Surah 6: Al-An’am (100 – 101)

Bantahan terhadap Kaum yang Menyekutukan Allah Swt

Surah 6: Al-An’am (100 – 101)


Ayat 100

وَجَعَلُوا۟ لِلَّهِ شُرَكَآءَ ٱلْجِنَّ وَخَلَقَهُمْ ۖ وَخَرَقُوا۟ لَهُۥ بَنِينَ وَبَنَـٰتٍ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يَصِفُونَ

Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagi-Nya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka sifatkan!

Ayat ini adalah bantahan terhadap kaum musyrikin Arab yang menyekutukan Allah Swt dengan selain-Nya. Mereka menyembah jin dan menjadikannya sebagai sekutu Allah Ta’ala dalam beribadah. Adapun ibadah mereka kepada berhala tidak lain hanyalah kerana mereka tunduk kepada jin yang mengajak mereka menyembah berhala tersebut, sebagaimana firman Allah Swt: 

“Yang mereka sembah selain Allah itu, tidak lain hanyalah berhala, dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang derhaka,” 

An-Nisa’ 4:117 

Orang-orang musyrik menjadikan jin sebagai sekutu Allah Ta’ala ketika mereka mentaati para jin untuk menyembah berhala. Padahal Dia-lah yang menciptakan mereka dan segalanya. Dia-lah satu-satunya Pencipta, tidak ada sekutu bagi-Nya. 

Kesesatan mereka bertambah apabila mereka berbohong dengan mengatakan bahawa Allah Swt mempunyai anak. Semua ini adalah hasil daripada tipu daya syaitan. Orang-orang Yahudi mengatakan Uzair adalah anak lelaki Allah Ta’ala dan orang-orang musyrikin Arab mengatakan bahawa para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah Ta’ala. Mereka mengatakan demikian kerana kebodohan, manakala orang-orang Nasrani mengatakan Al-Masih anak lelaki Allah Ta’ala. Maha Suci dan Maha Tinggi Allah daripada sifat yang digambarkan oleh mereka. 

Ayat 101

بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُۥ وَلَدٌ وَلَمْ تَكُن لَّهُۥ صَـٰحِبَةٌ ۖ وَخَلَقَ كُلَّ شَىْءٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

(Dia-lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia-lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menciptakan langit dan bumi dalam bentuk yang belum pernah ada sebelumnya. Dia tidak sama dan tidak serupa dengan sesuatu apa pun daripada makhluk-Nya kerana Dia adalah Pencipta segala sesuatu.