Gambaran Syurga dan Keadaan Orang yang Bertakwa di Dalamnya
Surah 55: Ar-Rahman (46 – 78)
Ayat 46
وَلِمَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ جَنَّتَانِ
Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Rabbnya ada dua syurga.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang bertakwa lagi takut kepada-Nya kerana kebesaran dan keagungan-Nya akan diberikan balasan syurga ketika menghadap-Nya kelak. Ini bertujuan mendorong mereka untuk melaksanakan amal soleh.
Ada beberapa pendapat tentang maksud dua syurga dalam ayat ini:
▪️ Pertama – Dua syurga itu ialah satu untuk manusia dan satu lagi untuk jin.
▪️ Kedua – Orang-orang yang menunaikan semua perkara yang diwajibkan oleh Allah dan menjauhi perkara yang dilarang-Nya akan mendapat balasan dua syurga.
Daripada ‘Abdullah Ibnu Qais, Rasulullah saw bersabda:
“Dua syurga yang semua bekas dan segala sesuatunya dibuat daripada perak. Dan dua syurga yang semua bekas dan segalanya diperbuat daripada emas. Dan tidak ada sesuatu pun yang menghalang kaum itu di syurga ‘Adn daripada melihat kepada Rabb mereka yang Maha Perkasa lagi Maha Agung, kecuali selendang Keagungan-Nya pada Wajah-Nya.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 47
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Maka nikmat daripada Allah Swt yang manakah lagi yang hendak didustakan?
Ayat 48
ذَوَاتَآ أَفْنَانٍ
Kedua-kedua syurga itu mempunyai pelbagai jenis pohon-pohon dan buah-buahan.
Sifat bagi kedua-dua syurga itu ialah berpadang rumput yang menghijau dan ditumbuhi pula pokok-pokok kayu yang banyak dahannya, berdaun rimbun serta menghasilkan pula pelbagai jenis buah-buahan. Ini merupakan nikmat kepada penghuni syurga.
Ayat 49
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Maka nikmat Allah Swt yang manakah lagi yang hendak didustakan sedangkan keindahan dan nikmat inilah yang didambakan oleh setiap manusia.
Ayat 50
فِيهِمَا عَيْنَانِ تَجْرِيَانِ
Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat dua buah mata air yang mengalir.
Seterusnya, Allah Swt menjelaskan lagi keadaan kedua-dua syurga tersebut. Setiap syurga mempunyai dua mata air yang mengalir untuk mengairi pohon-pohon di dalam syurga sehingga dapat mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan. Amat indah keadaan di dalamnya.
Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa salah satu daripada kedua-dua mata air itu dinamakan tasnim dan yang satu lagi dinamakan salsabila. Manakala ‘Atiyyah pula mengatakan bahawa salah satunya adalah sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan baunya, sedangkan yang satu lagi adalah sungai khamar yang lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.
Ayat 51
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Nikmat-nikmat dalam syurga itu merupakan suatu yang pasti. Maka nikmat manakah lagi yang mereka dustakan.
Apabila seseorang itu menghargai nikmat daripada Allah Swt dan taat kepada-Nya semasa di dunia, maka balasannya ialah dia akan mendapat segala kelebihan seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas dan juga seperti yang disebut pada ayat seterusnya.
Ayat 52
فِيهِمَا مِن كُلِّ فَـٰكِهَةٍ زَوْجَانِ
Di dalam kedua-dua syurga itu terdapat pelbagai jenis buah-buahan yang berpasang-pasangan.
Pelbagai jenis buah-buahan yang ada di dalam syurga itu setiap buahnya ada sepasang. Ini kerana setiap buah-buahan itu mempunyai dua rasa dan rasanya pula tersangat sedap.
Ada pendapat yang mengatakan sepasang itu bermaksud ada buah yang pernah diketahui semasa di dunia dan ada yang tidak diketahui kerana hanya ada di syurga. Ini bermaksud, daripada segala jenis buah-buahan yang telah mereka ketahui dan yang terbaik daripada apa yang pernah mereka ketahui, serta kenikmatan lainnya itu belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, dan belum pernah terdetik dalam hati seorang manusia pun.
Ibrahim bin Al-Hakam bin Aban telah meriwayatkan daripada ayahnya, daripada ‘Ikrimah, daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa tiada suatu buah pun di dunia ini, baik yang manis mahupun yang pahit melainkan buah itu terdapat pula di dalam syurga sehingga buah bartawali (yang tersangt pahit) sekali pun.
Ayat 53
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Apa yang ada di akhirat dan apa yang ada di dunia hanya memiliki persamaan dari segi nama, namun perbezaan antara kedua-duanya sangat jauh. Maka nikmat Allah Swt yang manakah lagi yang hendak mereka dustakan?
Oleh itu, berlumba-lumbalah dalam mencari redha Allah dan nikmat-nikmat kurniaan-Nya.
Ayat 54
مُتَّكِـِٔينَ عَلَىٰ فُرُشٍۭ بَطَآئِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ ۚ وَجَنَى ٱلْجَنَّتَيْنِ دَانٍ
Mereka bersandar di atas permaidani yang bahagian dalamnya diperbuat daripada sutera tebal. Dan buah-buahan di kedua-dua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat.
Allah Swt menjelaskan nikmat lain yang ada dalam syurga iaitu penghuni syurga duduk bersandar di atas permaidani yang bahagian dalamnya dibuat daripada sutera.
Menurut ‘Ikrimah, Ad-Dahhak, dan Qatadah, إِسْتَبْرَقٍ adalah kain sutera yang tebal. Abu Imran Al-Juni mengatakan bahawa إِسْتَبْرَقٍ adalah kain sutera yang dihias dengan benang emas.
Di sini ditonjolkan kemuliaan bahagian luarnya dengan menyebutkan kemuliaan bahagian dalamnya. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa bahagian dalamnya sahaja sudah sedemikian mewah dan indah, maka terlebih lagilah pada bahagian luarnya.
Buah-buahan dalam syurga itu sangat dekat dengan mereka. Dalam keadaan apa sekalipun sekiranya mereka menginginkannya mereka akan dapat memetiknya dengan mudah.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan naungan pohon-pohon di dalam syurga itu dekat dengan mereka dan dimudahkan untuk memetik buahnya.”
Al-Insan 76:14
Ayat 55
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Setelah dinyatakan nikmat-nikmat di atas, maka nikmat apakah lagi yang hendak didustakan?
Ayat 56
فِيهِنَّ قَـٰصِرَٰتُ ٱلطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَآنٌّ
Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak juga oleh jin.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa dalam syurga terdapat bidadari-bidadari yang sopan yang selalu menundukkan pandangan, tidak memandang selain suaminya.
Mereka tetap dalam keadaan perawan dan berusia muda setara dengan suami mereka. Tiada seorang pun yang menyentuh mereka sebelum suami mereka, baik daripada kalangan manusia mahupun jin. Ayat ini merupakan suatu dalil yang menunjukkan bahawa jin yang mukmin akan masuk syurga. Manusia akan dapat pasangan daripada manusia juga dan jin akan dapat pasangan daripada jin pula.
Ayat 57
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Amat banyak nikmat yang telah disebutkan. Maka nikmat manakah lagi yang hendak didustakan?
Ayat 58
كَأَنَّهُنَّ ٱلْيَاقُوتُ وَٱلْمَرْجَانُ
Seakan-akan mereka itu permata delima dan marjan.
Allah Swt menggambarkan ciri-ciri bidadari syurga. Mujahid, Al-Hasan dan Ibnu Zaid serta selain mereka mengatakan bahawa maksud ayat ini ialah ciri-ciri bidadari itu sejernih delima dan seputih marjan (mutiara).
Ayat 59
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Nikmat-nikmat yang Allah Swt telah sediakan kepada ahli syurga. Semuanya itu adalah kerana ketaatan mereka semasa di dunia. Maka nikmat manakah lagi yang hendak didustakan oleh manusia dan jin?
Ayat 60
هَلْ جَزَآءُ ٱلْإِحْسَـٰنِ إِلَّا ٱلْإِحْسَـٰنُ
Tidak ada balasan untuk kebaikan kecuali kebaikan (juga).
Kemudian Allah Swt menyatakan balasan bagi orang-orang yang berbuat amal soleh ketika di dunia tidak lain adalah kebaikan untuknya di akhirat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Bagi orang-orang yang melakukan kebaikan, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya (nikmat melihat Allah)………”
Yunus 10:26
Ayat 61
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Nikmat yang disebutkan dalam ayat sebelum ini iaitu tentang balasan pahala kepada seseorang itu merupakan nikmat yang agung daripada Allah Swt yang tidak sebanding dengan amalannya. Nikmat tersebut hanyalah semata-mata kurniaan daripada Allah Yang Maha Pemurah kepada hamba-hamba-Nya. Maka nikmat Allah Swt manakah lagi yang hendak didustakan?
Ayat 62
وَمِن دُونِهِمَا جَنَّتَانِ
Dan selain dua syurga itu ada dua syurga lagi.
Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah Swt telah menjelaskan beberapa gambaran tentang dua syurga sebagai balasan pahala kepada orang-orang yang bertakwa dan takut kepada-Nya. Kedua-dua syurga yang pertama yang disebutkan itu adalah untuk orang-orang yang mendekatkan diri dengan Allah Swt.
Manakala dalam ayat ini pula, Allah Swt menjelaskan ciri-ciri dua syurga yang lain. Ada pendapat mengatakan ini adalah balasan bagi golongan yang mempunyai kelas atau peringkat yang lain iaitu golongan kanan (Ashabul Yamin).
Ayat 63
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Allah Swt telah menyediakan nikmat syurga-syurga kepada hamba-hamba-Nya yang taat, maka nikmat manakah lagi yang hendak didustakan? Ya Allah, sesungguhnya tidak ada satu pun nikmat-Mu wahai Rabb kami yang kami dustakan. Bagi-Mu-lah segala puji.
Ayat 64
مُدْهَآمَّتَانِ
Kedua-dua syurga itu (kelihatan) hijau tua warnanya.
Dua syurga yang terakhir ini menghijau warnanya kerana mempunyai banyak dedaunan yang rendang dan subur menghijau kerana pengairan. Itulah sebabnya perkataan مُدْهَآمَّتَانِ digunakan. Ia berasal daripada perkataan yang bermaksud digelapkan. Ini kerana apabila dedaunan pokok-pokok itu terlalu banyak, suasana menjadi lebih gelap, redup dan amat menimbulkan ketenangan.
Ayat 65
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Tidak ada satu pun nikmat-Mu wahai Rabb kami yang kami dustakan. Bagi-Mu-lah segala puji.
Ayat 66
فِيهِمَا عَيْنَانِ نَضَّاخَتَانِ
Di dalam kedua-dua (syurga itu) ada dua buah mata air yang memancar.
Salah satu keistimewaan di taman dan perkebunan syurga yang disebutkan ini terdapat dua sumber air yang memancar dan mengalir dengan kuat. Adh-Dhahhak berkata ia adalah air yang penuh dan tidak pernah habis.
Ayat 67
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Tidak ada satu pun nikmat-Mu wahai Rabb kami yang kami dustakan. Bagi-Mu-lah segala puji.
Ayat 68
فِيهِمَا فَـٰكِهَةٌ وَنَخْلٌ وَرُمَّانٌ
Di dalam kedua-dua syurga itu ada buah-buahan, kurma dan delima.
Seterusnya, Allah Swt menjelaskan ciri-ciri kedua-dua jenis syurga itu iaitu di dalamnya terdapat buah-buahan yang banyak, pelbagai jenis, beraneka bentuk dan warna. Antaranya adalah buah kurma dan delima yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Ayat 69
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Tidak ada satu pun nikmat-Mu wahai Rabb kami yang kami dustakan. Bagi-Mu-lah segala puji. Sesungguhnya nikmat-nikmat ini sudah semestinya untuk dipuji dan disyukuri.
Ayat 70
فِيهِنَّ خَيْرَٰتٌ حِسَانٌ
Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi jelita.
Kemudian Allah Swt menyatakan dalam kedua-dua syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang baik akhlak dan cantik rupa paras mereka.
Menurut Qatadah perkataan خَيْرَاتٌ bermaksud kebaikan yang banyak dan baik di dalam syurga. Pendapat yang lain pula iaitu sebagaimana yang dijelaskan oleh kebanyakan ulama tafsir yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah secara marfu’, خَيْرَاتٌ bermaksud wanita yang baik akhlaknya dan cantik rupanya.
Ayat 71
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Nikmat Allah Swt yang manakah lagi wahai jin dan manusia daripada nikmat-nikmat ini dan yang lainnya yang hendak didustakan?
Ayat 72
حُورٌ مَّقْصُورَٰتٌ فِى ٱلْخِيَامِ
Bidadari-bidadari yang terpelihara di dalam tempat tinggalnya masing-masing (khemah).
Perkataan حُورٌ bermaksud perempuan cantik yang mempunyai mata mempesonakan. Boleh juga diertikan sebagai wanita yang kedua-dua mata putihnya lebih menyerlah daripada warna hitamnya dan ini menjadi lambang kecantikan.
Perkataan مَّقْصُورَاتٌ bermaksud bidadari itu menahan diri mereka. Mereka menunggu suami-suami mereka untuk masuk dan tinggal bersama-sama di dalam syurga.
Perkataan الْخِيَامِ pula bermaksud khemah. Ini menunjukkan bahawa para bidadari itu belum pernah dilihat oleh sesiapa pun, tinggal di dalam khemah di syurga diperbuat daripada mutiara yang berongga yang panjangnya mencapai 60 batu dan terletak berdekatan dengan istana-istana syurga.
Daripada ‘Abdullah Ibnu Qais, Rasulullah saw bersabda:
“Di dalam syurga terdapat khemah yang dibuat daripada mutiara yang berongga, luasnya sama dengan jarak enam puluh batu, pada setiap sudut khemah itu ada penghuninya yang satu sama lainnya tidak saling melihat, dan orang-orang mukmin yang mengelilingi mereka.”
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 73
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Tidak ada satu pun nikmat-Mu wahai Rabb kami yang kami dustakan. Bagi-Mu-lah segala puji.
Ayat 74
لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَآنٌّ
Mereka tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak juga oleh jin.
Allah Swt menyatakan bahawa bidadari itu tidak pernah digauli oleh seseorang pun baik manusia mahupun jin, sebelum suami mereka di syurga.
Ayat 75
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Maka nikmat manakah lagi yang hendak didustakan oleh jin dan manusia?
Ayat 76
مُتَّكِـِٔينَ عَلَىٰ رَفْرَفٍ خُضْرٍ وَعَبْقَرِىٍّ حِسَانٍ
Mereka bersandar pada bantal-bantal yang hijau dan permaidani-permaidani yang indah.
Allah Swt menyebutkan dalam dua syurga pertama, penghuninya bersandar atas permaidani yang bahagian dalamnya daripada sutera tebal, manakala dalam dua syurga ini, Dia menyebutkan para penghuninya bersandar pada bantal-bantal hijau dan permaidani yang indah. Jika diperhatikan, gambaran syurga pertama lebih tinggi dan keadaannya lebih mewah.
Ayat 77
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Dalam surah ini, Allah Swt mengulangi ayat ini sebanyak 31 kali. Pengulangan ayat sebanyak 8 kali setelah menyebutkan keajaiban-keajaiban ciptaan-Nya, asal usul penciptaan dan akhir kesudahan.
Pengulangan ayat ini sebanyak 7 kali adalah setelah penyebutan neraka dan kengeriannya, sesuai dengan jumlah pintu Neraka Jahannam sebanyak tujuh pintu.
Manakala 8 kali lagi pengulangan ayat ini disebutkan setelah dinyatakan gambaran syurga dan para penghuninya, sesuai dengan jumlah pintu-pintu syurga iaitu lapan pintu.
Akhirnya pengulangan ayat ini sebanyak 8 kali lagi setelah dijelaskan tentang syurga lain yang tingkatannya di bawah syurga yang pertama.
Sesiapa yang mengimani lapan pintu pertama dan menunaikan segala tuntutan yang diperintahkan Allah Swt, dia berhak mendapat lapan pintu yang kedua dan lapan pintu yang ketiga daripada-Nya serta dipelihara oleh-Nya daripada tujuh pintu yang lainnya iaitu neraka dan kengeriannya.
Ayat 78
تَبَـٰرَكَ ٱسْمُ رَبِّكَ ذِى ٱلْجَلَـٰلِ وَٱلْإِكْرَامِ
Maha Suci nama Rabbmu Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.
Allah Swt membuka surah ini dengan salah satu nama-nama-Nya yang baik iaitu Ar-Rahman. Antara rahmat-Nya ialah Dia menciptakan jin dan manusia, dia juga menciptakan langit, bumi, makhluk-makhluk yang lain, syurga dan neraka. Semua itu adalah kerana rahmat-Nya.
Manakala Allah Swt menutup surah ini dengan mensucikan diri-Nya. Maha Suci Allah Ta’ala yang memiliki kemuliaan, keagungan, kurniaan dan kemurahan atas apa yang Dia berikan kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadah kepada-Nya. Sesungguhnya Allah Swt, Dia-lah Zat yang semestinya diagungkan, dimuliakan, diibadahi, dipuji dan tidak boleh dikufuri.
Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah Swt adalah menghormati orang muslim yang telah beruban, (menghormati muslim) yang mempunyai kekuasaan dan penghafal Al-Quran yang tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kurang ajar (menjauh) daripadanya.”
(HR. Abu Daud)
Daripada ‘Aisyah ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw selepas mengucapkan salam setelah habis solat, baginda tidak duduk (dalam kedudukan tasyahud), melainkan sekadar membaca,
اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ، وَمِنْكَ السَّلاَمُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ
“Ya Allah! Engkau Maha Sejahtera dan daripada Engkaulah semua kesejahteraan, Maha Suci Engkau, wahai Rabb yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.”
(HR. Muslim, An-Nasa’i, Ibnu Majah, Abu Daud dan At-Tirmizi)