Anjuran agar Berzikir Pagi dan Petang
Surah 50: Qaf (39 – 40)
Ayat 39
فَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ ٱلشَّمْسِ وَقَبْلَ ٱلْغُرُوبِ
Maka bersabarlah engkau (Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam(nya).
Ayat 40
وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَسَبِّحْهُ وَأَدْبَـٰرَ ٱلسُّجُودِ
Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada malam hari dan setiap selesai solat.
Allah Swt mengajar Rasulullah saw bagaimana menghadapi orang-orang yang mendustakan dakwahnya iaitu:
▪️ Bersabar terhadap penentangan yang dilakukan oleh sebahagian daripada kaumnya dengan pelbagai cara termasuk melemparkan kata-kata nista kepada baginda. Di kalangan orang-orang yang menentang itu ada juga terdiri daripada kaum kerabat baginda yang paling dekat seperti bapa saudara baginda sendiri iaitu Abu Lahab.
▪️ Sentiasa bertasbih iaitu mensucikan Allah Swt daripada setiap kelemahan dan kekurangan serta sentiasa bertahmid iaitu memanjatkan pujian kepada-Nya pada waktu fajar, Asar, sebahagian waktu malam dan setelah selesai solat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan pada sebahagian malam, dirikanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”
Al-Isra’ 17:79
Daripada Jarir bin ‘Abdullah ra, dia berkata, “Kami pernah duduk bersama dengan Rasulullah saw, kemudian baginda memandang ke arah bulan sambil bersabda:
‘Ketahuilah, sesungguhnya kalian kelak akan dihadapkan kepada Rabb kalian, sehingga kalian dapat melihat-Nya sebagaimana kalian melihat bulan ini. Kalian tidak berdesak-desakan (kesusahan) melihatnya. Maka jika kalian mampu untuk tidak meninggalkan solat sebelum matahari terbit dan sebelum matahari tenggelam maka lakukanlah.’” Kemudian Rasulullah saw membaca firman Allah Swt, “Dan bertasbihlah sambil memuji Rabbmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya.”
(HR. Ahmad)
Ibnu Abi Najih meriwayatkan daripada Mujahid dan Ibnu ‘Abbas ra bahawa maksud kalimah وَأَدْبَٰرَ ٱلسُّجُودِ adalah bertasbih setelah selesai solat. Hal ini dikuatkan oleh hadis daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, “Orang-orang miskin daripada kalangan Muhajirin datang kepada Rasulullah saw dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, orang-orang yang berharta telah pergi dengan memborong darjat tinggi dan kenikmatan abadi.’ Baginda bertanya:
‘Apa maksud kalian?’ Mereka menjawab, ‘Orang-orang yang berharta itu solat seperti kami, mereka juga puasa seperti kami tetapi mereka mampu bersedekah sedangkan kami tidak. Mereka dapat memerdekakan hamba sedangkan kami tidak.’” Baginda lalu bersabda:
“Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu jika kalian lakukan akan dapat mengungguli orang-orang yang mendahului kalian, dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan yang sama seperti yang kalian lakukan? Iaitu bertasbih, bertahmid dan bertakbir setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali (masing-masingnya).” Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, saudara-saudara kami yang berharta telah mendengar apa yang kami amalkan, mereka pun mengamalkan yang sama seperti kami.” Baginda menjawab:
“Itulah kurnia Allah Swt yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”
(HR. Al-Bukhari)