Penjelasan tentang Keagungan Allah melalui Beberapa Nama-Nya yang Baik (Asmaul Husna)
Surah 59: Al-Hasyr (22 – 24)
Ayat 22
هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَـٰلِمُ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ ۖ هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ
Dia-lah Allah yang tiada Ilah (yang berhak diibadahi dengan benar) selain Dia, Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Allah Swt memberitahu bahawa tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Dia dan tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Dia serta tidak ada Rabb selain-Nya. Semua sembahan selain-Nya adalah batil. Dia-lah Yang Mengetahui alam ghaib dan nyata iaitu Dia mengetahui semua makhluk sehingga tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagi-Nya di bumi dan di langit, baik yang besar mahupun yang kecil, bahkan atom yang berada dalam kegelapan sekalipun Dia Mengetahuinya dengan jelas. Dia-lah pemilik rahmat yang luas bagi semua makhluk, Dia adalah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang di dunia dan akhirat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu……….”
Al-A’raf 7:156
“Katakanlah (Muhammad), ‘Dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, hendaknya mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.’”
Yunus 10:58
Ayat 23
هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِى لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْمَلِكُ ٱلْقُدُّوسُ ٱلسَّلَـٰمُ ٱلْمُؤْمِنُ ٱلْمُهَيْمِنُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْجَبَّارُ ٱلْمُتَكَبِّرُ ۚ سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Dia-lah Allah Yang tiada Ilah selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengurniakan Keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Berkuasa, Yang Memiliki segala Keagungan, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.
Allah Swt kembali menegaskan sifat keesaan-Nya. Ini adalah untuk mengukuhkan lagi ayat sebelumnya.
Allah Swt menyatakan bahawa tidak ada Ilah yang berhak diibadahi selain Dia dan kekuasaan-Nya tidak terbatas. Maha Suci Allah daripada segala bentuk kekurangan dan Dia berbeza daripada makhluk-Nya. Dia-lah yang menjaga keamanan yang lengkap, sempurna dan menyeluruh. Dia jugalah yang memberi keselamatan kepada manusia terutama di akhirat. Dia yang memiliki segala keagungan.
Keagungan Allah Swt juga dijelaskan oleh-Nya dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin.”
Al-An’am 6:75
“Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya),………………..”
Ar-Ra’d 13:2
Ayat 24
هُوَ ٱللَّهُ ٱلْخَـٰلِقُ ٱلْبَارِئُ ٱلْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Dia-lah Allah Yang Menciptakan, Yang Mengadakan, Yang Membentuk Rupa, Yang Mempunyai Asma-ul Husna (Nama-nama yang baik). Bertasbih kepada-Nya apa yang di langit dan bumi. Dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Sebagai penutup surah ini, Allah Swt menegaskan bahawa Dia-lah yang menciptakan seluruh makhluk dengan hikmah yang mengagumkan. Dia-lah Yang mengadakan segala sesuatu daripada tiada menjadi ada dan Yang membentuk rupa manusia ketika masih janin dalam rahim.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan Dia mempunyai nama-nama yang sangat indah dan nama-nama tersebut mencerminkan sifat-sifat-Nya. Semua makhluk-Nya yang ada di langit dan di bumi sentiasa bertasbih dan mensucikan-Nya daripada segala sifat kekurangan. Dia-lah Yang Maha Kekal dan Sempurna lagi Maha Bijaksana dalam mentadbir semua urusan seluruh makhluk-Nya.
Segala sesuatu bertasbih kepada Allah Swt sebagaimana firman-Nya:
“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Penyantun, lagi Maha Pengampun.”
Al-Isra 17:44
“Tidakkah engkau (Muhammad) mengetahui bahawa kepada-Nya bertasbih segala yang ada di langit dan di bumi juga burung-burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing sesungguhnya telah mengetahui cara berdoa dan bertasbih. Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.”
An-Nur 24:41
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Siapa menguasainya (memahami, menghafal dan mengamalkannya), maka dia akan masuk syurga.”
(HR Al-Bukhari dan Muslim)