Surah 59: Al-Hasyr (11 – 17)

Orang Munafik Tidak Menepati Janji Mereka dengan Bani Nadhir

Surah 59: Al-Hasyr (11 – 17)


Ayat 11

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ نَافَقُوا۟ يَقُولُونَ لِإِخْوَٰنِهِمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قُوتِلْتُمْ لَنَنصُرَنَّكُمْ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ

Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab, “Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama-sama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada sesiapa pun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu.” Dan Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta.

Allah Swt memberitahu tentang janji orang-orang munafik seperti ‘Abdullah bin Ubay bin Salul dan rakan-rakannya ketika mereka mengirimkan utusan kepada orang-orang Yahudi Bani Nadhir untuk memberi sokongan dan bantuan kepada kaum Bani Nadhir. Mereka berjanji sekiranya kaum Bani Nadhir diserang, orang-orang munafik akan ikut berperang bersama-sama kaum Bani Nadhir.

Allah Swt menyatakan Dia mengetahui orang-orang munafik adalah benar-benar berdusta dalam janji mereka. Ini kerana mereka hanya sekadar mengucapkannya tanpa berniat untuk melaksanakannya.

Ayat 12

لَئِنْ أُخْرِجُوا۟ لَا يَخْرُجُونَ مَعَهُمْ وَلَئِن قُوتِلُوا۟ لَا يَنصُرُونَهُمْ وَلَئِن نَّصَرُوهُمْ لَيُوَلُّنَّ ٱلْأَدْبَـٰرَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tidak akan keluar bersama-sama mereka, dan sesungguhnya jika mereka diperangi, nescaya mereka tidak akan menolongnya, sesungguhnya jika mereka menolongnya, nescaya mereka akan berpaling lari ke belakang, kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan.

Allah Swt menyatakan orang-orang munafik itu tidak akan ikut pergi bersama-sama kaum Yahudi Bani Nadhir ini sekiranya mereka diusir. Begitu juga mereka tidak akan ikut berperang bersama-sama kaum Bani Nadhir ini jika mereka diperangi oleh orang-orang mukmin, malah orang-orang munafik ini akan melarikan diri.

Akhirnya ternyatalah bagi bangsa Yahudi Bani Nadhir tentang kebohongan orang-orang munafik tersebut setelah orang-orang munafik ini tidak datang menolong mereka dan tidak ikut sama berjuang ketika mereka dikepung oleh orang-orang Islam.

Ayat 13

لَأَنتُمْ أَشَدُّ رَهْبَةً فِى صُدُورِهِم مِّنَ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَفْقَهُونَ

Sesungguhnya kamu dalam hati mereka lebih ditakuti daripada Allah. Yang demikian itu kerana mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Selanjutnya, Allah Swt menyatakan hal ini berlaku kerana Dia telah melemparkan perasaan takut dalam hati orang-orang munafik kepada Rasulullah saw dan orang-orang mukmin sehingga mereka takut kepada baginda dan orang-orang mukmin melebihi takut mereka kepada Allah Swt.

Mereka sangat takut kekufuran mereka diketahui oleh kaum mukmin. Jika mereka benar-benar membantu kaum Yahudi Bani Nadhir, maka permusuhan mereka kepada kaum mukmin pasti terbongkar. Oleh itu, jelaslah bahawa orang-orang munafik ini lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah Swt. Ini menunjukkan mereka adalah orang-orang yang tidak mengerti bahawa mereka mampu bersembunyi daripada manusia, tetapi tidak dapat bersembunyi daripada-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….tiba-tiba sebahagian mereka (golongan munafik) takut kepada manusia (musuh), seperti takutnya kepada Allah, bahkan lebih takut (daripada itu)……….”

An-Nisa’ 4:77

Ayat 14

لَا يُقَـٰتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلَّا فِى قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَوْ مِن وَرَآءِ جُدُرٍۭ ۚ بَأْسُهُم بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْقِلُونَ

Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu menyangka mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Allah Swt menjelaskan cara orang-orang munafik dalam memerangi orang-orang mukmin. Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik sangat penakut. Mereka tidak akan berperang menghadapi pasukan kaum muslimin secara berhadap-hadapan. Mereka hanya mampu berlawan dari balik benteng-benteng atau dari balik dinding sehingga mereka berperang hanya kerana terpaksa bagi mempertahankan diri.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan sebenarnya permusuhan antara sesama mereka sangat hebat. Walaupun mereka dilihat sebagai bersatu padu tetapi sebenarnya hati mereka berpecah belah dan tidak akan bersatu.

Ini kerana sifat tamak yang bersarang di dalam hati mereka serta mereka mempunyai tujuan dan niat yang berbeza. Mereka adalah orang-orang yang tidak mengerti kerana sekiranya mereka menggunakan akal, tentulah mereka tidak akan memerangi dan mengingkari kebenaran.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Dia-lah yang berkuasa untuk mengirimkan azab kepadamu, dari atas kamu atau dari bawah kakimu atau Dia mencampurkan kamu dalam golongan-golongan (yang saling bertentangan) dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, bagaimana Kami menjelaskan berulang-ulang kali tanda-tanda (kekuasan Kami) agar mereka memahami(nya).’”

Al-An’am 6:65

Ayat 15

كَمَثَلِ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ قَرِيبًا ۖ ذَاقُوا۟ وَبَالَ أَمْرِهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

(Mereka adalah) seperti orang-orang Yahudi yang belum lama sebelum mereka telah merasai akibat buruk daripada perbuatan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.

Ibnu ‘Abbas ra, Qatadah dan Muhammad bin Ishaq mengatakan kaum Bani Nadhir ini sama seperti orang-orang yang sebelum mereka iaitu orang-orang Yahudi Bani Qainuqa’ yang diusir dari Madinah.

Pengusiran kaum Yahudi Bani Nadhir ini merupakan satu penghinaan kepada mereka akibat kekafiran mereka di dunia lagi. Di akhirat kelak azab yang lebih menyakitkan disediakan bagi mereka.

Ayat 16

كَمَثَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ إِذْ قَالَ لِلْإِنسَـٰنِ ٱكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّى بَرِىٓءٌ مِّنكَ إِنِّىٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (pujukan) syaitan ketika ia berkata kepada manusia, “Kafirlah kamu,” maka tatkala manusia itu telah kafir, Maka ia berkata, “Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta alam.”

Ayat ini merupakan perumpamaan antara orang-orang Yahudi dengan orang-orang munafik.

Orang-orang Yahudi telah ditipu oleh orang-orang munafik yang menjanjikan pertolongan kepada mereka, sekiranya mereka diperangi. Namun ketika terjadi peperangan dan pengepungan, mereka berlepas diri daripada orang-orang Yahudi dan membiarkan mereka menerima kehancuran.

Perumpamaan mereka dalam hal ini sama sebagaimana manusia disesatkan oleh syaitan ketika merayu manusia supaya menjadi kafir. Semoga Allah melindungi kita daripada godaannya. Ketika manusia terpengaruh, syaitan berlepas diri dengan mengatakan ia takut kepada Allah Swt.

Ayat 17

فَكَانَ عَـٰقِبَتَهُمَآ أَنَّهُمَا فِى ٱلنَّارِ خَـٰلِدَيْنِ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَٰٓؤُا۟ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maka adalah kesudahan kedua-duanya, bahawa sesungguhnya kedua-duanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim.

Allah Swt menyatakan bahawa kesudahan bagi orang-orang yang mengajak kepada kekufuran dan orang-orang yang diajak (yang mengikuti mereka) adalah Neraka Jahannam. Mereka kekal di dalamnya sebagai balasan orang-orang yang berbuat zalim.