Surah 50: Qaf (30 – 35)

Keadaan Neraka Jahannam dan Syurga

Surah 50: Qaf (30 – 35)


Ayat 30

يَوْمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ ٱمْتَلَأْتِ وَتَقُولُ هَلْ مِن مَّزِيدٍ

(Dan Ingatlah suatu) hari (yang pada hari itu) Kami bertanya kepada Neraka Jahannam, “Apakah kamu sudah penuh?” Ia menjawab, “Masih adakah tambahan?”

Pada Hari Kiamat kelak, Allah Swt bertanya kepada Neraka Jahannam sama ada neraka sudah penuh. Ini kerana Dia telah berjaniji dengan neraka bahawa Dia akan memenuhkannya dengan jin dan manusia. Ketika malaikat melemparkan orang-orang yang dikehendaki-Nya ke dalam neraka, Neraka Jahannam bertanya sama ada masih adakah lagi tambahan.

Terdapat banyak hadis menerangkan keadaan ini, antaranya daripada Anas ra, Rasulullah saw bersabda:

“Neraka Jahannam itu sentiasa dilemparkan ke dalamnya (orang), dan Jahannam selalu berkata, ‘Mana lagi tambahannya?’ Sehingga Rabb pemilik keperkasaan menghentakkan kaki-Nya di dalamnya sehingga sebahagian daripada Neraka Jahannam terpisah daripada sebahagian yang lainnya. Akhirnya neraka mengatakan, ‘Cukup, cukup Demi Keagungan dan Kemuliaan-Mu.’ Dan di dalam syurga terus didapati tempat yang kosong sehingga Allah Swt menempatkan ciptaan yang lain, maka Dia menempatkan ciptaan yang lain tersebut untuk mengisi kekosongan di dalam syurga itu.”

(HR. Ahmad dan Muslim)

Ayat 31

وَأُزْلِفَتِ ٱلْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ غَيْرَ بَعِيدٍ

Sedangkan syurga didekatkan kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tidak jauh dari mereka.

Manakala dalam ayat 31 hingga ayat 35 ini pula, Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang yang bertakwa.

Dalam ayat ini orang-orang yang bertakwa didekatkan dengan syurga atau mereka dapat melihat syurga dari tempat mereka berada.

Ayat 32

هَـٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ

(Kepada mereka dikatakan), “Inilah yang dijanjikan kepadamu, iaitu kepada setiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya).

Lalu para malaikat memberitahu mereka bahawa syurga yang mereka lihat itu adalah janji daripada Allah Swt melalui lisan para rasul-Nya. Nikmat ini diberikan kepada mereka yang sentiasa bertaubat kepada-Nya dan mentaati perintah-Nya.

Ayat 33

مَّنْ خَشِىَ ٱلرَّحْمَـٰنَ بِٱلْغَيْبِ وَجَآءَ بِقَلْبٍ مُّنِيبٍ

(Iaitu) orang yang takut kepada Allah Yang Maha Pengasih sekalipun tidak terlihat (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat.

Orang-orang yang sentiasa menjaga batasan-batasan Allah Swt adalah orang-orang yang takut kepada-Nya padahal mereka tidak melihat-Nya. Mereka takut ketika bersendirian padahal tiada siapa pun yang melihatnya kecuali Allah Swt.

Mereka juga adalah orang-orang yang kembali kepada Allah Swt dengan hati yang ikhlas dalam mentaati-Nya dan menghadap kepada-Nya dengan hati yang pasrah dan tunduk dihadapan-Nya.

Ayat 34

ٱدْخُلُوهَا بِسَلَـٰمٍ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ ٱلْخُلُودِ

Masuklah ke dalam syurga dengan aman dan damai. Itulah hari yang kekal.

Maka mereka dipersilakan masuk ke dalam syurga dengan keadaan aman dan damai serta tiada lagi ketakutan dan kebimbangan kerana terselamat daripada azab.

Ayat 35

لَهُم مَّا يَشَآءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ

Mereka di dalamnya mendapat apa yang mereka kehendaki, dan pada sisi Kami ada tambahannya lagi.

Dalam syurga itu mereka juga mendapat apa yang mereka inginkan, malah Allah Swt menambahkan lagi nikmat yang lebih banyak berupa sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran dan hati mereka iaitu melihat Allah Swt.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Bagi orang-orang yang melakukan kebaikan, disediakan baginya pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya………..”

Yunus 10:26