Penegasan tentang Keesaan Allah Swt Sebagai Pencipta (Tauhid Rububiyyah) dan Ilah yang Berhak Disembah (Tauhid Uluhiyyah)
Surah 52: At-Tur (35 – 43)
Ayat 35
أَمْ خُلِقُوا۟ مِنْ غَيْرِ شَىْءٍ أَمْ هُمُ ٱلْخَـٰلِقُونَ
Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatu (asal usul) atau apakah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?
Ayat 35 sehingga ayat 43 adalah ayat-ayat pertanyaan yang tujuannya adalah untuk menegaskan dan membuktikan keesaan Allah Swt dari segi rububiyyah dan uluhiyyah-Nya, iaitu:
▪️ Adakah mereka wujud tanpa ada yang menciptakan mereka atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?
Ayat 36
أَمْ خَلَقُوا۟ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۚ بَل لَّا يُوقِنُونَ
Atau apakah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu? Bahkan sebenarnya mereka tidak meyakini (apa yang mereka katakan).
▪️ Adakah mereka yang menciptakan langit dan bumi yang begitu indah dan sempurna ciptaannya?
Sesungguhnya mereka sendiri tidak menyakini apa yang mereka katakan. Ini kerana mereka tidak memiliki ilmu yang sempurna. Mereka tidak mengambil manfaat dan pelajaran daripada dalil-dalil dan hujjah-hujjah yang Allah Swt telah berikan, malah mendustakannya.
Ayat 37
أَمْ عِندَهُمْ خَزَآئِنُ رَبِّكَ أَمْ هُمُ ٱلْمُصَۣيْطِرُونَ
Atau apakah di sisi mereka ada perbendaharaan Rabbmu atau apakah mereka yang berkuasa?
▪️ Apakah mereka menguasai rezeki, kebaikan, keutamaan dan kurniaan kemudian mereka mengkhususkannya hanya kepada orang-orang yang mereka kehendaki sahaja? Adakah mereka berkuasa membuat perhitungan?
Sebenarnya tidaklah demikian, tetapi Allah-lah Yang Maha Merajai dan berkuasa untuk mentadbir serta melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, daripada Jubair ibnu Muth’im, dia mengatakan bahawa dia pernah mendengar Nabi saw membaca surah At-Tur dalam solat Maghrib. Ketika sampai pada ayat, “Apakah mereka tercipta tanpa sesuatu (asal-usul) atau apakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri? Atau apakah mereka yang telah ciptakan langit dan bumi? Sebenarnya mereka tidak yakin dengan apa yang mereka katakan. Atau apakah di sisi mereka ada perbendaharaan Rabbmu atau apakah mereka yang berkuasa?” (At-Tur ayat 35-37) hampir sahaja hatiku (jantungku) melayang.”
Ayat 38
أَمْ لَهُمْ سُلَّمٌ يَسْتَمِعُونَ فِيهِ ۖ فَلْيَأْتِ مُسْتَمِعُهُم بِسُلْطَـٰنٍ مُّبِينٍ
Atau apakah mereka mempunyai tangga (ke langit) untuk mendengarkan (hal-hal yang ghaib)? Maka hendaklah orang yang mendengarkan di antara mereka itu mendatangkan suatu keterangan yang nyata.
▪️ Adakah mereka akan menaiki tangga untuk ke alam atas untuk mendengar hal-hal yang ghaib iaitu apa yang diperkatakan oleh para malaikat dan apa yang diwahyukan kepada malaikat?
Seterusnya, Allah Swt bertanyakan sekiranya mereka tidak mahu menerima apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw itu, adakah mereka ada cara lain lagi untuk mendapat maklumat dari langit?
Sesungguhnya mereka pasti tidak memiliki jalan ke arah itu kerana mereka tidak berada di jalan yang benar di samping tidak ada alasan serta dalil.
Ayat 39
أَمْ لَهُ ٱلْبَنَـٰتُ وَلَكُمُ ٱلْبَنُونَ
Atau apakah untuk Dia anak-anak perempuan dan untuk kamu anak-anak lelaki?
▪️ Adakah mereka yang menetapkan Allah Swt Yang Maha Esa memiliki anak perempuan sedangkan bagi mereka anak-anak lelaki?
Ayat ini merupakan ayat kecaman dan ancaman yang sangat keras kerana orang-orang yang memiliki fikiran sebegini bukanlah orang yang berakal. Ini kerana perbuatan mereka yang menisbahkan anak-anak perempuan kepada Allah Swt sesuatu yang buruk dan menganggap para malaikat adalah jenis perempuan sedangkan mereka memilih anak lelaki buat diri mereka.
Ini kerana apabila disampaikan berita gembira kepada seseorang daripada mereka akan kelahiran anak perempuan, maka wajahnya berubah menjadi hitam dengan penuh kemarahan. Anehnya setelah mereka menganggap para malaikat sebagai anak-anak perempuan Allah, mereka menyembah para malaikat itu di samping Allah.
Ayat 40
أَمْ تَسْـَٔلُهُمْ أَجْرًا فَهُم مِّن مَّغْرَمٍ مُّثْقَلُونَ
Atau apakah engkau (Muhammad) meminta upah kepada mereka sehingga mereka dibebani dengan hutang?
▪️ Adakah Nabi Muhammad saw meminta upah atas penyampaian yang baginda lakukan sehingga memberatkan dan menyusahkan mereka?
Ayat 41
أَمْ عِندَهُمُ ٱلْغَيْبُ فَهُمْ يَكْتُبُونَ
Apakah ada pada sisi mereka pengetahuan tentang yang ghaib, lalu mereka menuliskannya?
▪️ Apakah mereka memiliki ilmu ghaib lalu mereka menulisnya untuk manusia dan menceritakan kepada mereka?
Sesungguhnya tidaklah demikian. Ini kerana tidak ada yang mengetahui perkara-perkara ghaib di langit dan di bumi kecuali Allah Swt.
Ayat 42
أَمْ يُرِيدُونَ كَيْدًا ۖ فَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ هُمُ ٱلْمَكِيدُونَ
Atau apakah mereka hendak melakukan tipu daya? Maka orang-orang yang kafir itu, merekalah yang kena tipu daya.
▪️ Apakah mereka dengan segala tindakan itu hendak melakukan tipu daya untuk memadamkan cahaya Allah Swt?
Allah Swt menjelaskan bahawa mereka bermaksud untuk memperdayakan manusia dan menjatuhkan nama baik Rasulullah saw serta para sahabatnya. Oleh itu, Dia menyatakan biarlah mereka melancarkan tipu daya mereka kerana sesungguhnya akibat daripada tipu daya mereka itu akan berbalik menimpa diri mereka sendiri.
Ayat 43
أَمْ لَهُمْ إِلَـٰهٌ غَيْرُ ٱللَّهِ ۚ سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Atau apakah mereka mempunyai ilah selain Allah? Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.
▪️ Atau adakah penolakan itu kerana mereka mempunyai ilah yang berkuasa selain Allah Swt yang akan memelihara dan melindungi mereka daripada azab-Nya?
Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan dan daripada setiap apa yang mereka sembah selain-Nya.
Ayat ini merupakan pengingkaran yang keras ditujukan kepada orang-orang musyrik kerana mereka menyembah berhala selain Allah Swt. Kemudian Allah Swt mensucikan diri-Nya daripada tuduhan-tuduhan orang-orang musyrik itu.
Semua pertanyaan dalam ayat-ayat di atas merupakan ejekan dan celaan daripada Allah Swt dan sebagai bantahan kepada orang-orang yang menyekutukan-Nya, padahal mereka mengetahui bahawa hanya Dia-lah yang menciptakan mereka. Sesungguhnya keraguan merekalah yang mendorong mereka untuk tetap berada dalam kesyirikan.