Perintah Bersedekah sebelum Menemui Rasulullah saw
Surah 58: Al-Mujadilah (12 – 13)
Ayat 12
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نَـٰجَيْتُمُ ٱلرَّسُولَ فَقَدِّمُوا۟ بَيْنَ يَدَىْ نَجْوَىٰكُمْ صَدَقَةً ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَأَطْهَرُ ۚ فَإِن لَّمْ تَجِدُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Wahai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan khusus dengan rasul hendaklah kamu mengeluarkan sedekah (kepada orang miskin) sebelum pembicaraan itu. Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih bersih. Jika kamu tidak memperoleh (yang akan disedekahkan) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, beliau mengatakan maksud ayat, “Hendaklah kamu mengeluarkan sedekah (kepada orang miskin) sebelum pembicaraan itu,” ialah apabila kaum muslimin sering bertanya kepada Rasulullah saw sehingga menyulitkan baginda, maka Allah Ta’ala ingin meringankan rasul-Nya.
Dalam ayat ini, Allah Swt memerintahkan orang-orang beriman yang ingin berbicara secara khusus dengan Rasulullah saw tentang urusan mereka, hendaklah terlebih dahulu bersedekah. Hal itu akan menyucikan, membersihkan dan menjadikan mereka berhak untuk itu.
Ketika Allah Swt menyatakan hal ini ramai kaum muslimin bersabar, menahan diri dengan tidak bertanya kepada baginda. Maka Dia menurunkan ayat yang berikutnya.
Allah Swt menyatakan Dia tidak akan memerintahkan sesuatu kecuali kepada orang-orang yang mampu melakukan. Bagi orang-orang fakir dan miskin yang tidak mampu melakukannya kerana tidak memiliki sesuatu untuk disedekahkan maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat 13
ءَأَشْفَقْتُمْ أَن تُقَدِّمُوا۟ بَيْنَ يَدَىْ نَجْوَىٰكُمْ صَدَقَـٰتٍ ۚ فَإِذْ لَمْ تَفْعَلُوا۟ وَتَابَ ٱللَّهُ عَلَيْكُمْ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
Apakah kamu takut akan (menjadi miskin) kerana kamu memberikan sedekah sebelum mengadakan pembicaraan dengan rasul? Maka jika kamu tidak membuatnya dan Allah telah memberi taubat kepadamu maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Kemudian Allah Swt mengemukakan pertanyaan, apakah mereka takut jika hukum itu terus berlaku dan menjadi satu kewajipan bagi seseorang apabila hendak menghadap Rasulullah saw.
Sebenarnya Allah Swt menasakhkan kewajipan ini dan dikatakan bahawa tidak ada yang mengamalkan ayat ini sebelum dinasakhkan kecuali ‘Ali bin Abi Talib ra.