Surah 6: Al-An’am (109 – 111)

Petunjuk dan Kesesatan Bergantung pada Kehendak Allah Swt

Surah 6: Al-An’am (109 – 111)


Ayat 109

وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ لَئِن جَآءَتْهُمْ ءَايَةٌ لَّيُؤْمِنُنَّ بِهَا ۚ قُلْ إِنَّمَا ٱلْـَٔايَـٰتُ عِندَ ٱللَّهِ ۖ وَمَا يُشْعِرُكُمْ أَنَّهَآ إِذَا جَآءَتْ لَا يُؤْمِنُونَ

Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang musyrik itu bersungguh-sungguh bersumpah dengan nama-Nya bahawa jika datang mukjizat atau peristiwa yang luar biasa kepada mereka, mereka akan membenarkannya bahawa itu daripada-Nya dan Rasulullah saw adalah pesuruh-Nya. 

Namun Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka meminta mukjizat itu bukanlah untuk mencari petunjuk tetapi hanya memperlihatkan bahawa mereka adalah kaum yang menentang, sombong dan angkuh kerana mereka sama sekali tidak menganggap Al-Quran adalah mukjizat. Dia telah pun mengetahui bahawa mereka tidak akan beriman meskipun didatangkan mukjizat kepada mereka. 

Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada mereka sekiranya Dia menghendaki, Dia akan mendatangkan kepada mereka mukjizat dan sekiranya Dia menghendaki, Dia juga tidak akan menurunkan mukjizat tersebut malah Dia akan mengabaikan mereka. Firman-Nya: 

“Dan sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang rasul sebelum kamu, di antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada (pula) yang tidak Kami ceritakan kepadamu. Tidak dapat bagi seorang rasul membawa suatu mukjizat, melainkan dengan izin Allah, maka apabila telah datang perintah Allah, diputuskan (semua perkara) dengan adil. Dan ketika itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada yang batil.” 

Al-Mukmin 40:78 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan kepada Rasulullah saw dan kaum mukmin bahawa walaupun mukjizat itu benar-benar datang kepada orang-orang musyrik, mereka pasti tetap tidak akan beriman. Ini kerana Dia lebih mengetahui kedudukan dan hati mereka yang tiada langsung keimanan pada mereka. 

Ayat 110

وَنُقَلِّبُ أَفْـِٔدَتَهُمْ وَأَبْصَـٰرَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا۟ بِهِۦٓ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُمْ فِى طُغْيَـٰنِهِمْ يَعْمَهُونَ

Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang musyrik tetap tidak akan beriman sekiranya dibawa mukjizat kepada mereka. Ini kerana Dia telah memalingkan hati-hati mereka daripada menerima kebenaran dan keimanan serta menjauhkan mereka daripada melihat kebenaran. Hal ini berlaku adalah disebabkan mereka sendiri yang memilih untuk berpaling daripada kebenaran. Mereka hanyalah ingin mempermain-mainkan Baginda dan agama-Nya. 

Hal ini termasuk keadilan Allah Swt dan kebijaksanaan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya. Ini kerana merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri. Ketika Dia membukakan pintu hidayah kepada mereka, mereka menolaknya, ketika diterangkan jalan yang terang dan lurus kepada mereka, mereka tidak mahu menempuhnya. Oleh itu, ketika mereka dihalang daripada memperoleh taufik, maka perkara itu adalah sangat layak bagi mereka. 

Ayat 111

وَلَوْ أَنَّنَا نَزَّلْنَآ إِلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ وَكَلَّمَهُمُ ٱلْمَوْتَىٰ وَحَشَرْنَا عَلَيْهِمْ كُلَّ شَىْءٍ قُبُلًا مَّا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوٓا۟ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ يَجْهَلُونَ

Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

Allah Ta’ala menjelaskan tentang sikap orang-orang musyrik yang enggan beriman itu. Sekiranya Dia kehendaki dan menunaikan permintaan mereka, umpamanya Dia menurunkan malaikat, menghidupkan orang-orang yang mati bercakap-cakap dengan mereka serta mengumpulkan kesemua yang mereka minta itu sehingga mereka dapat menyaksikannya dengan mata mereka sendiri, mereka tetap tidak akan beriman. Mereka tetap tidak mempercayai Rasulullah saw dan risalah yang dibawanya kecualilah jika Allah Swt menghendaki orang-orang musyrik itu beriman. Firman-Nya: 

“Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimah Rabbmu, tidaklah akan beriman meskipun datang kepada mereka pelbagai keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih.” 

Yunus 10:96-97