Surah 6: Al-An’am (1 – 3)

Kekuasaan Allah pada CiptaanNya

Surah 6: Al-An’am (1 – 3)


Ayat 1

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَجَعَلَ ٱلظُّلُمَـٰتِ وَٱلنُّورَ ۖ ثُمَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Allah swt memuji diriNya. Dia juga mengajar para hambaNya bagaimana cara memujiNya iaitu dengan mengucapkan kalimah yang suci “alhamdulillah”. Segala puji adalah untuk Allah swt kerana Dia lah yang paling berhak untuk menerima pujian. 

Allah swt memiliki segala sifat-sifat yang terpuji dan segala sifat-sifat kesempurnaan. Allah swt menjelaskan tentang diriNya sebagai Zat Yang Maha Terpuji itu dengan menerangkan bahawa Dia lah Pencipta langit dan bumi, gelap dan terang yang menjadi bukti sempurnanya kekuasaan, kebijaksanaan, luasnya ilmu dan rahmatNya. 

Penciptaan langit dan bumi disebutkan secara khusus dalam ayat ini adalah untuk menunjukkan keistimewaannya sebagai ciptaan Allah swt yang besar dan sentiasa disaksikan oleh umat manusia dan pada kedua-duanya terdapat pelajaran yang sangat bermanfaat kepada mereka. Bumi dan langit dijadikan sebagai tempat tinggal makhluk ciptaanNya. Kegelapan dan cahaya dijadikanNya bermanfaat pada waktu malam dan siang. Ini merupakan tanda-tanda daripada kesempurnaanNya. 

Allah swt menyebutkan kegelapan-kegelapan (ٱلظُّلُمَٰتِ) dalam bentuk jamak kerana terdapat banyak bentuk kesesatan dan jalan-jalan yang membawa kepadanya. Manakala Dia menyebutkan cahaya (ٱلنُّورَ) secara mufrad (tunggal) kerana jalan menuju kepada Allah swt hanya satu, iaitu jalan Rasulullah saw yang membawa kebenaran daripadaNya, sebagaimana firmanNya: 

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.” 

Al-An’am 6:153 

Namun orang-orang kafir tetap mengingkari nikmat-nikmat daripada Allah Ta’ala, mereka menyekutukanNya dengan yang lainnya. Mereka menjadikan tandingan bagi Allah swt dalam beribadah. Sedangkan apa yang mereka sekutukan itu tidak pula menciptakan mereka dan tidak pula memiliki kemampuan untuk memberikan manfaat ataupun mudarat kepada diri mereka. 

Ayat 2

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن طِينٍ ثُمَّ قَضَىٰٓ أَجَلًا ۖ وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُۥ ۖ ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).

Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang musyrikin yang menyamakan Allah swt dengan selainNya dalam peribadatan. Dia mengingatkan mereka dengan mengemukakan dalil-dalil dan bukti-bukti keesaan serta kekuasaanNya yang berkaitan dengan tauhid dan hari kebangkitan. 

Dia lah yang menciptakan manusia pertama iaitu Nabi Adam as daripada tanah kemudian daripadanya berkembangbiaklah keturunannya lalu tersebar ke seluruh pelosok dunia. 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menentukan ajal manusia mulai daripada kelahiran hinggalah kematian dan ajal seseorang tidak dipercepatkan atau dilambatkan walaupun sesaat. Begitu juga tiada siapa pun yang mengetahui ajalnya walaupun para rasul dan para malaikat yang dekat kedudukan mereka denganNya. FirmanNya: 

“………….Maka apabila telah tiba waktunya (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukannya.” 

An-Nahl 16:61 

“Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat ada pada sisi Rabbku, tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia………” 

Al-A’raf 7:187 

Dalam ayat ini juga, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia yang telah menentukan bilakah alam ini akan dihancurkan. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bila akan terjadi hari kiamat melainkan Dia dan pengetahuan ini hanya ada pada sisiNya. 

Orang-orang yang ragu-ragu tentang hari kebangkitan, sebenarnya mereka tidak dapat terima kenyataan bahawa apabila mereka mati dan telah menjadi debu, mereka akan dihidupkan kembali. Itulah sebabnya Allah swt telah menyatakan bahawa Dia telah menjadikan manusia daripada tanah dalam ayat sebelum ini. Oleh itu, sekiranya Dia telah menjadikan manusia yang asalnya daripada tanah, mengapa pula Dia tidak boleh menghidupkan mereka kembali apabila sudah menjadi tanah? 

Ayat 3

وَهُوَ ٱللَّهُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَفِى ٱلْأَرْضِ ۖ يَعْلَمُ سِرَّكُمْ وَجَهْرَكُمْ وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Ia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Ia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia lah yang berhak disembah di langit dan di bumi, tiada tuhan selainNya. Dia lah yang mengaturkan segala-galanya dan dengan sebab itu Dia lah yang berhak untuk disembah. Dia juga mengetahui segala rahsia hamba-hambaNya sama ada yang mereka nampakkan atau sembunyikan dan tidak ada sesuatu pun yang samar bagiNya.