Kisah Kehancuran Kaum Thamud
Surah 54: Al-Qamar (23 – 32)
Ayat 23
كَذَّبَتْ ثَمُودُ بِٱلنُّذُرِ
Kaum Thamud pun telah mendustakan ancaman-ancaman itu.
Allah Swt menyatakan bahawa kaum Thamud juga mendustakan rasul mereka iaitu Nabi Saleh as.
Ayat 24
فَقَالُوٓا۟ أَبَشَرًا مِّنَّا وَٰحِدًا نَّتَّبِعُهُۥٓ إِنَّآ إِذًا لَّفِى ضَلَـٰلٍ وَسُعُرٍ
Maka mereka berkata, “Bagaimana kita akan mengikuti sahaja seorang manusia (biasa) di antara kita? Sesungguhnya kalau begitu, kita benar-benar telah sesat dan gila.
Kemudian Allah Swt menyatakan pendustaan yang mereka lakukan. Mereka mempertikaikan kewibawaan Nabi Saleh as yang diutuskan sebagai rasul. Ini kerana baginda hanyalah seorang manusia biasa seperti mereka yang tidak memiliki apa-apa keistimewaan.
Mereka mengatakan sekiranya mereka menerima dakwah yang disampaikan oleh Nabi Saleh as, maka mereka telah benar-benar berada dalam kesesatan dan mereka adalah termasuk orang-orang yang gila.
Ayat 25
أَءُلْقِىَ ٱلذِّكْرُ عَلَيْهِ مِنۢ بَيْنِنَا بَلْ هُوَ كَذَّابٌ أَشِرٌ
Apakah wahyu itu diturunkan kepadanya di antara kita? Pastilah dia (Saleh) seorang yang sangat pendusta lagi sombong.”
Seterusnya Allah Swt menyatakan kaum Thamud yang ingkar itu berasa begitu hairan dan tertanya dengan nada ingkar, mengapa wahyu itu hanya diturunkan kepada Nabi Saleh as tetapi tidak kepada mereka. Lalu mereka menuduh baginda sebagai seorang pendusta dan sombong.
Ayat 26
سَيَعْلَمُونَ غَدًا مَّنِ ٱلْكَذَّابُ ٱلْأَشِرُ
Kelak mereka akan mengetahui siapa yang sebenarnya sangat pendusta lagi sombong itu.
Ayat ini mengandungi ancaman yang keras dan tegas sebagai peringatan kepada kaum Thamud yang ingkar, bodoh lagi sombong.
Ayat 27
إِنَّا مُرْسِلُوا۟ ٱلنَّاقَةِ فِتْنَةً لَّهُمْ فَٱرْتَقِبْهُمْ وَٱصْطَبِرْ
Sesungguhnya Kami akan mengirimkan unta betina sebagai ujian bagi mereka, maka tunggulah mereka dan bersabarlah (Saleh).
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengeluarkan seekor unta betina yang sangat besar dan sedang bunting dari sebuah batu yang amat besar dan pejal lagi padat sebagai ujian kepada kaum Nabi Saleh as.
Ini adalah bersesuaian dengan permintaan mereka dan Allah Swt telah mengabulkan permohonan mereka itu agar dapat dijadikan hujjah ke atas mereka serta sebagai tanda yang membenarkan risalah yang dibawa oleh Nabi Saleh as.
Kemudian Allah Swt memerintahkan Nabi Saleh as menunggu dan bersabar terhadap apa yang akan dilakukan oleh kaumnya dan akibat perbuatan mereka itu.
Ini kerana sesungguhnya kesudahan yang baik dan kemenangan di dunia dan di akhirat hanyalah akan berpihak kepada Nabi Saleh as.
Ayat 28
وَنَبِّئْهُمْ أَنَّ ٱلْمَآءَ قِسْمَةٌۢ بَيْنَهُمْ ۖ كُلُّ شِرْبٍ مُّحْتَضَرٌ
Dan beritakanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya air itu terbahagi antara mereka (dengan unta betina itu). Tiap-tiap giliran minum dihadiri (oleh yang punya giliran).
Unta betina ini adalah mukjizat Nabi Saleh as sebagai bukti terhadap kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda dan kerasulannya.
Allah Swt memerintahkan Nabi Saleh as memberitahu kaumnya bahawa air yang ada dibahagi antara masyarakat Thamud dan unta betina tersebut. Pembahagian air untuk kegunaan ditetapkan sehari untuk mereka dan sehari untuk unta betina itu.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dia (Saleh) menjawab, ‘Ini seekor unta betina, yang berhak mendapat (giliran) minum, dan kamu juga berhak mendapatkan minum pada hari yang ditentukan.’”
Asy-Syu’ara’ 26:155
Ayat 29
فَنَادَوْا۟ صَاحِبَهُمْ فَتَعَاطَىٰ فَعَقَرَ
Maka mereka memanggil kawannya, lalu dia menangkap (unta itu) dan membunuhnya.
Pada mulanya kaum Thamud ini mematuhi arahan Nabi Saleh as, namun lama kelamaan mereka didorong oleh kekafiran dan sikap membangkang, lalu melanggar arahan tersebut.
Mereka memanggil kawan mereka yang terkenal kuat dan kejam untuk membunuh unta tersebut. Lalu dia menangkap unta betina tersebut dan membunuhnya.
Ayat 30
فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِى وَنُذُرِ
Maka alangkah dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.
Akibat daripada kederhakaan tersebut, Allah Swt menghukum mereka dengan menurunkan azab yang begitu dahsyat sebagai peringatan kepada kaum selepas mereka.
Ayat 31
إِنَّآ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ صَيْحَةً وَٰحِدَةً فَكَانُوا۟ كَهَشِيمِ ٱلْمُحْتَظِرِ
Sesungguhnya Kami menimpakan ke atas mereka satu suara yang keras, maka jadilah mereka seperti rumput-rumput kering (yang dikumpulkan oleh) pemilik kandang binatang.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia menimpakan azab kepada kaum Thamud itu dalam bentuk pekikan suara yang sangat kuat sehingga semuanya binasa dan tidak ada seorang pun yang tersisa. Mereka mati dan kaku seperti rumput dan daun-daun yang kering.
As-Suddi mengatakan maksud perkataan مُحْتَظِرِ (mukhtazir) ialah padang rumput di tengah padang pasir yang telah kering dan terbakar lalu ditiup oleh angin. Manakala Ibnu Zaid pula mengatakan pada zaman dahulu, orang-orang Arab membina kandang unta daripada semak berduri yang telah kering. Itulah yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam ayat ini.
Ayat 32
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Allah Swt menyatakan bahawa Dia benar-benar memudahkan Al-Quran untuk menjadi pelajaran dan nasihat. Namun amat sedikit orang yang mahu mengambil pengajaran dan nasihat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pelajaran.”
Sad 38:29