Surah 51: Az-Zariyat (24 – 30)

Kisah Nabi Ibrahim as dan Isterinya serta Tetamunya

Surah 51: Az-Zariyat (24 – 30)


Ayat 24

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ

Sudahkah sampai kepadamu (Muhammad) cerita tentang tetamu Ibrahim (malaikat-malaikat) yang dimuliakan?

Kisah tentang Nabi Ibrahim as dalam surah ini adalah kisah yang singkat. Kisahnya yang panjang telahpun disebut dalam Surah Hud ayat 69 dan selepasnya juga dalam Surah Al-Hijr ayat 51 dan selepasnya.

Kisah ini diulang adalah untuk mengukuhkan kenabian Rasulullah saw. Ini kerana baginda tidak boleh membaca dan menulis untuk mengarang kisah ini, menunjukkan semuanya adalah wahyu daripada Allah Swt.

Ayat ini dimulai dengan pertanyaan kepada Nabi Muhammad saw iaitu sudahkah sampai kepada baginda kisah tetamu terhormat Nabi Ibrahim as yang terdiri daripada malaikat-malaikat yang dimuliakan Allah Swt.

Ayat 25

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ

(Ingatlah) ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mengucapkan, “Salam.” Ibrahim menjawab, “Salam, (kalian) adalah orang-orang yang tidak dikenali.”

Para malaikat itu datang menemui Nabi Ibrahim as dalam bentuk manusia. Ketika itu mereka dalam perjalanan menuju kaum Nabi Lut as.

Lalu para malaikat masuk menemui Nabi Ibrahim as dan mengucapkan salam sejahtera kepada baginda. Lalu baginda menjawab salam mereka, sedangkan baginda tidak mengenali mereka.

Ayat 26

فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ

Maka dengan diam-diam dia (Ibrahim) pergi menemui keluarganya, kemudian dibawanya daging anak lembu gemuk yang dibakar.

Kemudian Nabi Ibrahim as pergi menemui isterinya secara diam-diam dan kemudian baginda datang kembali dengan membawa daging anak lembu yang dibakar untuk dihidangkan kepada para tetamunya itu.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Tidak lama kemudian, Ibrahim menyajikan daging anak lembu panggang.”

Hud 11:69

Ayat ini mengajar kita etika menerima tetamu iaitu menyediakan makanan dan menyajikannya tanpa bertanya terlebih dahulu kepada tetamu tentang apa yang ingin dimakan.

Ayat 27

فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Lalu dihidangkannya kepada mereka. Ibrahim lalu berkata, “Silakan! Mengapa kamu tidak makan?”

Ayat 28

فَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً ۖ قَالُوا۟ لَا تَخَفْ ۖ وَبَشَّرُوهُ بِغُلَـٰمٍ عَلِيمٍ

(Tetapi mereka tidak mahu makan), oleh itu Ibrahim berasa takut terhadap mereka. Mereka berkata, “Janganlah kamu takut,” dan mereka memberi khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang alim (Ishak).

Setelah makanan itu dihidangkan, namun para tetamu itu tidak menyentuh hidangan itu. Ini menimbulkan kebimbangan dan ketakutan dalam hati Nabi Ibrahim as.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka ketika tangan mereka tidak menjamahnya, dia (Ibrahim) mencurigai mereka, dan berasa takut akan mereka. Mereka (malaikat) berkata, ‘Janganlah takut, sesungguhnya kami juga diutus kepada kaum Lut.’”

Hud 11:70

Melihatkan keadaan Nabi Ibrahim as, para malaikat tersebut menyampaikan berita gembira kepada isteri Nabi Ibrahim as akan kelahiran Nabi Ishak as dan daripada Nabi Ishak as akan lahir Nabi Yaakub as.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan isterinya berdiri lalu dia tersenyum. Maka Kami sampaikan kepadanya khabar gembira tentang (kelahiran) Ishak dan disusuli (akan lahir) Yaakub.”

Hud 11:71

Ayat 29

فَأَقْبَلَتِ ٱمْرَأَتُهُۥ فِى صَرَّةٍ فَصَكَّتْ وَجْهَهَا وَقَالَتْ عَجُوزٌ عَقِيمٌ

Kemudian isterinya datang menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sendiri seraya berkata, “(Aku adalah) seorang perempuan tua yang mandul.”

Ayat 30

قَالُوا۟ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ ۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْعَلِيمُ

Mereka berkata, “Demikianlah Rabbmu berfirman. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”

Mendengar berita gembira tersebut, isteri Nabi Ibrahim as datang menjerit dengan tercengang kerana berasa begitu hairan dan gembira. Namun setelah menyedari keadaan dirinya, dia lalu menepuk wajahnya sendiri seraya berkata bahawa dia adalah seorang perempuan tua yang mandul. Hal ini adalah mustahil bagi dirinya.

Kemudian para malaikat itu meyakinkannya dengan mengatakan semuanya itu adalah daripada Allah Swt yang Maha Mengetahui siapakah yang berhak mendapat kemuliaan daripada-Nya dan Maha Bijaksana dalam setiap perkataan dan perbuatan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dia (isterinya) berkata, ‘Sungguh aneh, apakah mungkin aku dapat melahirkan anak padahal aku sudah tua, dan suamiku ini juga sudah terlalu tua? Ini adalah sesuatu yang menghairankan.’ Mereka (malaikat) berkata, ‘Mengapa engkau berasa hairan tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat dan keberkatan-Nya, dicurahkan kepadamu, wahai ahlul bait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji, lagi Maha Pengasih.’”

Hud 11:72-73