Allah Swt Bersumpah bahawa Rasulullah saw Adalah Benar
Surah 53: An-Najm (1 – 4)
Ayat 1
وَٱلنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ
Demi bintang ketika terbenam.
Allah Swt memulai surah ini dengan bersumpah demi bintang-bintang yang condong ketika saat terbenam.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Maka Aku benar-benar bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Sesungguhnya (sumpah itu) benar-benar sumpah yang besar kalau kamu mengetahui.”
Al-Waqi’ah 56:75-76
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Imam Asy-Sya’bi dan lainnya berkata, “Allah Swt bersumpah dengan makhluk apa pun yang Dia kehendaki, tetapi makhluk tidak boleh bersumpah kecuali dengan nama Allah Swt.”
Ayat 2
مَا ضَلَّ صَاحِبُكُمْ وَمَا غَوَىٰ
Kawanmu (Muhammad) tidak sesat dan tidak pula keliru.
Ayat ini merupakan jawapan kepada sumpah dalam ayat 1 di atas dan juga merupakan kesaksian Allah Swt bahawa Nabi Muhammad saw berada di atas jalan yang lurus.
Ayat 3
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ
Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya.
Ayat 4
إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌ يُوحَىٰ
Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).
Kemudian Allah Swt menegaskan bahawa Rasulullah saw sama sekali tidak mengucapkan sesuatu berdasarkan hawa nafsu dan demi kepentingannya. Apa yang disampaikan oleh baginda tidak lain hanyalah wahyu daripada-Nya yang diwahyukan kepadanya.
Baginda hanya mengatakan apa yang diperintahkan oleh Allah Swt kepadanya untuk disampaikan kepada manusia tanpa ada penambahan ataupun pengurangan.
‘Abdullah bin ‘Amr berkata, “Aku mencatat semua yang aku dengar daripada Rasulullah saw dan aku ingin menghafalnya, tetapi orang-orang Quraisy melarangku. Mereka berkata, ‘Kamu menulis semua yang kamu dengar daripada Rasulullah saw sedangkan baginda adalah manusia biasa yang boleh sahaja berbicara dalam keadaan marah.’ Aku pun berhenti melakukan dan mengadu kepada baginda.” Maka baginda bersabda:
“Tulislah demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, hanya kebenaran yang keluar daripadaku.”
(HR. Ahmad dan Abu Daud)