dia telah menerangkan pelbagai bukti kepada orang-orang yang ingin mengambil pelajaran serta memiliki kefahaman tentang diri-Nya dan juga Rasul-Nya.
Ayat 127
لَهُمْ دَارُ ٱلسَّلَـٰمِ عِندَ رَبِّهِمْ ۖ وَهُوَ وَلِيُّهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Bagi merekalah Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia-lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang mahu mengambil pelajaran di sisi-Nya, pada hari kiamat kelak ada tempat tinggal yang aman dan selamat daripada segala perkara yang tidak disukai iaitu syurga.
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Dia adalah penolong dan pelindung bagi orang-orang yang beriman dan semuanya itu adalah sebagai balasan bagi mereka atas amal-amal soleh yang mereka lakukan.