Surah 50: Qaf (36 – 38)

Peringatan kepada Orang yang Mempunyai Hati atau Pendengaran

Surah 50: Qaf (36 – 38)


Ayat 36

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ هُمْ أَشَدُّ مِنْهُم بَطْشًا فَنَقَّبُوا۟ فِى ٱلْبِلَـٰدِ هَلْ مِن مَّحِيصٍ

Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri. Adakah (mereka) mendapat tempat lari (dari kebinasaan)?

Allah Swt menyatakan betapa banyak umat dan golongan terdahulu yang kufur sebelum orang-orang Quraisy telah Dia binasakan. Umat-umat tersebut seperti kaum ’Aad, kaum Thamud dan lain-lain itu jauh lebih besar bilangan mereka, lebih dahsyat kekuatan dan lebih banyak peninggalan mereka di muka bumi jika dibandingkan dengan kaum Quraisy.

Ketika seksaan datang, mereka cuba melarikan diri mencari tempat untuk berlindung tetapi mereka tidak menemuinya.

Ayat 37

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَن كَانَ لَهُۥ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى ٱلسَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa pelbagai peringatan, ancaman dan teguran telah diberikan namun semuanya tidak bermanfaat kecuali bagi orang-orang yang berfikir dan memahami hujjah serta iktibar pada kisah umat-umat terdahulu.

Ayat 38

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ وَمَا مَسَّنَا مِن لُّغُوبٍ

Dan sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya dalam enam hari, dan Kami sedikitpun tidak ditimpa keletihan.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia berkuasa menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya dalam masa enam hari tanpa ada contoh sebelumnya. Sesungguhnya Dia sedikitpun tidak mengalami rasa lelah dan kepayahan.

Ayat ini juga menegaskan tentang adanya Hari Kiamat. Ini kerana Allah Yang Maha Berkuasa menciptakan langit dan bumi tanpa lelah dan letih, tentu Dia juga berkuasa menghidupkan kembali makhluk yang telah mati.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan apakah mereka tidak memerhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak berasa payah kerana menciptakannya, berkuasa menghidupkan orang-orang mati? Ya (bahkan) sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Al-Ahqaf 46:33

“Apakah kamu yang lebih sulit penciptaannya ataukah langit? Allah telah membinanya.”

An-Nazi’at 79:27