Surah 58: Al-Mujadilah (14 – 19)

Sikap Orang Munafik yang Bersahabat dengan Musuh Islam

Surah 58: Al-Mujadilah (14 – 19)


Ayat 14

أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ تَوَلَّوْا۟ قَوْمًا غَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مَّا هُم مِّنكُمْ وَلَا مِنْهُمْ وَيَحْلِفُونَ عَلَى ٱلْكَذِبِ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang menjadikan suatu kaum yang dimurkai Allah sebagai teman? Orang-orang itu bukan daripada golongan kamu dan bukan (juga) daripada golongan mereka. Dan mereka bersumpah untuk menguatkan kebohongan, sedang mereka mengetahui.

Allah Swt mengingatkan Rasulullah saw tentang orang-orang munafik yang mendakwa diri mereka beriman tetapi mereka bertindak menjadikan orang-orang Yahudi sebagai teman akrab dan pemimpin mereka. Orang-orang munafik ini bukanlah termasuk dalam golongan orang-orang beriman, juga bukanlah termasuk dalam golongan Yahudi. Sebenarnya mereka hanya ingin menipu kedua-dua golongan ini demi kepentingan keduniaan mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka dalam keadaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir) tidak termasuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Barang siapa dibiarkan sesat oleh Allah, maka kamu tidak akan mendapatkan jalan (untuk memberi petunjuk) baginya.”

An-Nisa’ 4:143

Sifat orang-orang munafik itu adalah apabila mereka bersumpah, mereka berbohong. Hal ini merupakan kebiasaan mereka yang terkutuk. Kita berlindung kepada Allah Swt daripadanya.

Ini kerana ketika mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, “Kami beriman.” Ketika mereka datang menemui Rasulullah saw, mereka bersumpah kepadanya dengan nama Allah Swt bahawa mereka beriman. Padahal mereka mengetahui sumpah yang mereka lakukan itu hanyalah bohong kerana mereka tidak meyakini kebenaran apa yang mereka katakan. Oleh itu, Allah Swt menyaksikan pendustaan sumpah dan persaksian mereka terhadap hal tersebut.

Ayat 15

أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا ۖ إِنَّهُمْ سَآءَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Allah telah menyediakan bagi mereka azab yang sangat keras, sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.

Lalu dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa bagi mereka azab yang menghinakan di dalam Neraka Jahannam disebabkan oleh sumpah-sumpah palsu yang mereka ucapkan dengan menggunakan nama-Nya dan juga sebagai balasan sikap mereka yang menghina, meremehkan dan melecehkan sumpah-sumpah tersebut.

Ayat 16

ٱتَّخَذُوٓا۟ أَيْمَـٰنَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا۟ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ فَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halang (manusia) dari jalan Allah, kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan.

Orang-orang munafik ini menampakkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran. Mereka bersembunyi di sebalik sumpah-sumpah palsu, sehingga kebanyakan orang yang tidak mengetahui keadaan mereka mempercayai bahawa mereka berada pada pihak yang benar. Dengan demikian mereka dapat menghalang orang lain dari jalan Allah Swt.

Ayat 17

لَّن تُغْنِىَ عَنْهُمْ أَمْوَٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُم مِّنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Harta benda dan anak-anak mereka tidak berguna sedikitpun (untuk menolong) mereka daripada azab Allah. Mereka itulah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya.

Kemudian Allah Swt menyatakan betapa besar kerugian yang akan mereka terima di akhirat kelak. Ini kerana harta benda yang mereka kumpul dan nikmati serta anak-anak yang mereka banggakan sedikitpun tidak berguna kepada mereka untuk menyelamatkan mereka daripada azab-Nya. Mereka itulah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya, tidak akan dapat keluar dan tidak pula akan mati di dalamnya.

Ayat 18

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًا فَيَحْلِفُونَ لَهُۥ كَمَا يَحْلِفُونَ لَكُمْ ۖ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ عَلَىٰ شَىْءٍ ۚ أَلَآ إِنَّهُمْ هُمُ ٱلْكَـٰذِبُونَ

(Ingatlah) hari (ketika) mereka semua dibangkitkan Allah) lalu mereka bersumpah kepada-Nya (bahawa mereka bukan orang musyrik) sebagaimana mereka bersumpah kepadamu, dan mereka menyangka bahawa mereka akan memperoleh suatu (manfaat). Ketahuilah, bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.

Allah Swt menyatakan bahawa di akhirat kelak mereka menyangka dengan sumpah-sumpah palsu itu, mereka akan mendapat manfaat atau menyelamatkan diri daripada bahaya seperti yang mereka lakukan ketika di dunia dahulu.

Ketahuilah bahawa sesungguhnya dengan sangkaan seperti itu, merekalah sebenarnya-benarnya pembohong dengan apa yang mereka tegaskan dalam sumpah palsu mereka.

Ketika orang-orang munafik ini mati dalam keadaan nifak, maka mereka akan dibangkitkan dalam keadaan tersebut. Mereka akan bersumpah atas nama Allah bahawa mereka benar-benar beriman sebagaimana mereka telah bersumpah semasa di dunia dahulu.

Rasulullah saw bersabda:

“Setiap hamba akan dibangkitkan berdasarkan keadaan meninggalnya.”

(HR. Muslim)

Ayat 19

ٱسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَأَنسَىٰهُمْ ذِكْرَ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ حِزْبُ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۚ أَلَآ إِنَّ حِزْبَ ٱلشَّيْطَـٰنِ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ

Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah, mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang rugi.

Allah Swt menjelaskan sebab kesesatan mereka. Sesungguhnya syaitan telah menguasai dan mengalahkan akal mereka sehingga mereka pun meninggalkan segala perintah-Nya dan melupakan ajaran-Nya. Maka jadilah mereka sekutu syaitan.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya para pengikut dan penyokong syaitan akan rugi dan binasa. Mereka telah menjual petunjuk dan menukarnya dengan kesesatan. Maka mereka telah menjual syurga dan menukarnya dengan neraka. Wal’iyazubillahi min zalik.

Daripada Abu Darda’, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada tiga orang di sesuatu desa atau kampung, yang tidak didirikan solat pada mereka, kecuali syaitan telah menguasai mereka. Maka peganglah jemaah kerana serigala itu memangsa biri-biri yang menyendiri (terpisah daripada kelompoknya).”

(HR. Abu Daud)