Surah 6: Al-An’am (10 – 11)

Seruan kepada Orang Musyrik agar Mengambil Pelajaran daripada Musibah Kaum Terdahulu

Surah 6: Al-An’am (10 – 11)


Ayat 10

وَلَقَدِ ٱسْتُهْزِئَ بِرُسُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِٱلَّذِينَ سَخِرُوا۟ مِنْهُم مَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.

Allah Ta’ala menyatakan sikap permusuhan orang-orang kafir terhadap para rasul dan agamaNya. Ayat ini juga merupakan bimbingan serta penjelasan kepada Rasulullah saw tentang sunnatullah terhadap orang-orang yang mendustakan apa yang dibawanya serta sebagai penyejuk hati kepada Baginda agar Baginda tidak berasa sedih atas tindakan kaum yang kufur. Ini juga merupakan janji kemenangan dan kesudahan yang baik kepada Baginda serta kekalahan kepada kaumnya yang kufur. Firman Allah Ta’ala: 

“Sebagaimana (Kami telah memberi peringatan), Kami telah menurunkan (azab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi (Kitab Allah).” 

Al-Hijr 15:95 

Ayat 11

قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ ٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu.”

Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw meminta kaum yang kufur itu merenung dengan hati dan memerhatikan apa yang ditimpakanNya kepada umat-umat yang telah lalu yang mendustakan dan menentang para rasul iaitu azab seksaan dan hukuman seperti yang telah menimpa kaum ‘Aad, Thamud, Firaun berserta kaumnya dan kaum Nabi Lut as. Mereka ini bukan sahaja mendapat seksaan di dunia tetapi azab yang lebih pedih menunggu mereka di akhirat. 

Banyak pelajaran yang boleh diambil dan dijadikan iktibar apabila memerhatikan nasib dan kesudahan orang-orang yang mendustakanNya. Begitu juga mereka boleh melihat bagaimana Dia menyelamatkan para rasul dan hamba-hambaNya yang beriman.