Surah 58: Al-Mujadilah (11)

Adab dalam Majlis serta Keutamaan Ilmu

Surah 58: Al-Mujadilah (11)


Ayat 11

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا۟ فِى ٱلْمَجَـٰلِسِ فَٱفْسَحُوا۟ يَفْسَحِ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُوا۟ فَٱنشُزُوا۟ يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ دَرَجَـٰتٍ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Wahai orang-orang beriman, apabila dikatakan kepadamu, “Berlapang-lapanglah dalam majlis,” maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, “Berdirilah kamu,” maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman saling berbuat baik dengan melapangkan tempat duduk dalam majlis-majlis. Dia akan memberikan balasan yang baik pula kepada mereka.

Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesusahan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama dia menolong saudaranya.”

(HR. Muslim)

Ayat ini bersifat umum mencakupi semua jenis majlis sama ada dalam majlis ilmu, perhimpunan solat hari Jumaat atau hari raya. Setiap orang berhak atas tempat duduknya yang dia lebih dahulu sampai di tempat itu. Namun hendaklah bersikap prihatin dengan memberikan ruang dan tempat kepada saudaranya yang lain.

Daripada Ibnu ‘Umar ra, Rasulullah saw bersabda:

“Janganlah seorang lelaki membangunkan lelaki lain daripada tempat duduknya dalam satu majlis, tetapi lapangkanlah (tempat duduknya) dan luaskanlah.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Apabila seseorang berdiri untuk melapangkan tempat duduk saudaranya, hal itu tidak akan merendahkan martabatnya bahkan akan meninggikan darjatnya di sisi Allah Swt di dunia dan akhirat. Allah juga mengangkat darjat orang-orang yang berilmu sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis berikut:

Daripada Abuth Thufail ‘Amir bin Wathilah, bahawa Nafi’ bin Abdul Harith bertemu dengan ‘Umar bin Al-Khattab ra di Usfan (tempat di antara Juhfah dan Mekah). Pada ketika itu, ‘Umar melantiknya sebagai gabenor Mekah. ‘Umar bertanya siapa yang mewakili tugasmu di Mekah?’ Nafi’ menjawab, “Saya mewakilkannya kepada Ibnu Abza, seorang lelaki daripada kalangan bekas hamba kami.” ‘Umar bertanya lagi, “Adakah kamu menyerahkan tugasmu kepada seorang bekas hamba?” Lalu Nafi’ menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, dia itu seorang qari Kitabullah, pakar faraid dan seorang hakim.” ‘Umar lalu berkata, “Ketahuilah, nabi kalian pernah bersabda, ‘Sesungguhnya Allah akan mengangkat kaum dan merendahkan yang lain dengan kitab suci ini.’”

(HR. Muslim)