Keagungan Al-Quran
Surah 59: Al-Hasyr (21)
Ayat 21
لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُۥ خَـٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ ٱللَّهِ ۚ وَتِلْكَ ٱلْأَمْثَـٰلُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.
Allah Swt menggambarkan kehebatan dan keagungan Al-Quran yang sangat besar kesannya terhadap makhluk-Nya. Dia menyatakan seandainya gunung yang begitu keras diberikan akal sehingga mampu memahami Al-Quran dan merenungkan makna yang terkandung di dalamnya, nescaya gunung itu akan menerima dengan khusyuk dan akan terpecah kerana takut terhadap berita ancaman-Nya.
Tujuan Allah Swt menggambarkan sedemikian adalah untuk mencela manusia yang tidak mahu khusyuk bahkan hati sentiasa keras ketika diperdengarkan bacaan Al-Quran kepada mereka sedangkan mereka dikurniakan akal untuk berfikir.
Keagungan Al-Quran dijelaskan juga oleh Allah Swt dalam firman-Nya yang lain:
“Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (tentulah itu adalah Al-Quran)………………….”
Ar-Ra’d 13:31