Kisah Kehancuran Kaum ‘Aad
Surah 54: Al-Qamar (18 – 22)
Ayat 18
كَذَّبَتْ عَادٌ فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِى وَنُذُرِ
Kaum ‘Aad pun telah mendustakan. Maka betapa dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.
Allah Swt menyatakan sebagaimana perbuatan kaum Nabi Nuh as mendustakan rasul mereka, kaum ‘Aad juga melakukan perkara yang sama terhadap rasul mereka iaitu Nabi Hud as. Oleh itu, Dia menimpakan azab yang dahsyat kepada mereka.
Ayat 19
إِنَّآ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا فِى يَوْمِ نَحْسٍ مُّسْتَمِرٍّ
Sesungguhnya Kami telah meniupkan angin yang sangat kencang kepada mereka pada hari nahas yang terus-menerus.
Allah Swt telah menimpakan azab kepada kaum ‘Aad dalam bentuk angin yang kencang sehingga membinasakan mereka keseluruhannya. Azab yang mereka rasai di dunia itu bersambung dengan azab di akhirat.
Perkataan صَرْصَرًا bermaksud sangat sejuk, sangat bising dan sangat laju. Angin ini tersangat sejuk sehingga mereka menjadi beku dan apabila sudah mula dikenakan kepada mereka, ia memberikan kecelakaan tanpa henti. Ia berterusan di dalam kubur, di mahsyar dan juga di neraka.
Ayat 20
تَنزِعُ ٱلنَّاسَ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُّنقَعِرٍ
Yang menggelimpangkan manusia seakan-akan mereka pokok kurma yang tumbang.
Dalam tafsir Ibnu Kathir disebutkan bahawa pada hari itu angin menyambar setiap orang dan mengangkatnya sehingga hilang dari pandangan kemudian jatuh ke bumi dengan kepalanya di bawah sehingga kepalanya putus dari badan dan menjadi bangkai tanpa kepala.
Mujahid mengatakan angin tersebut mencabut mereka dari tanah lalu menghempas mereka dengan kepala di bawah sehingga leher mereka patah dan terpisah daripada jasad.
Keadaan mereka yang memiliki tubuh yang tinggi, besar dan kuat dihempaskan oleh angin tersebut hingga jatuh bergelimpangan diumpamakan seperti batang pokok kurma yang tumbang dengan bahagian hujung atasnya terpisah daripada batangnya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Maka berkenaan kaum ‘Ad, mereka menyombongkan diri di bumi tanpa (mengendahkan) kebenaran, mereka berkata, “Siapakah yang lebih hebat kekuatannya daripada kami?” Tidakkah mereka perhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan mereka. Dia lebih hebat kekuatan-Nya daripada mereka. Dan mereka telah mengingkari tanda-tanda (kebesaran) Kami.”
Fussilat 41:15
Ayat 21
فَكَيْفَ كَانَ عَذَابِى وَنُذُرِ
Maka betapa dahsyatnya azab-Ku dan ancaman-ancaman-Ku.
Allah Swt menarik perhatian manusia kepada dahsyatnya azab yang diberikan kepada kaum ‘Aad yang ingkar.
Ayat 22
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا ٱلْقُرْءَانَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran?
Allah Swt mengulangi menyebut ayat ini berkali-kali dalam Surah Al-Qamar ini untuk menunjukkan betapa pentingnya manusia mengambil perhatian terhadap peringatan.