Surah 5: Al-Maidah (94 – 96)

Berburu yang Dilarang dan Dihalalkan ketika Haji

Surah 5: Al-Maidah (94 – 96)


Ayat 94

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَيَبْلُوَنَّكُمُ ٱللَّهُ بِشَىْءٍ مِّنَ ٱلصَّيْدِ تَنَالُهُۥٓ أَيْدِيكُمْ وَرِمَاحُكُمْ لِيَعْلَمَ ٱللَّهُ مَن يَخَافُهُۥ بِٱلْغَيْبِ ۚ فَمَنِ ٱعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُۥ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa yang takut kepada-Nya semasa ia tidak melihat-Nya semasa ia tidak dilihat orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang mukmin yang sedang melakukan ihram akan diuji untuk mengetahui siapa yang bertakwa kepada-Nya. Mereka tidak dibolehkan berburu, padahal ketika itu binatang buruan amat banyak, sehingga dengan mudah mereka dapat menangkapnya dengan tangan ataupun dengan menggunakan tombak. 

Menurut sebahagian riwayat, ayat ini turun ketika kaum muslimin melaksanakan umrah Hudaibiyah. Ketika itu binatang liar, burung-burung dan binatang buruan berada di sekeliling mereka dalam perjalanan. Binatang-binatang amatlah banyak dan belum pernah mereka temukan sebanyak itu. Binatang-binatang kecil dapat ditangkap dengan tangan sahaja, manakala binatang-binatang yang besar dan liar dapat ditangkap dengan menggunakan tombak dan sebagainya. Mereka boleh melakukan perkara ini sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi. 

Namun Allah Ta’ala melarang mereka menangkapnya. Larangan ini adalah sebagai ujian kepada mereka bagi membuktikan kekuatan iman dan ketakwaan mereka kepada-Nya. Orang-orang yang betul-betul memiliki keimanan yang kuat, nescaya tidak akan melanggar larangan-Nya, baik secara terang-terangan, mahupun dengan sembunyi-sembunyi. Ini kerana mereka sentiasa takut kepada azab-Nya, walaupun mereka belum pernah menyaksikan azab tersebut. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan ancaman-Nya kepada orang-orang yang masih melanggar ketentuan-ketentuan-Nya setelah mereka diberitahu dan diancam bahawa mereka pasti akan mendapat azab yang pedih akibat pelanggaran tersebut. 

Ayat 95

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقْتُلُوا۟ ٱلصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ ۚ وَمَن قَتَلَهُۥ مِنكُم مُّتَعَمِّدًا فَجَزَآءٌ مِّثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ ٱلنَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِۦ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ هَدْيًۢا بَـٰلِغَ ٱلْكَعْبَةِ أَوْ كَفَّـٰرَةٌ طَعَامُ مَسَـٰكِينَ أَوْ عَدْلُ ذَٰلِكَ صِيَامًا لِّيَذُوقَ وَبَالَ أَمْرِهِۦ ۗ عَفَا ٱللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ ٱللَّهُ مِنْهُ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ ذُو ٱنتِقَامٍ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat dia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.

Allah Ta’ala menegaskan larangan-Nya kepada orang-orang mukmin agar mereka tidak membunuh binatang buruan yang biasanya ditangkap kemudian disembelih untuk dimakan dagingnya. Larangan ini ditujukan kepada orang-orang yang sedang melaksanakan ihram baik ihram dalam ibadah haji mahupun dalam ibadah umrah. 

Kemudian Allah Swt menjelaskan hukuman denda yang dikenakan kepada orang-orang mukmin yang melanggar larangan tersebut. Denda bagi orang-orang yang membunuh binatang buruan dengan sengaja, padahal dia ingat akan larangan itu ialah menunaikan salah satu daripada perkara-perkara berikut: 

i)   Menggantikan binatang buruan yang dibunuhnya itu dengan binatang ternak yang seimbang dengan yang telah dibunuhnya, berdasarkan keputusan yang dibuat oleh dua orang yang adil. Binatang pengganti itu mesti dibawa ke Kaabah atau ke daerah tanah haram, kemudian disembelih di sana dan dagingnya diagih-agihkan kepada fakir miskin yang berada di tempat itu. 

ii)   Denda kaffarah dengan memberi makan fakir miskin, makanan yang sama nilainya dengan binatang pengganti yang tersebut di atas. 

iii)   Berpuasa pada hari-hari yang jumlahnya seimbang dengan jumlah sukatan makanan yang wajib diberikan kepada fakir miskin. Ini bermaksud orang yang melakukan puasa sebagai ganti memberi makanan, setiap seorang miskin, diganti menjadi puasa sehari.  Contoh, sekiranya makanan yang sepatutnya disedekahkan itu boleh diberi makan kepada sepuluh orang, maka dia dikenakan berpuasa selama sepuluh hari. 

Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan bahawa hukuman yang ditetapkan itu adalah bertujuan agar orang-orang yang melanggar larangan itu dapat merasakan akibat perbuatannya. 

Selanjutnya, Allah Swt menerangkan bahawa Dia memaafkan kesalahan-kesalahan yang telah lalu, iaitu membunuh binatang buruan ketika mereka sedang berihram dan dilakukan sebelum turunnya ayat ini. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyebutkan ancaman-Nya kepada orang-orang yang masih melanggar larangan itu setelah turunnya ayat ini iaitu Dia akan menyeksa mereka. Allah Maha Kuasa untuk menyeksa setiap makhluk yang bersalah. 

Ayat 96

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ ٱلْبَحْرِ وَطَعَامُهُۥ مَتَـٰعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ ۖ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ ٱلْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menghalalkan tangkapan dari laut yang diperoleh sama ada dengan cara mengail, memukat dan sebagainya ketika mereka masih dalam ihram. Laut yang disebutkan dalam ayat ini termasuklah sungai, tasik, kolam dan sebagainya. 

Begitu juga dihalalkan kepada mereka ikan-ikan atau haiwan laut yang diperoleh dengan mudah kerana telah mati terapung atau terdampar di pantai dibawa oleh ombak. 

Walau bagaimanapun, Allah Ta’ala mengharamkan pemburuan haiwan darat ketika dalam ihram haji atau umrah. Dia memerintahkan hamba-hamba-Nya agar bertakwa iaitu takut terhadap hukuman-Nya dengan melakukan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya serta mengingatkan kepada mereka bahawa mereka semuanya akan dikumpulkan di akhirat nanti untuk dihisab segala amal perbuatan.