Surah 54: Al-Qamar (6 – 8)

Hari Kiamat adalah Hari yang Sukar bagi Orang Musyrik

Surah 54: Al-Qamar (6 – 8)


Ayat 6

فَتَوَلَّ عَنْهُمْ ۘ يَوْمَ يَدْعُ ٱلدَّاعِ إِلَىٰ شَىْءٍ نُّكُرٍ

Maka berpalinglah engkau (Muhammad) daripada mereka pada Hari Penyeru (malaikat) menyeru (mereka) kepada sesuatu yang tidak menyenangkan (Hari Pembalasan).

Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw berpaling daripada orang-orang kafir Quraisy yang masih tetap mendustakannya dan memilih kekafiran. Mereka akan menghadapi masa yang sangat menggerunkan iaitu ketika malaikat mengajak mereka kepada sesuatu yang tidak menyenangkan iaitu kengerian Hari Pembalasan.

Ayat 7

خُشَّعًا أَبْصَـٰرُهُمْ يَخْرُجُونَ مِنَ ٱلْأَجْدَاثِ كَأَنَّهُمْ جَرَادٌ مُّنتَشِرٌ

Pandangan mereka tertunduk, ketika mereka keluar dari kubur, seakan-akan belalang yang berterbangan.

Allah Swt menjelaskan keadaan mereka ketika berlaku kiamat kelak. Mereka keluar dari kubur dalam keadaan tertunduk penuh kehinaan dan ketakutan. Mereka bertebaran dan berjalan dengan cepat menuju ke tempat hisab menyahut seruan malaikat. Keadaan mereka pada masa itu seperti belalang yang berterbangan.

Ayat 8

مُّهْطِعِينَ إِلَى ٱلدَّاعِ ۖ يَقُولُ ٱلْكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَسِرٌ

Dengan patuh mereka datang kepada penyeru itu. Orang-orang kafir berkata, “Ini adalah hari yang berat.”

Mereka patuh dan bersegera menyahut seruan tersebut. Hari itu adalah hari yang sangat mengerikan, sangat tegang dan sangat berat keadaannya bagi orang-orang kafir.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sukar, bagi orang-orang kafir lagi tidak mudah.”

Al-Muddaththir 74:9-10