Keadaan Manusia pada ketika Sakaratul Maut
Surah 56: Al-Waqi’ah (83 – 96)
Ayat 83
فَلَوْلَآ إِذَا بَلَغَتِ ٱلْحُلْقُومَ
Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkongan.
Apabila seseorang itu mengalami sakaratul maut iaitu hampir meninggal dunia dan ketika itu roh telah sampai ke kerongkong, dia tidak lagi dapat berbuat apa-apa. Ini sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan, dan dikatakan (kepadanya), ‘Siapakah yang dapat menyembuhkan?’ Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia), dan bertaut betis (kiri) dan betis (kanan), kepada Rabbmu pada hari itu kamu dihalau.”
Al-Qiyamah 75:26-30
Ayat 84
وَأَنتُمْ حِينَئِذٍ تَنظُرُونَ
Padahal kamu ketika itu melihat.
Ada dua pendapat tentang maksud ayat ini:
▪️ Merujuk kepada orang-orang yang berada hampir dengan orang yang nazak dan mereka cuma dapat melihat orang tersebut tetapi tidak mengetahui apa yang sedang dilalui oleh orang yang sedang nazak itu.
▪️ Merujuk kepada orang yang sedang menghadapi sakaratul maut itu. Dia melihat malaikat maut sedang menarik rohnya keluar dari jasadnya. Dia hanya dapat melihat sahaja dan dia tidak dapat menghalang apa yang terjadi terhadapnya.
Ayat 85
وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنكُمْ وَلَـٰكِن لَّا تُبْصِرُونَ
Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.
Ayat ini bermaksud Allah Swt lebih dekat dengan orang yang menghadapi sakaratul maut dengan kuasa, pengetahuan dan penglihatan-Nya.
Namun orang yang sedang menghadapi sakaratul maut itu dan manusia yang ada berdekatan dengan orang tersebut tidak mengetahui hal tersebut dan mereka tidak dapat melihat malaikat yang diutus yang bertugas mencabut nyawa.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang mempunyai kekuasaan tertinggi atas semua hamba-Nya, dan diutuskan kepadamu malaikat-malaikat sebagai penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, dan malaikat-malaikat Kami mencabut nyawanya, dan mereka tidak melalaikan tanggungjawabnya. Kemudian mereka (hamba-hamba Allah) dikembalikan kepada Allah, Penguasa mereka yang sebenarnya. Ketahuilah bahawa segala hukum (pada hari itu) kepunyaan-Nya. Dan Dia-lah pembuat perhitungan yang paling cepat.”
Al-An’am 6:61-62
Ayat 86
فَلَوْلَآ إِن كُنتُمْ غَيْرَ مَدِينِينَ
Maka mengapa jika kamu tidak dikuasai (oleh Allah).
Ayat 87
تَرْجِعُونَهَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Kamu tidak mengembalikannya (nyawa itu ditempatnya) jika kamu orang-orang yang benar?
Pertanyaan Allah Ta’ala ini adalah sebagai celaan terhadap mereka. Sekiranya mereka berkuasa mengapa mereka tidak mengembalikan nyawa yang telah sampai ke kerongkong itu ke tempatnya semula.
Sa’id bin Jubair dan Hassan Al-Basri dan Mujahid mengatakan maksud ayat ini ialah jika mereka tidak mempercayai bahawa mereka akan dibangkitkan, dihisab dan diberikan balasan, maka kembalikanlah roh ke tempat asalnya. Sekiranya mereka tidak dapat menguasai roh itu, maka ketahuilah bahawa Allah Ta’ala yang menguasainya. Ingatlah bahawa Dia berkuasa untuk memasukkan roh dan mengeluarkannya, maka Dia juga boleh memasukkan roh itu semula apabila berlaku Hari Kebangkitan.
Ayat 88
فَأَمَّآ إِن كَانَ مِنَ ٱلْمُقَرَّبِينَ
Adapun jika dia (orang yang mati) itu termasuk yang didekatkan (kepada Allah).
Tiga keadaan manusia pada saat sakaratul maut. Dalam ayat ini disebutkan tentang golongan pertama iaitu golongan yang didekatkan dengan Allah Ta’ala (Al-Muqarrabin). Mereka ini melakukan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Ayat 89
فَرَوْحٌ وَرَيْحَانٌ وَجَنَّتُ نَعِيمٍ
Maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga (yang penuh) kenikmatan.
Golongan yang didekatkan dengan Allah Ta’ala ini akan mendapat ketenteraman dan kesenangan. Para malaikat menyampaikan berita gembira ini kepada mereka pada saat mereka menghadapi kematian.
Ayat 90
وَأَمَّآ إِن كَانَ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلْيَمِينِ
Dan adapun jika dia termasuk golongan kanan.
Ayat 91
فَسَلَـٰمٌ لَّكَ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلْيَمِينِ
Maka (diucapkan kepada mereka), “Keselamatan bagi kamu,” daripada golongan kanan.
Dalam ayat-ayat ini pula disebutkan tentang golongan kedua iaitu golongan kanan. Jika orang yang sedang menghadapi sakratul maut itu daripada golongan kanan, para malaikat akan menyampaikan berita gembira dan mengucapkan, “Keselamatan untuk kamu.” Ini sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, ‘Rabb kami adalah Allah,’ kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata, ‘Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu. Kami-lah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat, di dalam syurga itu kamu mendapat apa sahaja yang kamu inginkan dan yang kamu minta. Sebagai penghormatan (bagimu) daripada (Allah) Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.’”
Fussilat 41:30-32
Ayat 92
وَأَمَّآ إِن كَانَ مِنَ ٱلْمُكَذِّبِينَ ٱلضَّآلِّينَ
Dan adapun jika dia termasuk golongan orang-orang yang mendustakan lagi sesat.
Ayat 93
فَنُزُلٌ مِّنْ حَمِيمٍ
Maka dia mendapat hidangan air yang mendidih.
Ayat 94
وَتَصْلِيَةُ جَحِيمٍ
Dan dibakar di dalam neraka.
Ayat 92 hingga ayat 94 ini menjelaskan tentang orang-orang yang termasuk dalam golongan yang ketiga iaitu orang-orang yang mendustakan kebenaran, tersesat dan tidak mendapat petunjuk.
Ayat-ayat ini juga terdapat celaan Allah Swt kepada mereka. Sambutan yang disediakan bagi mereka adalah daripada air panas yang akan melelehkan isi perut dan kulit-kulit mereka. Kepanasannya tidak dapat dibandingkan dengan kepanasan di dunia kerana di neraka panasnya adalah berganda-ganda. Mereka ditempatkan di neraka yang mengepungnya dari segala penjuru.
Ayat 95
إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ حَقُّ ٱلْيَقِينِ
Sesungguhnya (yang disebutkan ini), adalah suatu keyakinan yang benar.
Apa yang diberitahu dalam ayat-ayat di atas merupakan kebenaran yang meyakinkan, yang tidak ada keraguan lagi di dalamnya. Tidak ada seorang pun yang dapat menghindarkan diri daripadanya.
Ayat 96
فَسَبِّحْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلْعَظِيمِ
Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Rabbmu yang Maha Besar.
Allah Swt menutup surah ini dengan mengulangi lagi ayat ini yang juga terdapat pada ayat 74 agar setiap orang sentiasa mensucikan-Nya.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Dua kalimah yang ringan diucapkan, berat dalam timbangan dan disukai Allah Yang Maha Pemurah,
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ
‘SubhanAllah wa bihamdihi (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya) dan SubhanAllahil ‘Azim (Maha Suci Allah Yang Maha Agung).’”
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, At-Tirmizi dan An-Nasa’i)