Surah 56: Al-Waqi’ah (77 – 82)

Sumpah Allah Swt ke atas Kemuliaan Al-Quran

Surah 56: Al-Waqi’ah (77 – 82)


Ayat 77

إِنَّهُۥ لَقُرْءَانٌ كَرِيمٌۭ

Sesungguhnya Al-Quran ini adalah bacaan yang sangat mulia.   

Dalam ayat 77 sehingga ayat 80, Allah Swt menjelaskan Al-Quran dengan empat sifat, iaitu:

Pertama

Al-Quran bukanlah syair, sihir, rekaan dan penuh dengan cerita dongeng seperti yang didakwa oleh orang-orang kafir Quraisy. Sebaliknya ia sangat suci lagi mulia, terhormat, sangat berharga dan merupakan mukjizat yang banyak kebaikan, keberkatan serta manfaatnya.

Ayat 78

فِى كِتَـٰبٍ مَّكْنُونٍ

Pada kitab yang terpelihara (Lauh Mahfuz).

Kedua

Al-Quran adalah kitab yang terpelihara di sisi Allah Swt daripada perkara yang mengandungi kebatilan, daripada diubah dan dipinda isi kandungannya.

Ayat 79

لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلْمُطَهَّرُونَ

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.

Ketiga

Tidak disentuh kecuali oleh makhluk yang disucikan.

Ada beberapa pendapat tentang maksud ayat di atas, antaranya:

▪️  Ibnu Jarir berkata, daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa maksud ayat ini ialah Al-Quran yang ada di langit.

▪️  Al-‘Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa dia berkata maksud ayat ini ialah para malaikat.

▪️  Ibnu Jarir mengatakan, daripada Qatadah bahawa maksud ayat ini ialah tidak ada yang menyentuhnya di sisi Allah kecuali hamba-hamba yang disucikan, iaitu para malaikat. Adapun di dunia, maka sesungguhnya Al-Quran itu dapat dipegang oleh orang Majusi yang najis dan orang munafik yang kotor.

Ibnu Zaid mengatakan bahawa orang-orang Quraisy menyangka bahawa Al-Quran ini diturunkan oleh syaitan. Maka Allah Swt menerangkan bahawa Al-Quran ini tidak dapat disentuh kecuali oleh hamba-hamba yang disucikan (malaikat). Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan (Al-Quran) itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah layak mereka menurunkan (Al-Quran), dan mereka pun tidak akan sanggup. Sesungguhnya mereka dijauhkan daripada mendengarkan Al-Quran.”

Asy-Syu’ara’ 26:210-212

Ayat 80

تَنزِيلٌ مِّن رَّبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Diturunkan oleh Rabb seluruh alam.

Keempat

Diturunkan dari sisi Allah Swt, Rabb sekalian alam.

Al-Quran ini diturunkan daripada Allah, Rabb semesta alam, dan bukanlah seperti yang di dakwa oleh orang-orang yang tidak mahu beriman dengan Al-Quran. Bahkan Al-Quran itu adalah benar dan tiada keraguan padanya.

Ayat 81

أَفَبِهَـٰذَا ٱلْحَدِيثِ أَنتُم مُّدْهِنُونَ

Apakah kamu menganggap remeh berita ini (Al-Quran)?

Selanjutnya, Allah Swt mengecam dan mencerca orang-orang yang menganggap remeh Al-Quran dan mendustakannya.

Ayat 82

وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ

Dan kamu jadikan rezeki yang kamu terima (daripada Allah) untuk mendustakan-Nya.

Al-‘Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa مُّدْهِنُونَ (mudhinun) adalah bermaksud mendustakan dan tidak mempercayainya.

Sebahagian ulama mengatakan maksud ayat 82 ini ialah mereka sepatutnya bersyukur kepada Allah Swt dengan hujan yang diturunkan-Nya yang merupakan sumber rezeki tetapi sebahagian daripada mereka mendustakannya dan menjadi kafir apabila mereka mengatakan hujan ini turun kerana bintang itu dan ini.

Daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu ‘Abbas ra dia berkata, “Tidak ada suatu kaum diberi hujan melainkan sebahagian daripada mereka menjadi kafir disebabkan perkataan mereka, ‘Kami diberi hujan kerana bintang itu dan ini.’ Lalu Ibnu ‘Abbas ra membacakan ayat ini.”