Surah 6: Al-An’am (122 – 124)

Perumpamaan Orang Kafir dan Orang Mukmin

Surah 6: Al-An’am (122 – 124)


Ayat 122

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَـٰهُ وَجَعَلْنَا لَهُۥ نُورًا يَمْشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُۥ فِى ٱلظُّلُمَـٰتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا ۚ كَذَٰلِكَ زُيِّنَ لِلْكَـٰفِرِينَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).

Ini adalah perumpamaan yang dibuat oleh Allah Ta’ala untuk menerangkan perbezaan antara orang kafir dan orang mukmin. Orang mukmin dahulunya telah mati hatinya, berada dalam kegelapan dan kesesatan. Lalu Allah Swt menghidupkannya dengan cahaya iman, memberinya petunjuk dan taufik untuk mengikuti Rasul-Nya. Keimanan inilah yang telah mengubah dan memperbaiki hidupnya ke arah yang lebih baik. 

Manakala orang-orang kafir pula yang masih di dalam kegelapan, kebodohan dan kekufuran, tentulah tidak sama dengan orang-orang mukmin yang diberikan cahaya petunjuk atau keimanan. Ini sebagaimana tidak sama antara malam dengan siang, terang dengan gelap dan orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Oleh itu, mereka tidak mengetahui apa yang dapat menyelamatkan dan membebaskan daripada kesesatan. Firman Allah Swt: 

“Maka apakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya itu lebih banyak mendapatkan petunjuk atau orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?” 

Al-Mulk 67:22 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang kafir tersebut tetap memilih kesesatan dan kegelapan, padahal di hadapannya ada petunjuk dan cahaya. Ini adalah kerana Dia telah menjadikan kebodohan dan kesesatan mereka itu sesuatu yang indah bagi mereka, sebagai ketentuan dan hikmah-Nya yang sempurna. Tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) selain Dia, Yang Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. 

Ayat 123

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا فِى كُلِّ قَرْيَةٍ أَكَـٰبِرَ مُجْرِمِيهَا لِيَمْكُرُوا۟ فِيهَا ۖ وَمَا يَمْكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.

Allah Ta’ala menjelaskan kepada Rasulullah saw bahawa sebagaimana sebahagian pembesar kafir Quraisy Mekah mengambil tindakan menghalang manusia daripada agama-Nya, begitulah juga para rasul sebelumnya diuji dengan hal yang sama. Dia menjadikan di setiap negeri itu dipimpin oleh tokoh-tokoh penjahat agar mereka melakukan tipu daya dengan menghalang manusia lain daripada jalan-Nya dan juga mengajak manusia kepada kesesatan. Sesungguhnya mereka tidaklah melakukan tipu daya kecuali terhadap diri mereka sendiri sedang mereka tidak menyedarinya. 

Ibnu Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Swt, dia berkata, “Allah menjadikan orang-orang yang paling jahat di antara mereka sebagai penguasa, lalu mereka berbuat jahat di negeri itu. Jika mereka telah melakukan hal itu maka Allah pun membinasakan mereka dengan azab.” 

Ayat 124

وَإِذَا جَآءَتْهُمْ ءَايَةٌ قَالُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ حَتَّىٰ نُؤْتَىٰ مِثْلَ مَآ أُوتِىَ رُسُلُ ٱللَّهِ ۘ ٱللَّهُ أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُۥ ۗ سَيُصِيبُ ٱلَّذِينَ أَجْرَمُوا۟ صَغَارٌ عِندَ ٱللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَمْكُرُونَ

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: “Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah”. Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikan-Nya itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa apabila datang hujjah yang nyata tentang kenabian Nabi Muhammad saw kepada kaum musyrikin Mekah, maka sebahagian daripada pembesar mereka berkata bahawa mereka tidak akan mengimani kenabiannya sehingga Dia menunjukkan sebahagian daripada bukti kenabian dan mukjizat seperti yang telah diberikan kepada rasul-rasul terdahulu. 

Maka Allah Ta’ala membantah pernyataan mereka dengan mengatakan Dia lebih mengetahui di mana Dia akan meletakkan tugas kerasulan tersebut. Oleh itu, Dia mengatakan para penentang-Nya akan ditimpa kehinaan dan bagi mereka seksaan yang pedih di neraka Jahannam disebabkan tipu daya mereka terhadap kaum muslimin.