Perintah kepada Ahli Kitab agar Bertakwa kepada Allah Swt
Surah 57: Al-Hadid (28 – 29)
Ayat 28
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَءَامِنُوا۟ بِرَسُولِهِۦ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن رَّحْمَتِهِۦ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِۦ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada rasul-Nya (Muhammad), nescaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah Swt menyeru orang-orang yang beriman daripada kalangan ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani supaya bertakwa kepada-Nya dan tidak membezakan para rasul serta beriman kepada Rasulullah saw.
Allah Swt akan memberi mereka pahala dua kali ganda dan cahaya petunjuk yang menerangi mereka di dunia kerana Islam adalah agama yang lurus dan benar. Demikian juga ketika di akhirat, Dia memberikan mereka cahaya yang terang menjadikan mereka dapat melalui titian dengan mudah menuju syurga-Nya. Dia mengampuni dosa-dosa yang lalu kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan furqan (kemampuan membezakan antara yang hak dan batil) kepadamu dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Allah memiliki kurniaan yang besar.”
Al-Anfal 8:29
Rasulullah saw bersabda:
“Ada tiga orang yang akan diberi pahala dua kali, 1) seorang lelaki daripada kalangan ahli kitab yang beriman kepada nabi-Nya dan beriman kepadaku, 2) hamba yang menunaikan hak Allah dan hak tuannya, dan 3) orang yang mendidik hamba wanitanya dengan baik kemudian memerdekakannya dan menikahinya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 29
لِّئَلَّا يَعْلَمَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ أَلَّا يَقْدِرُونَ عَلَىٰ شَىْءٍ مِّن فَضْلِ ٱللَّهِ ۙ وَأَنَّ ٱلْفَضْلَ بِيَدِ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ
(Kami terangkan yang demikian itu) supaya ahli kitab mengetahui bahawa mereka tidak mendapat sedikit pun akan kurniaan Allah (jika mereka tidak beriman kepada Muhammad), dan bahawasanya kurniaan itu adalah di tangan Allah. Dia berikan kurniaan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar.
Pada akhir surah ini, Allah Swt menyatakan bahawa semua peringatan itu disampaikan kepada ahli kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani yang menolak untuk beriman kepada Rasulullah saw dan tidak mahu memeluk agama Islam bahawa mereka tidak akan mendapat sedikit pun kurniaan daripada-Nya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui siapa yang layak mendapat kurniaan-Nya dan Dia adalah pemilik kurniaan yang agung.
Daripada Ibnu ‘Umar ra, Rasulullah saw bersabda:
“Perumpamaan kalian dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani adalah seperti orang yang mengupah ramai buruh. Lalu dia berkata, ‘Siapakah yang mahu bekerja untukku mulai daripada solat Subuh sehingga tengah hari dengan upah satu qirat?’ Ketahuilah mereka ialah orang-orang Yahudi. Kemudian orang itu bertanya lagi, ‘Siapakah yang mahu bekerja untukku mulai daripada solat Zuhur sehingga solat Asar dengan upah satu qirat setiap orang?’ Ketahuilah mereka itu ialah orang-orang Nasrani. Kemudian orang itu bertanya lagi, ‘Siapakah yang mahu bekerja untukku mulai daripada solat Asar sehingga tenggelamnya matahari dengan upah dua qirat?’ Maka orang-orang Yahudi dan Nasrani marah dan berkata, ‘Kami bekerja dengan lebih berat (lebih lama), tetapi upah kami lebih sedikit.’ Lalu orang yang mengupah pekerja pekerja itu bertanya, ‘Apakah aku berbuat zalim terhadap kalian tentang upah yang aku janjikan?’ Mereka menjawab, ‘Tidak.’ Orang itu berkata, ‘Sesungguhnya upah dua qirat itu adalah semata-mata kemurahan daripadaku yang aku berikan kepada sesiapa sahaja yang aku kehendaki.’”
(HR. Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)