Hikmah Allah Swt Menjadikan Kaabah sebagai Rumah Suci
Surah 5: Al-Maidah (97 – 100)
Ayat 97
جَعَلَ ٱللَّهُ ٱلْكَعْبَةَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ قِيَـٰمًا لِّلنَّاسِ وَٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ وَٱلْهَدْىَ وَٱلْقَلَـٰٓئِدَ ۚ ذَٰلِكَ لِتَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَأَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ
Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Allah Ta’ala menjadikan Kaabah dan kawasan sekitarnya sebagai tempat yang aman bagi manusia untuk mengerjakan urusan-urusan keduniaan dan ukhrawi serta pusat bagi amalan haji. Firman-Nya:
“Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rompak-merompak. Maka mengapa (sesudah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang batil dan ingkar kepada nikmat Allah?”
Al-‘Ankabut 29:67
Allah Swt juga menjadikan Kaabah, bulan-bulan haram, hadyu dan qalaid sebagai ‘qiyam’ iaitu pusat peribadatan dan urusan dunia adalah untuk menepati kedudukan penguasa daripada kalangan orang-orang Arab yang dapat mewujudkan keamanan dan kesejahteraan di negeri-negeri mereka, khususnya penduduk tanah haram yang terdiri daripada suku-suku Quraisy. Oleh itu, Allah Swt menjadikan semua itu dengan bersebab:
- Kaabah sebagai tempat manusia berkumpul dan berhubung antara satu sama lain untuk urusan agama bagi menegakkan agama Allah Swt. Di situ tempat untuk melakukan ibadat dan juga tempat mesyuarat untuk seluruh umat Islam. Ini kerana di Mekah itulah tempat berkumpul pemimpin Islam seluruh dunia supaya mereka boleh bermesyuarat dan pulang dengan membawa amanat daripada khalifah. Sekiranya ada pengumuman penting, mereka akan lakukan perjumpaan dan mesyuarat di situ. Begitulah yang dilakukan zaman sahabat dan pada zaman khalifah.
- Bulan-bulan haram ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab iaitu bulan yang dilarang melakukan peperangan.
- Hadyu dan qalaid menjadi asbab orang-orang fakir miskin mendapat makanan. Allah Ta’ala menjadikan manasik haji sebagai satu cara untuk memakmurkan Mekah yang dahulunya kering dan kontang. Jika tidak demikian, tiada siapa pun yang sanggup tinggal di sana.
Hadyu adalah binatang seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri yang dibawa ke Kaabah untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Binatang-binatang ini disembelih di tanah Haram dan dagingnya dihadiahkan kepada fakir miskin dalam rangka ibadah haji.
Qalaid ialah binatang hadyu yang dikalungkan supaya diketahui bahawa binatang itu telah disiapkan untuk dibawa ke Kaabah. Penyembelihan hadyu dan qalaid ini menjadikan orang yang berkorban mendapat pahala yang besar manakala fakir miskin mendapat bahagian daripada binatang-binatang sembelihan tersebut.
Kemudian Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia menetapkan semuanya itu agar hamba-hamba-Nya mengetahui bahawa Dia mengetahui apa sahaja yang ada di langit dan di bumi dan bahawasanya Dia amat mengetahui segala sesuatu. Semuanya itu adalah merupakan bukti ilmu, hikmah dan kasih sayang Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu, jelaslah bahawa Dia mengetahui apa-apa yang sedang terjadi dan apa-apa yang akan terjadi berdasarkan ilmu-Nya Yang Maha Luas. Dia menetapkan hukum-hukum dan peraturan-Nya bagi kemaslahatan hamba-hamba-Nya.
Ayat 98
ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ وَأَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksa-Nya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya).
Sesungguhnya Allah Ta’ala amat keras seksaan-Nya terhadap orang yang bermaksiat kepada-Nya dan pada masa yang sama Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang terhadap orang yang bertaubat dan taat kepada-Nya. Oleh itu, orang-orang mukmin hendaklah mempunyai rasa takut terhadap seksaan-Nya dan mengharap keampunan dan pahala-Nya. Ini akan menjadikan seseorang itu mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
Ayat 99
مَّا عَلَى ٱلرَّسُولِ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ
Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Rasulullah saw hanyalah utusan-Nya. Hidayah, taufik dan pahala bukanlah daripada Baginda. Baginda hanya menyampaikan perintah dan larangan-Nya. Dia menyatakan hal tersebut kepada hamba-hamba-Nya dengan cara penyampaian yang menyentuh jiwa dengan bahasa yang paling baik dan indah.
Sesiapa yang bertaubat dan taat kepada-Nya maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Sesiapa yang berpaling dan ingkar, ketahuilah bahawa azab-Nya amat pedih. Dia mengetahui apa sahaja sama ada yang tersembunyi atau yang dizahirkan.
Ayat ini merupakan khabar gembira bagi orang-orang yang beriman dan ancaman kepada orang-orang yang kafir dan munafik kerana ilmu Allah Ta’ala meliputi segala yang zahir dan tersembunyi dan akan ada balasannya. Jika amalnya baik maka baiklah balasannya dan jika amalnya buruk maka buruk pulalah balasannya.
Ayat 100
قُل لَّا يَسْتَوِى ٱلْخَبِيثُ وَٱلطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ ٱلْخَبِيثِ ۚ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
Allah Ta’ala mengingatkan manusia bahawa tidak sama amalan yang buruk yang datang daripada nafsu dengan perkara yang baik yang datangnya daripada wahyu.
Begitu juga tidak sama kekafiran dengan keimanan, ketaatan dengan kemaksiatan, yang haram dengan yang halal. Oleh sebab itu, keburukan tidaklah menguntungkan pelakunya, bahkan merugikan dirinya sama ada di dunia ataupun di akhirat.
Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah Swt mengingatkan manusia agar meninggalkan yang haram dan hendaklah berasa cukup dengan yang halal sekiranya ingin mendapat keuntungan di dunia dan juga di akhirat.