Penegasan tentang Kekuasaan Allah Swt
Surah 56: Al-Waqi’ah (63 – 76)
Ayat 63
أَفَرَءَيْتُم مَّا تَحْرُثُونَ
Pernahkah kamu perhatikan benih yang kamu tanam?
Ayat 64
ءَأَنتُمْ تَزْرَعُونَهُۥٓ أَمْ نَحْنُ ٱلزَّٰرِعُونَ
Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami-kah yang menumbuhkannya?
Allah Swt mengemukakan dalil dan bukti yang lain tentang kekuasaan-Nya iaitu tentang siapakah yang menumbuhkan benih di dalam tanah, adakah manusia atau Dia yang menumbuhkannya. Kemudian siapakah yang membesarkan tumbuh-tumbuhan itu dan mengeluarkan buah sebagai hasilnya. Jika manusia mengaku bahawa Dia-lah yang menumbuhkan, membesarkan dan mengeluarkan hasil, mengapa pula mereka tidak mempercayai bahawa Allah Berkuasa membangkitkan orang-orang yang telah mati.
Ibnu Jarir telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Jangan sekali-kali kamu katakan, ‘aku telah menumbuhkan,’ tetapi katakanlah, ‘aku telah menanam.’” Abu Hurairah ra berkata, “Bukankah kalian telah mendengar firman Allah Ta’ala yang menyebutkan, ‘Pernahkah kamu perhatikan benih yang kamu tanam? Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami-kah yang menumbuhkannya?’”
(HR. At-Tabari)
Ayat 65
لَوْ نَشَآءُ لَجَعَلْنَـٰهُ حُطَـٰمًا فَظَلْتُمْ تَفَكَّهُونَ
Kalau Kami kehendaki, benar-benar Kami jadikannya hancur dan kering, maka jadilah kamu hairan dan tercengang.
Ayat 66
إِنَّا لَمُغْرَمُونَ
(Sambil berkata), “Sesungguhnya, kami benar-benar menderita kerugian.
Ayat 67
بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ
Bahkan kami menjadi orang-orang yang tidak mendapat apa-apa hasil pun.”
Dalam rangkaian ayat-ayat di atas menunjukkan bahawasanya Allah Swt yang menumbuhkan tanaman berkat kelembutan dan kasih sayang-Nya. Dia-lah juga yang menjaga dan menjadikan tumbuh-tumbuhan itu tumbuh dengan sempurna.
Sekiranya Dia kehendaki, Dia akan benar-benar menjadikan tanaman itu kering sebelum masa memetik atau sebelum masak buahnya. Sekiranya Dia benar-benar menjadikan tanaman mereka kering, pasti mereka tercengang sambil mengatakan sesungguhnya mereka terjerumus dalam keburukan dan segala perbuatan mereka adalah sia-sia.
Ayat 68
أَفَرَءَيْتُمُ ٱلْمَآءَ ٱلَّذِى تَشْرَبُونَ
Pernahkah kamu perhatikan air yang kamu minum?
Ayat 69
ءَأَنتُمْ أَنزَلْتُمُوهُ مِنَ ٱلْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ ٱلْمُنزِلُونَ
Kamukah yang menurunkannya (dari awan) atau Kami-kah yang menurunkannya?
Seterusnya, Allah Swt menjelaskan air yang menjadi sumber kehidupan di muka bumi.
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, dan lain-lainnya mengatakan yang dimaksudkan dengan ٱلْمُزْنِ ialah awan.
Lalu dalam ayat ini, Allah Swt bertanyakan adakah mereka perhatikan air yang mereka minum setiap hari. Adakah mereka yang menurunkan air hujan dari langit atau Dia Yang Maha Berkuasa menurunkannya.
Ayat 70
لَوْ نَشَآءُ جَعَلْنَـٰهُ أُجَاجًا فَلَوْلَا تَشْكُرُونَ
Sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?
Sekiranya Allah Swt kehendaki nescaya Dia akan menjadikan air hujan itu masin lagi pahit dan tidak sesuai untuk diminum dan tidak dapat digunakan untuk pengairan tanaman. Oleh itu, mengapa tidak mensyukuri nikmat-Nya yang menurunkan air hujan yang tawar dan enak untuk diminum.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….sebahagiannya kamu jadikan minuman dan sebahagiannya untuk (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, di mana kamu menggembala ternakanmu. Dengan (air hujan) itu Dia menumbuhkan untukmu tanam tanaman; zaitun, kurma, anggur dan setiap jenis buah-buahan. Sesunguhnya, yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir.”
An-Nahl 16:10-11
Ayat 71
أَفَرَءَيْتُمُ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى تُورُونَ
Pernahkah kamu perhatikan tentang api yang kamu nyalakan (dengan kayu)?
Ayat 72
ءَأَنتُمْ أَنشَأْتُمْ شَجَرَتَهَآ أَمْ نَحْنُ ٱلْمُنشِـُٔونَ
Kamukah yang menumbuhkan kayu itu atau Kami-kah yang menumbuhkannya?
Allah Swt bertanya tentang api yang dinyalakan iaitu dengan cara menggosok-gosokkan kayu yang diambil daripada dahan pohon hingga dapat mengeluarkan api. Adakah mereka yang menumbuhkan pokok-pokok tersebut atau Dia yang menumbuhkannya dengan kuasa-Nya.
Sesungguhnya Allah-lah yang menjadikan kayu mengandungi api. Orang-orang Arab pada masa lampau menggunakan dua jenis kayu iaitu kayu marakh dan kayu ‘ifar bagi mendapatkan api. Ranting daripada kedua-dua batang kayu yang masih hijau ini diambil, lalu kedua-duanya saling digosokkan. Daripada gesekan tersebut keluarlah percikan api.
Ayat 73
نَحْنُ جَعَلْنَـٰهَا تَذْكِرَةً وَمَتَـٰعًا لِّلْمُقْوِينَ
Kami menjadikannya (api itu) untuk peringatan dan bahan yang berguna bagi orang-orang yang bermusafir di padang pasir.
Mujahid dan Qatadah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan, “Kami menjadikannya (api itu) untuk peringatan” ialah untuk mengingatkan manusia kepada api yang sangat besar iaitu api neraka.
Imam Ahmad di dalam kitab musnadnya daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw telah bersabda:
“Sesungguhnya api kalian ini merupakan satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian daripada api Neraka Jahannam, lalu dicelup ke dalam laut sebanyak dua kali. Seandainya tidak dicelup terlebih dahulu, nescaya Allah tidak menjadikan manfaat pada api itu bagi sesiapa pun.”
(HR. Ahmad)
Ayat 74
فَسَبِّحْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلْعَظِيمِ
Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang Maha Besar.
Oleh itu pada ayat ini, Allah Swt mengingatkan agar hamba-hamba-Nya bertasbih dengan menyebut nama-Nya iaitu Rabb Yang Maha Besar yang dengan kekuasaan-Nya Dia telah menciptakan segala sesuatu yang pelbagai ragam lagi berlawanan.
Air yang tawar, enak diminum, lagi sejuk dan menyegarkan. Seandainya Allah Swt kehendaki, Dia boleh menjadikannya berasa masin lagi pahit dan tidak enak diminum seperti air laut.
Dia juga menciptakan api yang panasnya membakar, lalu Dia menjadikan api itu bermanfaat bagi hamba-hamba-Nya dalam kehidupan duniawi mereka, yang sekali gus terdapat peringatan kepada mereka terhadap Hari Kemudian, iaitu hari mereka akan dikembalikan kepada-Nya.
Ayat 75
فَلَآ أُقْسِمُ بِمَوَٰقِعِ ٱلنُّجُومِ
Lalu Aku bersumpah dengan tempat peredaran bintang-bintang.
Allah Swt bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang iaitu tempat terbit dan terbenamnya bintang-bintang yang menunjukkan kejadian-kejadian tentang keagungan, kebesaran dan keesaan-Nya.
Menurut pendapat jumhur ulama, Allah Swt bebas bersumpah dengan apa sahaja yang Dia kehendaki daripada ciptaan-Nya sebagai tanda kebesaran-Nya.
Ayat 76
وَإِنَّهُۥ لَقَسَمٌ لَّوْ تَعْلَمُونَ عَظِيمٌ
Dan sesungguhnya sumpah itu benar-benar sumpah yang besar sekiranya kamu mengetahui.
Sumpah ini adalah sumpah yang agung, kerana pada bintang-bintang, peredarannya, jatuhnya di tempat-tempat terbenamnya adalah merupakan tanda-tanda dan peringatan yang tidak mungkin dapat dihitung.