Surah 6: Al-An’am (102 – 105)

Allah Swt Tidak Dapat Dilihat oleh Makluk-Nya di Dunia

Surah 6: Al-An’am (102 – 105)


Ayat 102

ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ خَـٰلِقُ كُلِّ شَىْءٍ فَٱعْبُدُوهُ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ وَكِيلٌ

Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dia-lah yang mentadbirkan segala-galanya.

Allah Swt menegaskan bahawa Dia adalah Rabb, Tuhan yang memiliki sifat-sifat yang diterangkan di dalam ayat-ayat sebelum ini, iaitu Yang Mencipta segala sesuatu, tidak memiliki anak dan isteri. Oleh itu, seluruh manusia diingatkan supaya mengakui Keesaan-Nya dan tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Dia serta tidak ada sesuatupun yang setara dengan-Nya. 

Segala sesuatu adalah di bawah pemeliharaan Allah Ta’ala dan pengawasan-Nya. Pemeliharaan-Nya adalah termasuk menerangkan agama-Nya dan menjaganya daripada diubah oleh golongan kafir. Dia juga memelihara kaum mukmin daripada segala perkara yang boleh mengeluarkan mereka daripada iman dan agama mereka. 

Ayat 103

لَّا تُدْرِكُهُ ٱلْأَبْصَـٰرُ وَهُوَ يُدْرِكُ ٱلْأَبْصَـٰرَ ۖ وَهُوَ ٱللَّطِيفُ ٱلْخَبِيرُ

Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia-lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang dapat melihat-Nya di dunia ini. Namun di akhirat nanti, kaum mukmin akan dapat melihat Allah Swt iaitu di dalam Syurga. 

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, “Sesungguhnya ada beberapa orang (para sahabat) bertanya, ”Wahai Rasulullah, apakah kami akan melihat Rabb kami pada hari kiamat nanti?” Rasulullah saw bertanya: 

”Apakah kamu akan mengalami bahaya (kerana berdesak-desakan) ketika melihat bulan pada malam purnama?” Mereka menjawab, ”Tidak, wahai Rasulullah.” Baginda saw bertanya lagi, ”Apakah kamu juga akan mengalami bahaya (kerana berdesak-desakan) ketika melihat matahari yang tanpa diliputi oleh awan?” Mereka menjawab, ”Tidak, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda, ”Sesungguhnya, begitu pula ketika kamu nanti melihat Rabb kamu”…sampai akhir hadis. 

(HR. Al-Bukhari) 

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa Allah Swt tidak dapat dilihat di dunia, sedangkan orang-orang mukmin mampu melihat-Nya di akhirat sesuai dengan firman-Nya: 

“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Rabbnyalah mereka melihat.” 

Al-Qiyamah 75:22-23 

Ilmu Allah Ta’ala meliputi segala yang jelas kelihatan ataupun yang tersembunyi. Pendengaran-Nya dapat mendengar semua suara yang jelas ataupun yang rahsia, dan penglihatanNya dapat melihat semua makhluk-Nya sama ada yang besar ataupun yang kecil. Dia Maha Halus lagi Maha Teliti sehingga segala yang tersembunyi atau yang samar bagi manusia, tidak tersembunyi dan tidak samar bagi-Nya. 

Ayat 104

قَدْ جَآءَكُم بَصَآئِرُ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَنْ أَبْصَرَ فَلِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَنْ عَمِىَ فَعَلَيْهَا ۚ وَمَآ أَنَا۠ عَلَيْكُم بِحَفِيظٍ

(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa telah datang kepada mereka bukti-bukti dan dalil-dalil yang terdapat dalam Al-Quran, pada alam semesta dan pada diri mereka sendiri serta keterangan-keterangan yang dibawa oleh Rasulullah saw yang dapat meneguhkan akidah yang benar dan menjelaskan jalan kehidupan yang lurus. 

Sesiapa yang dapat melihat kebenaran lalu mengimaninya maka dia akan mendapat manfaatnya. Sebaliknya sesiapa yang berpaling daripada kebenaran maka dia telah berada dalam kesesatan dan merugikan dirinya sendiri sebagaimana dalam firman-firman Allah: 

“Katakanlah, ‘Wahai manusia, sesungguhnya teIah datang kepadamu kebenaran (Al-Quran) dari Rabbmu, sebab itu sesiapa yang mendapat petunjuk maka sesungguhnya (petunjuk itu) untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat, maka sesungguhnya kesesatannya itu mencelakakan dirinya sendiri. Dan aku bukanlah seorang penjaga terhadap dirimu.'” 

Yunus 10:108 

“Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan sesiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka (dosanya) untuk dirinya sendiri dan sekali-kali tidaklah Rabbmu menganiaya hamba-hamba-Nya.” 

Fussilat 41:46 

Ayat 105

وَكَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَلِيَقُولُوا۟ دَرَسْتَ وَلِنُبَيِّنَهُۥ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu dengan) berkata: “Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain)”, dan supaya kami menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui.

Allah Ta’ala menerangkan bahawa Dia telah berulang kali menjelaskan bukti-bukti kebenaran di dalam Al-Quran dengan pelbagai gaya bahasa supaya orang-orang yang mahu menerima kebenaran dapat mengikutinya dan mengetahui kebatilan sehingga menjauhinya. 

Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai hikmah yang sempurna dalam memberikan petunjuk dan kesesatan terhadap orang-orang yang layak menerimanya. Dia juga mempunyai hikmah yang sempurna dalam memberikan penjelasan sehingga timbul keyakinan yang penuh dalam diri kaum muslimin dan menggunakan bukti-bukti ini dalam menghadapi bantahan terhadap orang-orang musyrikin. Ini kerana orang-orang musyrikin sering kali mendustakan ayat-ayat Allah dengan mengatakan Rasulullah saw mempelajari ayat-ayat itu daripada orang lain atau menghafal berita-berita daripada orang-orang yang terdahulu seperti firman-Nya: 

“Dan mereka berkata, ‘Dongengan-dongengan orang-orang dahulu, dimintanya supaya dituliskan, maka dibacakanlah dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang.'” 

Al-Furqan 25:5