Surah 57: Al-Hadid (1 – 3)

Semua Makhluk Bertasbih kepada Allah Swt

Surah 57: Al-Hadid (1 – 3)


Ayat 1

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah. Dia-lah Yang Maha Perkasa Maha Bijaksana.

Allah Swt memberitahu bahawa segala sesuatu di langit dan di bumi berupa benda-benda mati, tumbuh-tumbuhan, manusia dan haiwan semuanya bertasbih mensucikan-Nya daripada segala kekurangan dan hal-hal yang tidak layak bagi-Nya. Ini adalah satu bentuk pengagungan kepada-Nya, juga sebagai pengakuan dan ikrar terhadap sifat-sifat rububiyyah-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.”

Al-Isra’ 17:44

Ayat 2

لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ يُحْىِۦ وَيُمِيتُ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ

Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah Pemilik mutlak langit dan bumi. Dia-lah yang mengatur dan mengelola makhluk-Nya.

Allah Swt juga Maha Berkuasa menghidupkan dan mematikan sesiapa yang Dia kehendaki, memberikan kelebihan dan menarik kurniaan-Nya daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Semuanya adalah di bawah kekuasaan-Nya dengan ilmu-Nya yang penuh dengan hikmah.

Ayat 3

هُوَ ٱلْأَوَّلُ وَٱلْـَٔاخِرُ وَٱلظَّـٰهِرُ وَٱلْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Dia-lah Yang Awal, Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah Swt mengatakan bahawa Dia-lah Yang Maha Awal yang sebelum-Nya tidak ada sesuatu, Maha Akhir yang sesudah-Nya tidak ada sesuatu, Maha Zahir yang di atas-Nya tidak ada sesuatu, Maha Batin yang tidak ada sesuatu pun yang tidak terjangkau oleh-Nya. Sesungguhnya tidak ada sesuatu pun di bumi dan di langit yang samar bagi-Nya. Dia-lah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Zumail, dia berkata, “Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas ra, ‘Aku menyimpan sesuatu di dalam dadaku.’ Ibnu ‘Abbas ra bertanya, ‘Apa itu?’ Aku berkata, ‘Demi Allah! Aku tidak mahu membicarakannya.’ Ibnu ‘Abbas ra bertanya lagi, ‘Apakah itu sedikit keraguan?’ Ibnu ‘Abbas ra tertawa dan dia berkata, ‘Tidak ada seorang pun yang selamat daripada hal itu.’ Ibnu ‘Abbas ra berkata lagi, ‘Sampai Allah menurunkan ayat, ‘Maka jika kamu (Muhammad) berada dalam keragu-raguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu. Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu daripada Rabbmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu temasuk orang-orang yang ragu-ragu.’ (Yunus 10:94) Ibnu ‘Abbas ra berkata lagi kepadaku, “Jika engkau mendapati sesuatu (keraguan) di dalam dadamu maka katakanlah, ‘Dia-lah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”