Hukum Zihar
Surah 58: Al-Mujadilah (1 – 4)
Ayat 1
قَدْ سَمِعَ ٱللَّهُ قَوْلَ ٱلَّتِى تُجَـٰدِلُكَ فِى زَوْجِهَا وَتَشْتَكِىٓ إِلَى ٱللَّهِ وَٱللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَآ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ
Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenankan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (Muhammad) tentang suaminya, dan dia mengadukan halnya kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Ayat ini adalah berkaitan dengan seorang perempuan bernama Khaulah binti Tha’labah yang telah dizihar oleh suaminya Aus bin As-Samit, iaitu dengan mengatakan kepada isterinya itu, “Kamu bagiku seperti belakang ibuku.” Ini bermaksud dia tidak boleh lagi menggauli isterinya, sebagaimana dia tidak boleh menggauli ibunya kerana menurut adat Jahiliyah, kalimah zihar tersebut seperti sudah mentalak isteri.
Lalu Khaulah binti Tha’labah datang menemui Rasulullah saw dan menceritakan perihal suaminya itu. Namun baginda tidak dapat memberikan kata putus tentang masalahnya dan menyebabkan Khaulah binti Tha’labah berbicara dan berdebat dengan baginda berulang kali. Akhirnya Khaulah binti Tha’labah mengadu kepada Allah Swt tentang permasalahannya dengan suaminya yang membuatnya sedih dan gelisah.
Sesungguhnya Allah Swt telah mendengar dan memperkenankan pengaduan Khaulah binti Tha’labah dengan turunnya wahyu yang berkaitan dengan dirinya.
Terdapat beberapa riwayat yang berkaitan dengan sebab turunnya ayat ini. Antaranya ialah:
▪️ Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra bahawa beliau berkata, “Segala puji bagi Allah Ta’ala yang Maha Mendengar segala suara. Seorang perempuan telah datang mengadu kepada Rasulullah saw dan saya berada di satu sudut rumah tidak mendengar apa yang dia katakan, kemudian Allah Ta’ala telah menurunkan ayat ini.”
▪️ Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra bahawa beliau berkata, “Maha Suci Allah Ta’ala yang Maha Mendengar segala sesuatu. Sungguh saya telah mendengar sebahagian ucapan Khaulah binti Tha’labah ketika dia mengadu tentang suaminya kepada Rasulullah saw tetapi sebahagian lagi tidak terdengar olehku. Dia berkata, Wahai Rasulullah, ‘Suamiku telah memakan hartaku, telah menghabiskan masa mudaku dan aku telah melahirkan ramai anak untuknya. Namun apabila umurku telah tua dan aku tidak mampu melahirkan anak lagi untuknya, suamiku telah menziharkan aku.’”
▪️ ‘Aisyah ra berkata, “Dia belum berganjak sehingga Jibril menurunkan ayat ini.” ‘Aisyah ra juga berkata, “Suaminya adalah Aus bin As-Samit.”
▪️ Imam Ahmad meriwayatkan daripada Khaulah binti Tha’labah yang berkata, “Demi Allah, Allah telah menurunkan permulaan surah Al-Mujadilah yang berkaitan dengan masalah yang terjadi antara aku dan Aus bin As-Samit.”
▪️ Dalam sunan Ibnu Majah dan Baihaqi, diriwayatkan bahawa Khaulah berkata, “Saya adalah isterinya, dan dia adalah lelaki tua yang berperilaku kurang baik. Suatu hari dia menemuiku dan saya pun menanyakan sesuatu kepadanya. Dia pun marah dan berkata, ‘Kamu bagiku seperti belakang ibuku.’ Kemudian dia keluar dan duduk bersama kaumnya. Selepas beberapa saat dia datang menemuiku dan menginginkanku. Aku berkata, ‘Tidak, demi Zat yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, kerana kamu telah mengucapkan apa yang telah kamu ucapkan, kamu tidak boleh mendekatiku sehingga Allah dan rasul-Nya menetapkan hukuman kepada kita.’ Kemudian dia memelukku dengan paksa dan aku menolaknya. Lalu aku pergi menemui Rasulullah saw. Aku duduk di hadapan Rasulullah saw dan mengadu keburukan sikap suamiku. Maka Rasulullah saw hanya menjawab, “Hingga saat ini aku belum dapat memberi apa pun keputusan terhadap hal ini.” Dalam riwayat yang lain disebutkan baginda berkata, “Aku tidak melihat dirimu melainkan dirimu telah haram baginya.” Khaulah berkata, “Dia (Aus) tidak menyebutkan kata-kata talak.” Khaulah pun berdebat dengan Rasulullah saw berulang kali. Kemudian dia berkata, “Ya Allah, hamba mengadukan kepada Engkau masalah hamba dan beratnya keadaan hamba.”
▪️ Dalam riwayat yang lain pula, Khaulah berkata, “Saya adalah isterinya, dan dia adalah lelaki tua yang berperilaku kurang baik. Suatu hari dia menemuiku dan saya pun menanyakan sesuatu kepadanya. Dia pun marah dan berkata, ‘Kamu bagiku seperti belakang ibuku.’ Kemudian dia keluar dan duduk bersama kaumnya. Selepas beberapa saat dia datang menemuiku dan menginginkanku. Aku berkata, ‘Tidak, demi Zat yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, kerana kamu telah mengucapkan apa yang telah kamu ucapkan, kamu tidak boleh mendekatiku sehingga Allah dan rasul-Nya menetapkan hukuman kepada kita.’ Kemudian dia memelukku dengan paksa dan aku menolaknya. Lalu aku pergi menemui Rasulullah saw. Aku duduk di hadapan Rasulullah saw dan mengadu keburukan sikap suamiku. Maka Rasulullah saw hanya menjawab, “Wahai Khaulah, sepupumu (suamimu) itu telah lanjut usia, maka bertakwalah kepada Allah terhadapnya.”
Khaulah melanjutkan kisahnya, “Demi Allah, aku belum beranjak, sehingga turunlah ayat Al-Quran tentang diriku. Rasulullah saw berkeadaan sebagaimana biasanya bila wahyu sedang turun kepadanya. Setelah wahyu selesai, keadaan Rasulullah saw kembali seperti biasa, lalu bersabda kepadaku, ‘Wahai Khaulah, sesungguhnya Allah telah menurunkan wahyu-Nya tentang dirimu dan suamimu.’ Lalu Rasulullah Rasulullah saw membacakan kepadaku firman berikut, “Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenankan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (Muhammad) tentang suaminya, dan mengadukan halnya kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”, sehingga “Dan bagi orang-orang yang ingkar disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Mujadilah ayat 1 hingga akhir ayat 4).
Ayat 2
ٱلَّذِينَ يُظَـٰهِرُونَ مِنكُم مِّن نِّسَآئِهِم مَّا هُنَّ أُمَّهَـٰتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَـٰتُهُمْ إِلَّا ٱلَّـٰٓـِٔى وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنكَرًا مِّنَ ٱلْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ
Orang-orang yang menziharkan isterinya daripada kalangan kamu adalah orang-orang yang bersalah kerana isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, Maha Pengampun.
Beberapa perkara tentang zihar:
▪️ Zihar berasal daripada perkataaan ‘belakang’. Ini kerana maksud asal perkataan zihar itu ialah suami mengatakan kepada isterinya dengan ‘engkau bagiku seperti belakang ibuku.’
▪️ Secara istilah zihar bermaksud suami menyamakan mana-mana bahagian anggota badan isterinya dengan ibunya. Sebenarnya kedudukan seorang isteri tidak akan berubah menjadi ibu kepada suaminya kerana seorang ibu adalah seorang wanita yang melahirkannya.
▪️ Perkataan yang mengatakan isteri seperti ibunya adalah ucapan dusta, palsu dan mungkar. Pelakunya berdosa dan hendaklah segera bertaubat dan beristighfar kepada Allah.
Kalaulah bukan kerana Allah yang Maha Pengampun dan Pemaaf terhadap dosa hamba-hamba-Nya yang beriman dan terhadap orang-orang yang bertaubat, tentulah Allah akan menghukumnya disebabkan perkataan dusta dan batil ini.
Ayat 3
وَٱلَّذِينَ يُظَـٰهِرُونَ مِن نِّسَآئِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا۟ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِّن قَبْلِ أَن يَتَمَآسَّا ۚ ذَٰلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِۦ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Dan orang-orang yang menziharkan isteri mereka, kemudian mereka mahu menarik kembali ucapan mereka (kerana isteri itu haram kepadanya) maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bersama kembali. Dengan hukuman yang sedemikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.
Ayat 4
فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِن قَبْلِ أَن يَتَمَآسَّا ۖ فَمَن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ۚ ذَٰلِكَ لِتُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۗ وَلِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu kembali bersama. Akhirnya sesiapa yang tidak mampu berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan kepada enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukuman itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah, dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dalam ayat 3 dan 4 ini, Allah Swt menyatakan cara-cara kaffarah apabila seorang suami telah menziharkan isterinya, kemudian selepas itu dia ingin rujuk kembali dan ingin menyetubuhi isterinya. Kaffarah zihar adalah wajib secara berturutan iaitu, sekiranya dia tidak mampu melakukan perkara yang pertama, maka dia perlu lakukan yang kedua dan demikian juga yang seterusnya jika dia tidak mampu melakukan yang kedua.
Pertama: Memerdekakan seorang hamba.
Kedua: Berpuasa 2 bulan berturut-turut.
Ketiga: Memberi makan 60 orang fakir miskin bersamaan 60 sha’ makanan seperti kurma atau selainnya. Satu sha’ bersamaan 4 mud. Satu mud adalah ukuran sekadar yang memenuhi dua tapak tangan lelaki dewasa.
Demikianlah hukum zihar yang telah ditetapkan supaya mereka beriman kepada Allah dan rasul-Nya dalam mengamalkan syariat-Nya serta tidak berterusan mengikut kebiasaan orang-orang Jahiliyah. Sesiapa yang ingkar dengan melanggar hukum-hukum yang ditetapkan-Nya akan mendapat seksaan yang pedih.