Gambaran Tempat Kembalinya Orang yang Bertakwa
Surah 52: At-Tur (17 – 28)
Ayat 17
إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى جَنَّـٰتٍ وَنَعِيمٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan.
Ayat 18
فَـٰكِهِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمْ رَبُّهُمْ وَوَقَىٰهُمْ رَبُّهُمْ عَذَابَ ٱلْجَحِيمِ
Mereka bersuka ria dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Rabb mereka, dan Rabb mereka memelihara mereka daripada azab neraka.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang bertakwa kepada-Nya ketika di dunia dahulu dengan mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya, mereka diberikan beberapa kesenangan dan kenikmatan, iaitu:
▪️ Tempat tinggal dalam taman-taman syurga yang sangat indah dan menarik.
Mereka bersenang-senang dengan pelbagai kenikmatan yang diberikan oleh Allah Swt kepada mereka di dalam syurga. Kenikmatan-kenikmatan yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terdetik dalam hati manusia.
▪️ Terselamat daripada azab neraka.
Ini merupakan suatu nikmat tersendiri selain daripada kenikmatan dapat memasuki syurga.
Ayat 19
كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ هَنِيٓـًٔۢا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
(Dikatakan kepada mereka), “Makan dan minumlah dengan rasa nikmat sebagai balasan daripada apa yang telah kamu kerjakan.”
▪️ Makanan dan minuman yang ada di dalam syurga dapat dinikmati sebagai balasan terhadap keimanan dan amal soleh mereka.
Ayat 20
مُتَّكِـِٔينَ عَلَىٰ سُرُرٍ مَّصْفُوفَةٍ ۖ وَزَوَّجْنَـٰهُم بِحُورٍ عِينٍ
Mereka bersandar di atas pelamin-pelamin yang tersusun dan Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata luas indah.
▪️ Tempat duduk yang selesa berupa pelamin-pelamin yang tersusun dengan indah dan rapi.
▪️ Pasangan berupa bidadari yang bermata indah.
Ayat 21
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَـٰنٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَآ أَلَتْنَـٰهُم مِّنْ عَمَلِهِم مِّن شَىْءٍ ۚ كُلُّ ٱمْرِئٍۭ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga), dan Kami tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amalan mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.
Selain mendapat pelbagai kenikmatan di dalam syurga berupa makanan, minuman dan pasangan isteri, ada lagi keistimewaan berupa penghormatan daripada Allah Swt yang diberikan kepada orang-orang yang bertakwa.
Keistimewaan tersebut ialah anak-anak mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan semasa di dunia akan dimasukkan ke syurga dan akan dipertemukan dengan mereka walaupun amalan anak-anak mereka kurang berbanding dengan amalan mereka. Anak-anak ini dipertemukan dengan mereka adalah untuk menggembirakan hati orang tua mereka.
Allah Swt tidak mengurangi sedikit pun pahala ibu bapa mereka ataupun menurunkan darjat mereka tetapi Dia mengangkat darjat anak-anak mereka sampai kepada darjat ibu bapa mereka.
Inilah kurniaan Allah Swt kepada anak-anak disebabkan keberkatan amalan orang tua mereka. Manakala keutamaan yang dikurniakan kepada para ibu bapa pula adalah daripada doa anak-anak mereka.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah benar-benar mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di syurga. Lalu hamba itu bertanya, ‘Wahai Rabbku. Dari mana aku dapat kelebihan tempat ini?’ Allah Swt berfirman, ‘Daripada permohonan keampunan anakmu untukmu.’”
(HR. Ahmad)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Apabila anak Adam meninggal, maka terputuslah catatan amalannya kecuali, 1) sedekah jariyah, 2) ilmu yang dimanfaatkan dan 3) anak soleh yang mendoakan (orang tuanya).”
(HR. Muslim)
Maksud ayat, “Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya,” ialah seseorang itu bergantung kepada amal perbuatannya sendiri. Dia tidak menanggung dosa orang lain, sama ada dosa bapanya ataupun anaknya sendiri. Ini merupakan keadilan Allah Swt yang tidak menghukum seseorang kerana dosa orang lain.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Setiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya.”
Al-Muddaththir 74:38
Ayat 22
وَأَمْدَدْنَـٰهُم بِفَـٰكِهَةٍ وَلَحْمٍۢ مِّمَّا يَشْتَهُونَ
Dan Kami berikan kepada mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging daripada segala jenis yang mereka ingini.
Selain itu, mereka juga diberikan tambahan kenikmatan iaitu buah-buahan dan daging yang pelbagai jenis daripada apa yang mereka inginkan.
Ayat 23
يَتَنَـٰزَعُونَ فِيهَا كَأْسًا لَّا لَغْوٌ فِيهَا وَلَا تَأْثِيمٌ
Di dalam syurga mereka bertukar-tukar piala (gelas) yang isinya tidak (mengandungi) kata-kata kosong dan tidak pula mengandungi dosa.
Adh-Dhahhak mengatakan mereka saling memberi gelas yang berisi arak.
Di dalam syurga mereka tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak berguna dan keji sebagaimana yang dialami oleh peminum arak di dunia.
Ayat 24
وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ غِلْمَانٌ لَّهُمْ كَأَنَّهُمْ لُؤْلُؤٌ مَّكْنُونٌ
Dan mereka dikelilingi oleh anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.
Mereka dilayan oleh para pelayan yang selalu berlegar di sekeliling mereka sambil melayani keperluan mereka. Para pelayan ini sangat cantik dan indah laksana mutiara yang tersimpan dan tersembunyi dalam kerang.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang sentiasa muda dengan membawa gelas, kendi dan piala berisi minuman yang diambil daripada air yang mengalir.”
Al-Waqi’ah 56:17-18
Ayat 25
وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ يَتَسَآءَلُونَ
Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling bertanya.
Ayat 26
قَالُوٓا۟ إِنَّا كُنَّا قَبْلُ فِىٓ أَهْلِنَا مُشْفِقِينَ
Mereka berkata, “Sesungguhnya kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami berasa takut (akan diazab).
Ayat 27
فَمَنَّ ٱللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَىٰنَا عَذَابَ ٱلسَّمُومِ
Maka Allah memberikan kurniaan kepada kami dan memelihara kami daripada azab neraka.
Ayat 28
إِنَّا كُنَّا مِن قَبْلُ نَدْعُوهُ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْبَرُّ ٱلرَّحِيمُ
Sesungguhnya kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.”
Ayat 25 sehingga ayat 28 ini menjelaskan tentang perbualan antara penghuni-penghuni syurga. Mereka menyatakan oleh sebab ketika di dunia dahulu mereka sangat takut kepada azab Allah Swt, maka mereka sentiasa melakukan amal soleh. Oleh yang demikian dengan rahmat-Nya, mereka terselamat daripada seksaan api neraka.
Mereka juga menyatakan bahawa ketika di dunia dahulu, mereka hanya menyembah, patuh dan taat dan merendahkan diri hanya kepada-Nya. Maka Dia memperkenankan dan memberi apa yang mereka minta. Sesungguhnya Allah Swt melimpahkan kebaikan kepada orang-orang yang bertakwa lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya.