Surah 57: Al-Hadid (12 – 15)

Keadaan Orang Beriman dan Orang Munafik pada Hari Kiamat

Surah 57: Al-Hadid (12 – 15)


Ayat 12

يَوْمَ تَرَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ يَسْعَىٰ نُورُهُم بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَـٰنِهِم بُشْرَىٰكُمُ ٱلْيَوْمَ جَنَّـٰتٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

(Iaitu) pada hari ketika kamu melihat orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (Dikatakan kepada meraka), “Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.”

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang beriman yang gemar bersedekah, kelak pada Hari Kiamat diberikan cahaya yang bersinar dari hadapan dan belakang mereka.

Cahaya yang diberikan kepada mereka itu adalah sesuai dengan keimanan dan amal soleh mereka ketika hidup di dunia dahulu. Cahaya itu akan menerangi dan menunjukkan jalan menuju ke syurga.

Abdullah bin Mas’ud ra berkata tentang ayat, “Cahaya mereka bersinar di hadapan,” ialah cahaya yang diberikan kepada mereka adalah berdasarkan amalan masing-masing. Ada di antara mereka yang berjalan di atas sirat, cahaya yang ada pada mereka ada yang besar seperti gunung dan ada yang kecil seperti cahaya pada hujung ibu jari yang kadang-kadang menyala dan kadang-kadang redup.

Mereka juga menerima buku amalan dengan tangan kanan. Para malaikat yang ditugaskan menyambut mereka menyampaikan berita-berita gembira iaitu balasan syurga dengan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Mereka kekal di dalamnya.

Ini merupakan kejayaan yang paling besar kerana diselamatkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga Allah yang Maha Pengasih.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….dan sesiapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikitpun.”

Al-Isra’ 17:71

Ayat 13

يَوْمَ يَقُولُ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتُ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱنظُرُونَا نَقْتَبِسْ مِن نُّورِكُمْ قِيلَ ٱرْجِعُوا۟ وَرَآءَكُمْ فَٱلْتَمِسُوا۟ نُورًا فَضُرِبَ بَيْنَهُم بِسُورٍ لَّهُۥ بَابٌۢ بَاطِنُهُۥ فِيهِ ٱلرَّحْمَةُ وَظَـٰهِرُهُۥ مِن قِبَلِهِ ٱلْعَذَابُ

Pada hari ketika orang-orang munafik lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman, “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu.” Dikatakan (kepada mereka), “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu).” Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari arah itu ada seksaan.

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan adalah orang-orang yang ketika hidup di dunia menyembunyikan kekafiran yang ada dalam hati-hati mereka. Mereka menampakkan keislaman dengan perkataan dan amal perbuatan.

Dalam ayat ini, Allah Swt menceritakan apa yang bakal terjadi pada Hari Kiamat nanti di tempat pemberhentian. Banyak terjadi perkara-perkara yang mengerikan lagi sangat mengejutkan, kegoncangan yang sangat dahsyat dan peristiwa-peristiwa lain yang sangat menakutkan. Sesungguhnya tiada yang selamat pada hari itu kecuali orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta mengerjakan apa yang diperintahkan dan menjauhi larangan-Nya.

Al-‘Aufi dan Adh-Dhahhak serta selain mereka berdua telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa ketika manusia berada di dalam kegelapan Hari Kiamat, maka Allah Swt mengirimkan cahaya. Ketika orang-orang mukmin melihat adanya cahaya, mereka bergerak menuju ke arah cahaya itu dan cahaya itu adalah petunjuk daripada Allah yang menunjukkan mereka ke arah syurga. Ketika orang-orang munafik melihat orang-orang beriman bergerak, maka orang-orang munafik mengikuti jejak orang-orang beriman, tetapi Allah memadamkan cahaya bagi orang-orang munafik. Pada saat itulah orang-orang munafik meminta agar orang-orang beriman menunggu mereka kerana mereka pernah bersama-sama semasa di dunia dahulu. Tujuannya ialah supaya mereka dapat mengambil sebahagian daripada cahaya orang-orang beriman. Maka orang-orang beriman mengatakan kepada mereka agar kembalilah ke dunia dan carilah cahaya di sana.

Berkaitan dengan ayat, “Lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu.” Al-Hassan dan Qatadah mengatakan, “Itulah dinding yang ada di antara syurga dan neraka.” Manakala ‘Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengatakan maksudnya adalah sama seperti firman Allah Ta’ala, “Dan di antara keduanya (penghuni syurga dan neraka) ada dinding pembatas…….” (Al-A’raf 7:46).

Qatadah, Ibnu Zaid dan lain-lain mengatakan maksud ayat, “Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari arah itu ada seksaan,” ialah di sebelah dalam dari pintu itu terdapat syurga dan segala yang ada di dalamnya, manakala di luarnya adalah neraka.

Ayat 14

يُنَادُونَهُمْ أَلَمْ نَكُن مَّعَكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ وَلَـٰكِنَّكُمْ فَتَنتُمْ أَنفُسَكُمْ وَتَرَبَّصْتُمْ وَٱرْتَبْتُمْ وَغَرَّتْكُمُ ٱلْأَمَانِىُّ حَتَّىٰ جَآءَ أَمْرُ ٱللَّهِ وَغَرَّكُم بِٱللَّهِ ٱلْغَرُورُ

Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang beriman) seraya berkata, “Bukankah kami dahulu bersama-sama kamu?” Mereka menjawab, “Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.

Kemudian Allah Swt menyebutkan keadaan orang-orang munafik yang telah terpisah daripada orang-orang beriman. Mereka berteriak memanggil-manggil orang-orang beriman sambil mengatakan bukankah ketika di dunia dahulu mereka sama-sama mengerjakan amalan yang baik dan memperjuangkan agama Allah.

Lalu orang-orang beriman menjawab kepada orang-orang munafik itu bahawa apa yang dikatakan oleh mereka adalah benar. Namun mereka telah membinasakan diri mereka sendiri dengan kemunafikan, kemaksiatan, kederhakaan dan kesenangan dunia.

Sesungguhnya orang-orang munafik itu dihina dan diazab kerana terpedaya dengan dunia. Mereka sebenarnya ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dan tidak yakin adanya Hari Kebangkitan.

Orang-orang munafik itu juga telah tertipu dengan angan-angan kosong yang beranggapan bahawa mereka telah beriman kepada Allah Swt dan Dia tidak akan menurunkan azab kepada mereka. Namun sebenarnya mereka telah ditipu oleh syaitan yang telah menghiasi mereka dengan kekufuran dan angan-angan tersebut.

Ayat 15

فَٱلْيَوْمَ لَا يُؤْخَذُ مِنكُمْ فِدْيَةٌ وَلَا مِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ مَأْوَىٰكُمُ ٱلنَّارُ ۖ هِىَ مَوْلَىٰكُمْ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

Maka pada hari ini tidak diterima tebusan daripada kamu dan tidak juga daripada orang-orang kafir. Tempat kamu ialah neraka. Itulah tempat berlindungmu dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Allah Swt menyatakan pada hari itu, orang-orang munafik berputus asa kerana tiada lagi harapan untuk menyelamatkan diri. Ketika itu tidak akan diterima apapun tebusan untuk menebus diri mereka daripada azab-Nya. Tempat menetap mereka adalah di Neraka Jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir lalu mati, sedang mereka tetap dalam kekafirannya, tidak akan diterima daripada seseorang di antara mereka walaupun emas sepenuh bumi, sekiranya dia hendak menebus diri dengannya (emas yang sebanyak itu). Mereka itulah yang akan mendapat azab yang pedih dan mereka tidak memperoleh pertolongan.”

Ali ‘Imran 3:91