Surah 50: Qaf (19 – 20)

Peringatan tentang Dua Keadaan Kematian

Surah 50: Qaf (19 – 20)


Ayat 19

وَجَآءَتْ سَكْرَةُ ٱلْمَوْتِ بِٱلْحَقِّ ۖ ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ

Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.

Kalimah سَكرَةُ adalah berasal daripada kata dasar س ك ر yang bermaksud ‘mabuk’. Ini adalah berkaitan dengan kesakitan ketika hampir mati dan terjadi ketika datang sakitnya kematian itu. Ketika roh hendak dikeluarkan dari tubuh seseorang, orang itu akan mengalami kesakitan yang amat sangat, sehingga dia tidak sedar dengan keadaan sekeliling. Kematian dan kebenaran inilah yang sebelum ini mereka hindari dan berpaling daripadanya.

Nabi Muhammad saw pun mengalami sakaratul maut. Ini dinyatakan dalam sebuah hadis ketika baginda dihampiri kematian, baginda mengusap peluh dari wajah baginda seraya bersabda:

“Subhanallah (Maha Suci Allah), sesungguhnya kematian benar-benar mempunyai sakarat (sakit yang luar biasa).”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 20

وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ ۚ ذَٰلِكَ يَوْمُ ٱلْوَعِيدِ

Dan ditiupkanlah sangkakala. Itulah hari yang berlakunya amaran yang telah diingatkan.

Dalam ayat sebelum ini, Allah Swt menjelaskan keadaan kematian yang dirasai oleh setiap manusia. Manakala dalam ayat ini, Dia menjelaskan pula tentang kematian seluruh kehidupan yang bernyawa. Apabila sangkakala pertama ditiupkan, keseluruhan makhluk dimatikan dan tiupan kali kedua pula semua makhluk yang mati akan dihidupkan kembali.

Itulah hari yang sangat dahsyat dan menggerunkan yang dijanjikan oleh Allah Swt. Orang-orang kafir akan menerima seksaan yang berat.

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Bagaimana aku dapat bersenang-senang, sedangkan pemegang sangkakala telah siap untuk meniupnya. Keningnya berkerut menunggu diperintahkan untuk meniupnya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang harus kami katakan?” Rasulullah saw menjawab, “Ucapkanlah oleh kalian,

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

(Cukuplah Allah sebagai Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik pelindung.)”

Maka para sahabat pun mengucapkan,

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

(Cukuplah Allah sebagai Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik pelindung.)”

(HR. At-Tirmidzi)