Surah 51: Az-Zariyat (47 – 51)

Bukti-bukti Keesaan Allah Swt dalam Penciptaan Alam Semesta serta Penciptaan yang Berpasang-Pasangan

Surah 51: Az-Zariyat (47 – 51)


Ayat 47

وَٱلسَّمَآءَ بَنَيْنَـٰهَا بِأَيْي۟دٍ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ

Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan Kami benar-benar meluaskannya.

Allah Swt mengingatkan manusia tentang penciptaan langit. Dia menjadikannya sebagai atap yang terpelihara lagi tinggi. Dia juga menciptakan apa yang ada di langit seperti planet-planet, bintang-bintang, matahari dan bulan. Semuanya tercipta dengan kekuatan-Nya, tidak dapat dikalahkan oleh kekuatan apapun.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Qatadah, Ath-Thauri dan lain-lain mentafsirkan maksud ayat ini, ialah Allah Swt menjadikan langit sebagai atap yang terjaga dan menjulang tinggi dengan kekuatan-Nya tanpa tiang sebagai penyangga serta Dia melapangkan sisi-sisinya dan meninggikannya sebagaimana yang dapat dilihat.

Ayat 48

وَٱلْأَرْضَ فَرَشْنَـٰهَا فَنِعْمَ ٱلْمَـٰهِدُونَ

Dan bumi itu Kami hamparkan, maka sebaik-baik yang menghamparkan (adalah Kami).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menjadikan bumi sebagai hamparan yang layak dihuni oleh semua makhluk dengan sebaik-baiknya. Mereka dapat melakukan segala yang diperlukan untuk kemaslahatan mereka, seperti membina rumah, menanam pepohonan, menempuh jalan untuk menuju ke suatu tempat dan sebagainya. Dia menyiapkan untuk hamba-hamba-Nya sesuai dengan kebijaksanaan-Nya, rahmat-Nya dan ihsan-Nya.

Ayat 49

وَمِن كُلِّ شَىْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingati (kebesaran Allah).

Seterusnya, Allah Swt menyatakan semua makhluk itu diciptakan-Nya berpasang-pasangan, bumi dan langit, malam dan siang, matahari dan bulan, daratan dan lautan, terang dan gelap, iman dan kafir, mati dan hidup, celaka dan bahagia, serta syurga dan neraka.

Begitu juga dengan semua makhluk-Nya yang hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan masing-masing berpasang-pasangan.

Dijadikan-Nya berpasang-pasangan agar manusia mengetahui dengan yakin bahawa hanya ada satu sahaja Pencipta iaitu Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“(Allah) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan daripada jenis kamu sendiri dan daripada jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula) dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Asy-Syura 42:11

“Dan Dia-lah yang menghamparkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai di atasnya. Dan padanya Dia menjadikan buah-buahan berpasang-pasangan. Dia menukarkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir.”

Ar-Ra’d 13:3

Ayat 50

فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

(Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.

Ayat 51

وَلَا تَجْعَلُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Dan janganlah kamu mengadakan ilah yang lain di samping Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.

Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw menyeru umatnya agar tunduk dan patuh kepada-Nya serta tidak mensyirikkan-Nya.

Perbuatan syirik akan menghapuskan segala amalan dan menjadi penghalang untuk masuk ke syurga buat selama-lamanya. Sesungguhnya baginda adalah utusan Allah Swt dan tugasnya adalah untuk memberi peringatan dengan jelas.