Kisah Kehancuran Kaum Nabi Lut as
Surah 54: Al-Qamar (33 – 40)
Ayat 33
كَذَّبَتْ قَوْمُ لُوطٍۭ بِٱلنُّذُرِ
Kaum Lut juga telah mendustakan ancaman-ancaman (rasul).
Allah Swt menyatakan tentang kaum Nabi Lut as yang mendustakan dan menentang baginda. Mereka melakukan perkara yang sangat dibenci, iaitu melakukan hubungan sesama jenis.
Hubungan sesama jenis merupakan suatu perbuatan keji yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini sebelum mereka. Oleh sebab itulah Allah Swt membinasakan mereka dengan azab yang belum pernah Dia timpakan kepada suatu umat pun sebelum mereka.
Ayat 34
إِنَّآ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ حَاصِبًا إِلَّآ ءَالَ لُوطٍ ۖ نَّجَّيْنَـٰهُم بِسَحَرٍ
Sesungguhnya Kami telah meniupkan kepada mereka angin kencang yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Lut. Mereka Kami selamatkan sebelum fajar menyingsing.
Ayat 35
نِّعْمَةً مِّنْ عِندِنَا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى مَن شَكَرَ
Sebagai nikmat daripada Kami. Begitulah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.
Allah Swt menghancurkan negeri tempat mereka tinggal dengan mengangkatnya ke langit dan menterbalikkannya, kemudian menghempaskannya ke bumi. Lalu bahagian atas negeri mereka menjadi bahagian bawah dan sebaliknya. Kemudian mereka telah dihujani dengan batu.
Nabi Lut as dan keluarganya terselamat daripada azab yang menimpa kaumnya kecuali isterinya. Mereka keluar dari kota tersebut pada penghujung malam. Sesungguhnya Allah Swt akan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang beriman.
Ayat 36
وَلَقَدْ أَنذَرَهُم بَطْشَتَنَا فَتَمَارَوْا۟ بِٱلنُّذُرِ
Dan sesungguhnya dia (Lut) telah memperingatkan mereka akan azab-azab Kami, maka mereka mendustakan ancaman-ancaman itu.
Kemudian Allah Swt menjelaskan keadilan-Nya dalam menghukum iaitu hukuman itu datang setelah didahului dengan peringatan dan teguran yang keras.
Ayat 37
وَلَقَدْ رَٰوَدُوهُ عَن ضَيْفِهِۦ فَطَمَسْنَآ أَعْيُنَهُمْ فَذُوقُوا۟ عَذَابِى وَنُذُرِ
Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.
Allah Swt menjelaskan kejahatan kaum Nabi Lut as selain kekafiran dan pendustaan mereka terhadap baginda.
Mereka memujuk pula Nabi Lut as agar menyerahkan malaikat-malaikat yang menjelma sebagai pemuda-pemuda tampan yang menjadi tetamu baginda agar mereka dapat melakukan perbuatan keji. Walaupun Nabi Lut as telah mengingatkan mereka dengan memberikan amaran tentang seksaan yang keras, mereka tidak mempedulikannya.
Lalu Allah Swt menjadikan mereka semuanya buta sehingga tidak dapat melakukan perkara keji terhadap malaikat-malaikat itu. Ada pendapat mengatakan bahawa malaikat Jibril as telah memukul mata mereka dengan sayapnya sehingga menjadi buta.
Ayat 38
وَلَقَدْ صَبَّحَهُم بُكْرَةً عَذَابٌ مُّسْتَقِرٌّ
Dan sesungguhnya pada keesokan harinya mereka ditimpa azab yang kekal.
Pada keesokan harinya, mereka benar-benar ditimpa azab sehingga mereka semua binasa. Sesungguhnya tidak ada jalan selamat dan tidak ada tempat untuk mereka melarikan diri daripada azab tersebut.
Ayat 39
فَذُوقُوا۟ عَذَابِى وَنُذُرِ
Maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.
Inilah yang dikatakan kepada mereka akibat perbuatan-perbuatan mereka yang mengingkari, berdebat dan mengolok-olokkan Nabi Lut as serta perbuatan mereka yang bercanggah dengan syariat iaitu melakukan homoseksual.
Ayat 40
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Seterusnya, Allah Swt mengulangi lagi dengan mengatakan bahawa Dia telah memudahkan Al-Quran untuk difahami supaya mereka mahu mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku kepada kaum-kaum terdahulu. Dengan itu dapatlah mereka menjauhkan maksiat sehingga akhirnya terselamat daripada neraka dan mendapat ganjaran syurga.