Hukum Berkaitan dengan Harta Rampasan (Fai’) Tanpa Peperangan
Surah 59: Al-Hasyr (6 – 10)
Ayat 6
وَمَآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْهُمْ فَمَآ أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلٍ وَلَا رِكَابٍ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُۥ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Dan apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada rasul-Nya (daripada harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak mengerahkan seekor kuda pun dan (tidak juga) seekor unta, tetapi Allah yang memberikan kekuasaan kepada rasul-Nya terhadap apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Fai’ ialah harta rampasan yang diperoleh daripada musuh tanpa terjadinya peperangan.
Ayat ini merupakan penjelasan Allah Swt tentang harta rampasan (fai’) yang ditinggalkan oleh Bani Nadhir setelah diusir dari kampung halaman mereka. Harta mereka diambil oleh kaum muslimin tanpa pertempuran kedua-dua belah pihak. Bahkan mereka menyerah kerana rasa takut kepada Rasulullah saw.
Oleh itu, Allah Swt memberikan harta yang mereka tinggalkan itu kepada baginda sebagai harta fai’. Pembahagian harta fai’ ini adalah seperti yang disebutkan dalam ayat seterusnya (ayat 7) dalam surah ini. Manakala pembahagian ghanimah (harta rampasan yang diperoleh setelah terjadinya peperangan) berlainan dengan pembahagian fai’. Pembahagian ghanimah telah pun diterangkan dalam ayat 41 Surah Al-Anfal.
Ayat 7
مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ كَىْ لَا يَكُونَ دُولَةًۢ بَيْنَ ٱلْأَغْنِيَآءِ مِنكُمْ ۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan rasul kepadamu, maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat keras hukumannya.
Ayat ini berkenaan dengan penjelasan hukum fai’ dalam Islam. Harta rampasan yang didapati tanpa berlakunya peperangan dan hanya dengan perjanjian maka harta itu dibahagi seperti yang dikehendaki oleh Allah.
Pembahagian itu adalah untuk Allah Swt, rasul-Nya, keluarga baginda iaitu Bani Hasyim dan Bani Mutalib, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang muslim yang mengadakan perjalanan (musafir) lalu terhenti di tengah jalan kerana kehabisan bekal. Ini kerana Dia menghendaki agar harta fai’ ini sampai ke tangan orang-orang lemah dan miskin, bukannya pembahagian itu diberikan kepada kaum muslimin yang turut serta semasa pengusiran Bani Nadhir. Ini juga merupakan tanda kasih sayang dan keadilan-Nya agar harta tersebut diberikan kepada golongan-golongan ini.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Umar ra, beliau berkata, “Harta benda Bani Nadhir termasuk harta rampasan yang diberikan oleh Allah kepada rasul-Nya tanpa sebarang penyerbuan dengan mengerahkan kuda ataupun unta, maka harta itu khusus untuk Rasulullah saw. Baginda menggunakannya sebagai nafkah berupa makanan asas untuk keluarga baginda selama setahun, dan bakinya digunakan untuk kuda dan peralatan jihad pada jalan Allah.”
Ayat 8
لِلْفُقَرَآءِ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ ٱلَّذِينَ أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَأَمْوَٰلِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنًا وَيَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّـٰدِقُونَ
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan daripada Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan rasul-Nya. Mereka Itulah orang-orang yang benar.
Ayat ini ada kaitan dengan ayat sebelumnya iaitu tentang hukum fai’. Allah Swt menjelaskan bahawa harta fai’ ini diperuntukkan juga kepada orang-orang fakir daripada golongan Muhajirin yang dipaksa keluar oleh orang-orang musyrik Mekah. Mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman, keluarga, harta benda dan berpindah ke Madinah dengan tujuan mencari keredhaan-Nya serta menolong agama-Nya. Mereka ini mendapat pujian daripada Allah Swt kerana membenarkan keimanan mereka dengan perbuatan.
Ayat 9
وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلْإِيمَـٰنَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّآ أُوتُوا۟ وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin), dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Kemudian Allah Swt memuji kaum Ansar tentang kemuliaan dan kedermawan mereka. Mereka tidak iri hati kepada orang-orang Muhajirin dan berani berkorban dengan mendahulukan kepentingan orang lain walaupun mereka sendiri memerlukan.
Imam Muslim dan Imam At-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, “Seorang sahabat didatangi seorang tetamu dan dia tidak memiliki apa-apa, kecuali makanan untuk diri dan anak-anaknya. Maka dia berkata kepada isterinya, ‘Tidurkanlah anak-anak dan matikan lampu dan hidangkan apa yang kamu miliki untuk tetamu.’” Lalu turunlah ayat 9, Surah Al-Hasyr ini.
Daripada Anas, dia menceritakan, “Kaum Muhajirin berkata, ‘Wahai Rasulullah, tidak pernah kami bertemu dengan kaum yang sangat baik menerima kami, dalam keadaan sempit dan juga lapang. Mereka telah membantu mencukupkan keperluan rumah dan makanan kami. Mereka juga menjadikan kami saudara dalam memenuhi segala keperluan, sehingga kami takut mereka menghabiskan semua pahala.’ Maka baginda bersabda, ‘Tidak, (tidak akan kehabisan pahala kerana anugerah Allah sangat luas) selama kalian berterima kasih atas (kebaikan) mereka dan kalian mendoakan mereka kepada Allah.’”
(HR. Ahmad)
Daripada Jabir bin ‘Abdullah, Rasulullah saw bersabda:
“Jauhkanlah kezaliman, kerana kezaliman itu akan menjadi kegelapan pada Hari Kiamat. Dan jauhkanlah sifat bakhil kerana kebakhilan itu menyeret mereka untuk menumpahkan darah dan menghalalkan segala yang diharamkan.”(HR. Ahmad, Muslim dan Al-Bukhari)
Ayat 10
وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَا تَجْعَلْ فِى قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, “Wahai Rabb kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman, wahai Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.”
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang datang kemudian daripada mereka ialah orang-orang yang mengikuti sifat-sifat baik orang-orang Muhajirin dan Ansar iaitu para tabi’in, tabi’ al-tabi’in dan orang-orang yang beriman dan bertakwa. Mereka sentiasa mendoakan kebaikan untuk kaum tersebut.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa orang-orang mukmin yang datang kemudian daripada satu generasi ke satu generasi diperintahkan untuk memohon keampunan bagi para generasi terdahulu daripada kalangan kaum Muhajirin dan Ansar.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang mula-mula (memeluk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah…………”
At-Taubah 9:100