Kebanyakan Manusia Berada dalam Kesesatan
Surah 6: Al-An’am (116 – 117)
Ayat 116
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa ramai di kalangan manusia berada dalam kesesatan iaitu mereka melakukan atau mengamalkan sesuatu tidak berdasarkan kepada kebenaran, sebagaimana firman-Nya:
“Dan sesungguhnya telah sesat sebelum mereka (Quraisy) sebahagian besar daripada orang-orang yang dahulu.”
As-Saffat 37:71
Oleh itu, Allah Ta’ala mengingatkan Rasulullah saw agar tidak mengikuti kebanyakan manusia. Ini kerana kebanyakan mereka hanya mengikuti sangkaan semata-mata dalam setiap perbuatan mereka. Mereka hanya mengikuti hawa nafsu dan ajaran nenek moyang mereka serta selalu berdusta terhadap Allah Ta’ala. Padahal tidak ada alasan bagi mereka untuk mendustakan-Nya, seperti menghalalkan memakan apa yang telah diharamkan-Nya dan mengharamkan apa yang telah dihalalkan-Nya, menyatakan bahawa Allah Swt mempunyai anak dan sebagainya.
Ayat 117
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.
Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia-lah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan siapa yang berhak mendapat petunjuk lalu Dia memudahkan mereka menuju jalan-jalan tersebut. Masing-masing dimudahkan-Nya mengikut takdir yang telah digariskan-Nya.