Kisah Pengusiran Bani Nadhir
Surah 59: Al-Hasyr (1 – 5)
Ayat 1
سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan bumi dan Dia-lah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Sesungguhnya segala sesuatu yang ada di langit dan di bumi bertasbih mensucikan Allah Swt daripada segala bentuk kekurangan, mengagungkan-Nya, mengesakan-Nya dan beribadah hanya kepada-Nya.
Allah Swt, Dia-lah Yang Maha Kuat, menguasai segala kekuasaan dan milik-Nya-lah segala kerajaan. Dia meletakkan sesuatu sesuai pada kedudukan dan keadaannya meskipun manusia tidak dapat memahaminya, namun pengaturan-Nya adalah penuh bijaksana.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Langit yang tujuh, bumi, dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka……….”
Al-Isra’ 17:44
Ayat 2
هُوَ ٱلَّذِىٓ أَخْرَجَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ مِن دِيَـٰرِهِمْ لِأَوَّلِ ٱلْحَشْرِ ۚ مَا ظَنَنتُمْ أَن يَخْرُجُوا۟ ۖ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمْ حُصُونُهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَأَتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا۟ ۖ وَقَذَفَ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعْبَ ۚ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِى ٱلْمُؤْمِنِينَ فَٱعْتَبِرُوا۟ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَبْصَـٰرِ
Dia-lah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran kali yang pertama. Kamu tidak menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka daripada (seksaan) Allah, maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka, mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai wawasan.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang menetapkan dan memutuskan pengusiran ahli kitab dari rumah-rumah mereka pada pengusiran yang pertama dari Madinah. Manakala pengusiran kedua atau terakhir ialah pengusiran mereka oleh Khalifah ‘Umar Al-Khattab ra dari Khaibar ke Syam.
Ahli kitab yang dimaksudkan ini ialah kaum Bani Nadhir iaitu sekelompok besar daripada kalangan orang-orang Yahudi yang tinggal di sekitar Madinah.
Ketika Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda mengadakan perjanjian damai dan kesepakatan dengan orang-orang Yahudi untuk tidak saling memerangi antara satu sama lain. Namun orang-orang Yahudi telah mengkhianati perjanjian tersebut malah merancang untuk membunuh baginda. Allah Swt telah mewahyukan kepada baginda tentang rancangan jahat mereka itu lalu baginda mengumumkan perang terhadap mereka.
Maka apabila pasukan orang-orang mukmin menyerang orang-orang Yahudi ini, mulanya mereka menyangka bahawa kekuatan benteng-benteng mereka dapat melindungi mereka tetapi ternyata pembalasan Allah Swt datang dari arah yang tidak mereka duga.
Ketika terjadi pengepungan terhadap Bani Nadhir selama 6 hari, kaum munafik termasuk ‘Abdullah bin Ubay yang pada mulanya berjanji untuk membantu mereka, berlepas diri daripada kaum Bani Nadhir. Allah Swt telah meletakkan rasa takut yang luar biasa ke dalam hati Bani Nadhir terhadap baginda dan orang-orang mukmin. Orang-orang mukmin dapat menghancurkan benteng-benteng mereka dari luar agar dapat masuk ke dalam, manakala Bani Nadhir telah merobohkan rumah-rumah mereka sendiri dengan tangan-tangan mereka agar kaum yang beriman tidak boleh memilikinya.
Selepas itu berlakulah perundingan antara dua belah pihak dan berakhir dengan perdamaian dengan syarat Bani Nadhir hendaklah meninggalkan kampung halaman mereka dengan membawa harta benda mereka kecuali senjata.
Begitulah balasan atas pengkhianatan dan percubaan membunuh Rasulullah saw. Mereka dimalukan dengan dihalau dari perkampungan mereka sendiri. Sebahagian daripada mereka berangkat menuju Azri’at, sebuah kawasan dataran tinggi di Syam dan sebahagian lagi ada yang menuju ke Khaibar.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan mereka (orang-orang kafir) melakukan tipu daya, maka Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.”
Ali ‘Imran 3:54
Ini merupakan pelajaran yang boleh diambil daripada kisah Bani Nadhir, padahal mereka memiliki kekuatan tetapi mereka terusir buat selama-lamanya dari Madinah. Oleh itu, ayat ini juga merupakan peringatan kepada manusia iaitu jangan tertipu dengan kekayaan harta dan kekuatan fizikal, sebaliknya hendaklah bersandarkan kepada Allah Swt pada setiap masa.
Ayat 3
وَلَوْلَآ أَن كَتَبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمُ ٱلْجَلَآءَ لَعَذَّبَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابُ ٱلنَّارِ
Dan jikalau tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.
Allah Swt menyatakan sekiranya Dia tidak menetapkan azab pengusiran Bani Nadhir dari kampung halaman mereka, tentulah mereka akan diseksa di dunia iaitu dengan ditawan dan dibunuh seperti yang terjadi kepada Bani Quraizah. Manakala di akhirat kelak mereka akan diseksa di dalam neraka.
Ayat 4
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ شَآقُّوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ ۖ وَمَن يُشَآقِّ ٱللَّهَ فَإِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.
Allah Swt menetapkan pengusiran Bani Nadhir dan menjadikan Rasulullah saw dan orang-orang mukmin menguasai mereka, kerana mereka menentang-Nya dan rasul-Nya serta mendustakan apa yang telah diturunkan-Nya kepada rasul-rasul terdahulu yang berupa berita gembira tentang kedatangan baginda sedangkan mereka lebih mengetahui dan mengenali baginda seperti mereka mengenali anak-anak mereka.
Ayat 5
مَا قَطَعْتُم مِّن لِّينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَآئِمَةً عَلَىٰٓ أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ ٱللَّهِ وَلِيُخْزِىَ ٱلْفَـٰسِقِينَ
Apa sahaja yang kamu tebang daripada pokok kurma (milik orang-orang kafir) atau yang kamu biarkan (tumbuh) berdiri di atas pokoknya, maka (semua itu) adalah dengan izin Allah dan kerana Dia hendak memberikan kehinaan kepada orang-orang fasik.
Kemudian Allah Swt menegaskan bahawa Dia mengetahui langkah yang diambil oleh orang-orang mukmin ketika itu yang menjadi tuntutan dan salah satu teknik peperangan iaitu menebang pokok-pokok kurma milik musuh dan kemudian membakarnya atau membiarkannya tanpa ditebang adalah perintah dan kehendak-Nya.
Peristiwa penebangan pokok kurma terjadi ketika kaum muslimin mengepung Bani Nadhir. Rasullulah saw memerintahkan untuk menebang pokok-pokok kurma kaum Bani Nadhir dengan tujuan untuk menakut-nakutkan dan menggertak hati mereka. Kaum muslimin berasa khuatir jikalau hal tersebut adalah berdosa. Maka Allah Swt menurunkan ayat ini.
Allah Swt mengizinkan hal itu terjadi dengan maksud untuk menjadikan orang-orang mukmin kuat dan berjaya serta menghinakan orang-orang yang keluar daripada ketaatan iaitu kaum Yahudi. Ini menyebabkan kaum Yahudi berasa terhina, geram dan marah ketika mereka melihat orang-orang mukmin merosakkan harta kekayaan mereka.