Surah 53: An-Najm (33 – 35)

Celaan ke atas Orang yang Berpaling daripada Ketaatan dan Kikir

Surah 53: An-Najm (33 – 35)


Ayat 33

أَفَرَءَيْتَ ٱلَّذِى تَوَلَّىٰ

Maka apakah engkau melihat orang yang berpaling (daripada Al-Quran)?

Pertanyaan ini merupakan celaan Allah Swt kepada orang-orang yang berpaling daripada mentaati-Nya. Ini kerana mereka tidak mahu menerima kebenaran Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah saw.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kerana dia (dahulu) tidak mahu membenarkan (Al-Quran dan rasul) dan tidak mahu melaksanakan solat. Malah dia mendustakan (rasul) dan berpaling (daripada kebenaran).”

Al-Qiyamah 75:31-32

Ayat 34

وَأَعْطَىٰ قَلِيلًا وَأَكْدَىٰٓ

Dan memberi sedikit dan tidak mahu memberi lagi.

Perkataan أَكْدَىٰ daripada kata asal ك د ي bermaksud beri sedikit sahaja atau kedekut.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Sa’id bin Jubair, Ikrimah, Qatadah dan lain-lain lagi mengatakan maksud ayat ini ialah mereka taat sebentar, kemudian tidak meneruskan lagi ketaatan tersebut. Ikrimah dan Sa’id mengatakan perumpamaannya adalah seperti suatu kaum yang menggali sebuah telaga. Pada saat mereka menjumpai batu besar semasa sedang melakukan penggalian tersebut, mereka pun berhenti daripada meneruskan pekerjaan mereka sambil mengatakan mereka telah penat.

Hal ini diumpamakan kepada seseorang yang berhenti daripada melakukan amal kebaikan kerana dia mengalami kesusahan untuk meneruskannya. Sekiranya tidak, tentu dia masih melakukannya. Ini adalah satu keputusan yang tidak betul. Dalam kehidupan beragama, kesusahan yang dialami itu adalah sebahagian daripada ujian yang Allah Swt berikan kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu, setiap orang perlu terus bersabar dalam melakukan amal kebaikan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan (sahaja) mengatakan, “Kami telah beriman,” sedang mereka tidak diuji?”

Al-‘Ankabut 29:2

Ayat 35

أَعِندَهُۥ عِلْمُ ٱلْغَيْبِ فَهُوَ يَرَىٰٓ

Apakah dia mempunyai pengetahuan tentang yang ghaib, sehingga dia mengetahui (apa yang dikatakannya)?

Pertanyaan Allah Swt secara sindiran ini ditujukan kepada orang yang tidak mahu berinfak dan berhenti membuat kebaikan tersebut. Adakah dia mengetahui perkara ghaib, iaitu kelak apa yang ada di tangannya akan habis? Lalu dengan ilmunya itu dia tidak mahu lagi berbuat kebajikan? Apakah dia melihat akibat itu dengan mata kepalanya sendiri?

Padahal kenyataannya tidaklah demikian. Alasan dia tidak mahu bersedekah, berbuat baik dan bersilaturrahim hanyalah semata-mata disebabkan kekikirannya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“…………..Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Dia (Allah) akan menggantikannya dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”

Saba’ 34:39