Surah 55: Ar-Rahman (1 – 13)

Kurniaan dan Rahmat Allah Swt kepada Makhluk-Nya

Surah 55: Ar-Rahman (1 – 13)


Ayat 1

ٱلرَّحْمَـٰنُ

(Rabb) Yang Maha Pemurah.

Ayat 2

عَلَّمَ ٱلْقُرْءَانَ

Yang telah mengajarkan Al-Quran.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Luas Rahmat-Nya kepada makhluk-Nya. Dia telah menurunkan Al-Quran kepada hamba-Nya iaitu Nabi Muhammad saw untuk diajarkan kepada umatnya dan menjadi hujjah bagi seluruh manusia.

Inilah nikmat paling agung dan paling banyak manfaatnya daripada Allah Swt yang diberikan kepada hamba-hamba-Nya. Al-Quran sentiasa benar isi kandungannya sehingga akhir zaman dan telah mengubah kehidupan manusia serta menjadi punca kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat.

Ayat 3

خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ

Dia menciptakan manusia.

Ayat 4

عَلَّمَهُ ٱلْبَيَانَ

Mengajarnya pandai berbicara.

Kemudian Allah Swt menjelaskan nikmat seterusnya iaitu penciptaan manusia dan diberikan-Nya kepada manusia keupayaan berbicara dan memahaminya. Ini adalah kelebihan manusia yang Dia berikan mengatasi makhluk yang lain. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Dia mengajarkan Adam segala nama-nama (benda), kemudian Dia memperlihatkan kepada para malaikat lalu berfirman, ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini jika kamu golongan yang benar!’ Mereka (malaikat) menjawab, ‘Maha Suci Engkau! Tidak ada yang kami ketahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.’”

Al-Baqarah 2:31-32

Ayat 5

ٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ بِحُسْبَانٍ

Matahari dan bulan beredar menurut perhitungan.

Allah Swt menjelaskan tentang ciptaan-Nya yang di langit yang begitu sempurna iaitu matahari yang menyinari siang dan bulan yang menjadi cahaya pada waktu malam.

Kedua-duanya beredar menurut perhitungan yang tepat dan tidak menyimpang serta tidak bertembung antara satu dengan yang lainnya. Kedua-duanya memberi manfaat kepada manusia.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarannya.”

Yasin 36:40

“Dia menyingsingkan fajar dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itu adalah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.”

Al-An’am 6:96

Ayat 6

وَٱلنَّجْمُ وَٱلشَّجَرُ يَسْجُدَانِ

Dan tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohon, kedua-duanya tunduk (kepada-Nya).

Kemudian Allah Swt menjelaskan pula tentang beberapa ciptaan-Nya di bumi iaitu tumbuh-tumbuhan sama ada yang tidak mempunyai batang yang keras seperti sayur-sayuran mahupun yang berbatang besar lagi keras seperti pohon jati. Semua tumbuh-tumbuhan ini tunduk kepada perintah-Nya untuk memberikan manfaat kepada manusia.

Terdapat khilaf di kalangan ulama tafsir tentang maksud kalimah النَّجْمُ dalam ayat ini. Ibnu ‘Abbas, Sa’id bin Jubair, Suddi dan Sufyan At-Thauri berpendapat ia bermaksud sesuatu yang terbentang di atas bumi berupa tumbuh-tumbuhan yang rendah tidak mempunyai batang.

Sementara الشجر adalah pohon yang tegak di atas akar dan batangnya. Manakala Mujahid, Qatadah and Hasan Al-Basri berpendapat ia adalah bintang yang ada di langit.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Tidakkah engkau tahu bahawa sesiapa yang ada di langit dan sesiapa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata, dan banyak di antara manusia?………”

Al-Hajj 22:18

Ayat 7

وَٱلسَّمَآءَ رَفَعَهَا وَوَضَعَ ٱلْمِيزَانَ

Allah telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca (keadilan).

Allah Swt telah meninggikan langit dan Dia meletakkan neraca iaitu keadilan sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan……………..”

Al-Hadid 57:25

Ayat 8

أَلَّا تَطْغَوْا۟ فِى ٱلْمِيزَانِ

Supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu.

Oleh sebab Allah Swt bersifat adil, diperintahkan pula kepada hamba-hamba-Nya agar bersifat adil sehingga tidak melampaui batas beragama dan dalam mencintai dunia. Sekiranya neraca keadilan ini dipelihara, teraturlah segala urusan makhluk-Nya.

Ayat 9

وَأَقِيمُوا۟ ٱلْوَزْنَ بِٱلْقِسْطِ وَلَا تُخْسِرُوا۟ ٱلْمِيزَانَ

Dan tegakkanlah timbangan dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.

Allah Swt memerintahkan manusia supaya berlaku adil dalam berjual beli dan tidak mengurangi timbangan sebaliknya hendaklah sempurnakan timbangan tersebut. Ini merupakan antara nikmat dan kasih sayang-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….dan timbanglah dengan timbangan yang benar……….”

Al-Isra’ 17:35

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw pernah melalui satu longgok bahan makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu, kemudian tangan baginda tersentuh sesuatu yang basah, maka baginda bertanya, “Apakah ini wahai pemilik makanan?” Pemiliknya menjawab, “Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah!” Baginda bersabda, “Mengapakah kamu tidak meletakkannya pada bahagian yang boleh dilihat orang? Ketahuilah, barangsiapa menipu maka dia bukan daripada golongan kami.”

(HR. Muslim)

Ayat 10

وَٱلْأَرْضَ وَضَعَهَا لِلْأَنَامِ

Dan Allah telah meratakan bumi untuk makhluk-Nya.

Sebagaimana Allah Swt meninggikan langit, Dia juga menjadikan bumi sebagai hamparan untuk kemaslahatan dan manfaat kepada hamba-hamba-Nya. Dia mengukuhkan bumi dengan gunung-gunung yang tertanam kuat di bumi agar semua makhluk-Nya dapat tinggal dengan selesa di atasnya.

Ayat 11

فِيهَا فَـٰكِهَةٌ وَٱلنَّخْلُ ذَاتُ ٱلْأَكْمَامِ

Di bumi itu ada buah-buahan dan pohon kurma yang mempunyai kelopak-kelopak mayang.

Kemudian Allah Swt menjelaskan apa yang ada di atas bumi ciptaan-Nya ini. Di atas bumi terdapat pelbagai jenis buah-buahan dengan pelbagai warna dan rasa. Ini termasuk pokok kurma yang buahnya bertandan-tandan yang sebelumnya tersimpan dalam kelopak mayang.

Ayat 12

وَٱلْحَبُّ ذُو ٱلْعَصْفِ وَٱلرَّيْحَانُ

Dan biji-bijian yang berkulit dan bunga-bungaan yang harum baunya.

Begitu juga terdapat tanam-tanaman daripada jenis biji-bijian dan pelbagai jenis tanam-tanaman yang menjadi bahan makanan manusia dan juga haiwan. Makanan, buah-buahan dan bunga-bungaan ini semuanya merupakan bukti kasih sayang Allah Yang Maha Pemurah.

Ayat 13

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

Kamu dalam ayat ini dalam bentuk muthanna (berdua) bermaksud dua kumpulan iaitu manusia dan jin.

Lalu dalam ayat ini, Allah Swt bertanya kepada hamba-hamba-Nya yang terdiri daripada manusia dan jin, manakah daripada semua nikmat-nikmat yang telah dinyatakan di atas yang mereka dustakan.

Jawapannya, ‘Tidak ada!’ Tidak ada satu pun nikmat-Mu ya Allah yang kami dustakan, bagi-Mu-lah segala puji.