Surah 51: Az-Zariyat (15 – 19)

Ciri-ciri Orang yang Bertakwa dan Balasan kepada Mereka

Surah 51: Az-Zariyat (15 – 19)


Ayat 15

إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى جَنَّـٰتٍ وَعُيُونٍ

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa dan selalu melaksanakan perintah Allah Swt dan menjauhi larangan-Nya akan diberi ganjaran yang baik. Mereka berada dalam taman-taman syurga yang di dalamnya terdapat sumber-sumber mata air yang mengalir, suasana yang begitu indah dan menyenangkan.

Ayat 16

ءَاخِذِينَ مَآ ءَاتَىٰهُمْ رَبُّهُمْ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَبْلَ ذَٰلِكَ مُحْسِنِينَ

Sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka akan mendapat pelbagai nikmat, kebahagiaan dan apa sahaja yang diberikan oleh Allah Swt sebagai ganjaran kepada amal soleh mereka di dunia dahulu.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Kepada mereka dikatakan), ‘Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amalan yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu.’”

Al-Haqqah 69:24

Ayat 17

كَانُوا۟ قَلِيلًا مِّنَ ٱلَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ

Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam.

Ayat 18

وَبِٱلْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Dan pada akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah).

Allah Swt menjelaskan tentang amal perbuatan mereka semasa di dunia. Mereka tidur hanya sekejap sahaja pada malam hari kerana sebahagian waktu itu digunakan untuk melakukan amalan soleh dan pada akhir malam mereka melaksanakan solat, zikir atau membaca Al-Quran dan memohon pengampunan daripada-Nya.

Daripada ‘Abdullah bin Salam ra, dia berkata, “Ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, semua orang bergegas menghampiri baginda termasuk diriku. Ketika aku melihat baginda, aku tahu bahawa wajahnya bukan wajah pendusta. Nasihat pertama yang aku dengar ialah:

‘Wahai sekalian manusia! Berilah orang makan, sambungkanlah tali silaturrahim, sebarkanlah salam, solatlah pada malam hari ketika orang lain tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan aman.’”

(HR. At-Tirmidzi)

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat bilik-bilik yang luarnya dapat dilihat dari dalamnya dan dalamnya dapat dilihat dari luarnya. Abu Musa Al-Asy’ari bertanya, ‘Untuk siapa wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Untuk orang yang memperlembutkan percakapan, memberi orang makan dan berdiri (solat malam) pada malam hari untuk Allah pada ketika orang-orang lain sedang tidur.’”

(HR. Ahmad)

Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah Swt turun ke langit dunia terendah pada satu pertiga akhir malam dan berfirman, “Adakah orang bertaubat? Maka Aku terima taubatnya. Apakah ada yang memohon keampunan? Maka Aku akan ampuninya. Adakah yang memohon sesuatu? Maka akan Aku berikan permohonannya.” Hal ini berlaku sehingga terbit fajar.”

(HR. Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, An-Nasa’i dan At-Tirmidzi)

Ayat 19

وَفِىٓ أَمْوَٰلِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّآئِلِ وَٱلْمَحْرُومِ

Dan pada harta benda mereka, ada hak orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta.

Selain amalan baik yang disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka juga menginfakkan sebahagian daripada harta mereka kepada orang-orang miskin.

Mereka menginfakkannya sama ada kepada orang miskin yang amat susah sehingga terpaksa meminta-minta ataupun kepada orang yang hidup susah tetapi tidak mahu meminta-minta.

Daripada Az-Zuhri, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Orang miskin itu bukanlah orang yang mendatangi manusia untuk meminta-minta, lalu diberi sesuap dua makanan, atau sebiji dua kurma. Sebaliknya orang miskin itu ialah orang yang tidak mendapatkan hasil yang mencukupi serta tidak memperoleh jalan untuk mendapatkannya sehingga dia diberi sedekah.”

(HR. An-Nasa’i)