Perintah kepada Nabi Muhammad saw agar Terus Berdakwah
Surah 50: Qaf (45)
Ayat 45
نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيْهِم بِجَبَّارٍ ۖ فَذَكِّرْ بِٱلْقُرْءَانِ مَن يَخَافُ وَعِيدِ
Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan, dan engkau (Muhammad) bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka. Maka berilah peringatan dengan Al-Quran kepada sesiapa yang takut kepada ancaman-Ku.
Pada akhir surah ini, Allah Swt menyatakan bahawa pengetahuan-Nya meliputi semua perbuatan dan ucapan orang-orang musyrik terhadap diri Rasulullah saw termasuk mencerca dan mendustakan baginda.
Oleh itu, Allah Swt menenangkan hati Rasulullah saw dengan memberikan dorongan kepada baginda supaya tidak sekali-kali gelisah terhadap pendustaan mereka itu.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan sesungguhnya, Kami mengetahui bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan, maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan jadilah engkau di antara orang yang bersujud (solat), dan sembahlah Rabbmu sehingga yakin (ajal) datang kepadamu.”
Al-Hijr 15:97-99
Rasulullah saw bukanlah orang yang dapat memaksa mereka untuk mengikuti apa yang disampaikan olehnya, sebaliknya tugas baginda hanyalah memberi peringatan.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan. Engkau bukanlah orang yang berkuasa ke atas mereka.”
Al-Ghashiyah 88:21-22
“Sesungguhnya, engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
Al-Qasas 28:56