Jibril as sebagai Pembawa Wahyu kepada Rasulullah saw dan Gambaran tentang Sidratul Muntaha
Surah 53: An-Najm (5 – 18)
Ayat 5
عَلَّمَهُۥ شَدِيدُ ٱلْقُوَىٰ
Yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat.
Allah Swt menyatakan Al-Quran itu diajarkan kepada Nabi Muhammad saw oleh Jibril as yang memiliki ilmu dan sangat kuat.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan-Nya yang mulia (Jibril). Yang memiliki kekuatan, memiliki kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang memiliki ‘Arasy. Yang di sana (di alam malaikat) ditaati dan dipercayai.”
At-Takwir 81:19-21
Ayat 6
ذُو مِرَّةٍ فَٱسْتَوَىٰ
Yang mempunyai akal yang cerdas dan (Jibril itu) menampakkan diri dengan rupa yang asli.
Ayat 7
وَهُوَ بِٱلْأُفُقِ ٱلْأَعْلَىٰ
Sedang ia berada di ufuk yang tinggi.
Ayat 8
ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّىٰ
Kemudian ia mendekati (Muhammad), lalu bertambah dekat lagi.
Ayat 9
فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَىٰ
Maka jadilah ia dekat (dengan Muhammad sejarak) dua hujung busur panah atau lebih dekat (lagi).
Ayat 10
فَأَوْحَىٰٓ إِلَىٰ عَبْدِهِۦ مَآ أَوْحَىٰ
Lalu disampaikan olehnya wahyu kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah diwahyukan oleh Allah.
Ketika inilah Jibril as menyampaikan wahyu kepada Rasulullah saw dan menampakkan dirinya yang sebenar. Kejadian ini terjadi ketika baginda berada di bumi dan bukannya pada malam Israk dan Mikraj.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Thalq bin Ghannam daripada Zaidah daripada Asy-Syaibani, dia bertanya kepada Zirr bin Hubaisy tentang firman Allah Swt, “Maka jadilah ia dekat (dengan Muhammad sejarak) dua hujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu disampaikan olehnya wahyu kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah diwahyukan oleh Allah.” Zirr menjawab, “Abdullah menyampaikan kepada kami bahawa Muhammad saw melihat Jibril yang memiliki enam ratus sayap.”
Ayat 11
مَا كَذَبَ ٱلْفُؤَادُ مَا رَأَىٰٓ
Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya.
Apa yang dilihat oleh Rasulullah saw dengan matanya sendiri itu adalah Jibril as. Baginda sekali-kali tidak mengingkari atau mendustakan apa yang dilihatnya.
Ayat 12
أَفَتُمَـٰرُونَهُۥ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ
Maka apakah kamu (musyrikin Mekah) hendak membantahnya tentang apa yang telah dilihatnya itu?
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang musyrik yang mengingkari apa yang dilihat oleh Rasulullah saw.
Ayat 13
وَلَقَدْ رَءَاهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ
Dan sungguh dia (Muhammad) telah melihatnya (dalam rupanya yang sebenar) pada waktu yang lain.
Ayat 14
عِندَ سِدْرَةِ ٱلْمُنتَهَىٰ
Iaitu di Sidratul Muntaha.
Ayat 13 dan 14 menjelaskan bahawa Nabi Muhammad saw sekali lagi melihat Jibril as dalam rupanya yang asal berdekatan dengan Sidratul Muntaha pada malam Israk dan Mikraj.
Sidratul Muntaha ini terletak di sempadan antara langit ketujuh dan ‘Arasy Allah Swt. Inilah tempat yang paling atas pada langit ketujuh, yang telah dikunjungi oleh Rasulullah saw ketika Mikraj. Jibril as dan malaikat-malaikat lain tidak boleh melepasi sempadan ini.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, dia berkata, “Rasulullah saw melihat Jibril as dalam bentuk aslinya, ia memiliki enam ratus sayap, setiap sayapnya memenuhi ufuk, dari sayapnya berguguran aneka warna permata dan mutiara. Hanya Allah Swt yang mengetahuinya.”
Ayat 15
عِندَهَا جَنَّةُ ٱلْمَأْوَىٰٓ
Dekat dengannya ada syurga tempat tinggal.
Ayat ini menyatakan bahawa Sidratul Muntaha itu berada hampir dengan syurga Ma’wa tetapi bukanlah bermaksud syurga itu berada di antara tujuh langit. Semua syurga adalah terletak di luar langit yang tujuh. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa syurga telah ada dan telah disiapkan serta sedang menunggu ahlinya sahaja.
Ayat 16
إِذْ يَغْشَى ٱلسِّدْرَةَ مَا يَغْشَىٰ
(Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.
Allah Swt menggunakan perkataan مَا يَغْشَىٰ (yang meliputinya) bermaksud ia tidak dapat digambarkan oleh akal dan merupakan sesuatu yang hebat sehingga tidak ada perkataan yang boleh difahami untuk menggambarkannya.
Ibnu Kathir menyatakan para malaikat meliputi Sidratul Muntaha seperti burung-burung gagak yang melitupi pokok. Itulah perumpamaan yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw. Menurut baginda Sidratul Muntaha diliputi pula oleh cahaya Ar-Rabb dan juga diliputi oleh warna-warna yang tidak baginda ketahui.
Ayat 17
مَا زَاغَ ٱلْبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ
Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya.
Nabi Muhammad saw dapat melihat Sidratul Muntaha itu, tetapi pandangan baginda tidak beralih daripada Jibril as. Ini seolah-olah baginda hanya melihat dengan ekor matanya sahaja apa yang terdapat di sana.
Baginda tidak melihat melepasi apa yang ditunjukkan kepadanya dan tidak pula melampaui batas daripada apa yang diperintahkan. Ini merupakan sifat dan akhlak baginda yang agung dalam keteguhan dan ketaatan.
Ayat 18
لَقَدْ رَأَىٰ مِنْ ءَايَـٰتِ رَبِّهِ ٱلْكُبْرَىٰٓ
Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Rabbnya yang paling besar.
Semasa dalam perjalanan Israk dan Mikraj itu, pelbagai tanda kebesaran Allah Swt telah ditunjukkan kepada Nabi Muhammad saw. Antaranya ialah malaikat Jibril as, Buraq, Sidratul Muntaha dan lain-lain lagi.