Allah Swt Maha Pemberi Rezeki
Surah 51: Az-Zariyat (56 – 60)
Ayat 56
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.
Allah Swt menjelaskan bahawa Dia menciptakan jin dan manusia bukanlah untuk main-main atau suka-suka sahaja. Sebaliknya tujuan mereka diciptakan adalah supaya mereka menghambakan diri kepada-Nya.
Ayat 57
مَآ أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ
Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki agar mereka memberi Aku makan.
Selanjutnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia menciptakan manusia dan jin bukanlah untuk menghendaki balasan atau rezeki daripada mereka sepertimana mereka memberi makan kepada patung atau berhala yang mereka sembah. Ini kerana Dia Maha Kaya dan tidak memerlukan sesuatu apa pun daripada makhluk-Nya.
Dalam hadis Qudsi, daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam! Tumpukanlah dirimu sepenuhnya untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan (batin) dan Aku tutup kefakiranmu. Dan jika kamu tidak melakukannya maka Aku akan memenuhi dadamu dengan kesibukan dan Aku tidak akan menutup kefakiranmu.’”
(HR. Ahmad)
Ayat 58
إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلْقُوَّةِ ٱلْمَتِينُ
Sesungguhnya Allah Dia-lah Maha Pemberi Rezeki yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.
Allah Swt menjelaskan bahawa Dia menciptakan hamba-hamba-Nya agar mereka menyembah-Nya semata-mata tanpa menyekutukan-Nya. Sesiapa yang mentaati perintah ini, Dia akan membalasnya dengan balasan yang sempurna. Sesiapa yang menderhakai-Nya, Dia akan menyeksanya dengan seksaan yang keras.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak memerlukan hamba-hamba-Nya, bahkan sebaliknya merekalah yang berhajat kepada-Nya dalam semua keadaan. Ini kerana Dia-lah yang menciptakan mereka dan memberikan mereka rezeki.
Daripada ‘Abdullah ibnu Mas’ud ra, Rasulullah saw telah membacakan ayat ini kepadanya dengan bacaan berikut:
“Sesungguhnya Allah Dia-lah Pemberi Rezeki yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.”
(HR. Ahmad)
Ayat 59
فَإِنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ذَنُوبًا مِّثْلَ ذَنُوبِ أَصْحَـٰبِهِمْ فَلَا يَسْتَعْجِلُونِ
Maka sesungguhnya untuk orang-orang zalim ada bahagian (seksaan) seperti bahagian teman-teman mereka (dahulu), maka janganlah mereka meminta kepada-Ku untuk menyegerakannya.
Ayat 60
فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن يَوْمِهِمُ ٱلَّذِى يُوعَدُونَ
Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang telah dijanjikan kepada mereka.
Dua ayat terakhir daripada surah ini merupakan ancaman bagi orang-orang kafir yang disebutkan oleh Allah Swt sebagai orang-orang yang zalim.
Sesungguhnya bagi orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri iaitu orang-orang kafir Mekah dan orang-orang yang seperti mereka, ada bahagian azab seperti bahagian azab orang-orang kafir dan umat-umat terdahulu.
Oleh itu, tidak perlu bagi mereka untuk meminta disegerakan azab kerana azab itu pasti akan menimpa mereka apabila telah sampai waktu yang telah ditetapkan Allah Swt.
Apabila azab Allah Swt telah datang, maka celakalah orang-orang yang kafir lagi derhaka. Pada saat itu tidak ada seorang pun yang dapat menghindarkan diri daripada balasan perbuatannya dan tidak ada pula yang dapat menyelamatkannya daripada azab tersebut. Mereka akan diseksa sekeras-kerasnya. Alangkah malang dan hinanya nasib mereka ketika itu.