Surah 5: Al-Maidah (90 – 93)

Pengharaman Khamar (Arak), Judi, Berkorban untuk Berhala dan Mengundi Nasib

Surah 5: Al-Maidah (90 – 93)


Ayat 90

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Allah swt melarang orang-orang beriman minum arak (khamar) dan semua yang memabukkan. Selain itu, melakukan perjudian dan apa-apa yang berkaitan dengannya, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan menggunakan alat-alat yang menyerupai anak panah yang biasa dilakukan oleh masyarakat Arab sebelum datangnya Islam adalah termasuk perkara-perkara yang dimurkaiNya. Perbuatan-perbuatan ini termasuk perbuatan syaitan iaitu tipuan dan hiasannya.   

Menurut jumhur ulama, arak (khamar) adalah semua minuman yang memabukkan dan merosakkan fungsi akal. Sabda Rasulullah saw: 

“Semua yang memabukkan adalah khamar dan semua khamar hukumnya adalah haram.” 

(HR. Ahmad dan Muslim) 

Berkaitan dengan pengharaman meminum arak, para ahli tafsir berpendapat bahawa ayat ini merupakan peringkat terakhir dalam menentukan hukum haramnya meminum arak. Menurut mereka, Al-Quran mengemukakan hukum meminum arak itu dalam tiga peringkat. 

Pertama

“Mereka bertanya kepadamu tentang (meminum) khamar dan judi. Katakanlah, “Pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya………….” 

Al-Baqarah 2:219 

Ayat ini turun pada masa permulaan Islam, iaitu semasa iman kaum muslimin belum begitu kuat untuk dapat meninggalkan apa yang telah menjadi kegemaran dan kebiasaan mereka yang sebenarnya tidak dibolehkan dalam agama Islam. Maka setelah turun ayat ini, sebahagian daripada kaum muslimin telah berhenti meminum arak kerana ayat tersebut telah menyebutkan terdapat dosa besar pada perbuatan itu. 

Namun demikian sebahagian lagi masih terus meminum arak. Ini kerana, menurut pendapat mereka ayat itu belum melarang mereka daripada perbuatan itu, apatah lagi ayat ini masih menyebutkan bahawa arak itu mengandungi banyak manfaat bagi manusia. 

Kedua

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk……………….” 

An-Nisa’ 4:43 

Oleh sebab ayat ini melarang mereka melakukan solat dalam keadaan mabuk, maka mereka berpendapat bahawa mereka tidak dibolehkan minum arak sebelum solat, supaya mereka dapat melakukan solat itu dalam keadaan tidak mabuk. 

Ketiga

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak (khamar), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung.” 

Al-Ma’idah 5:90 

Kemudian, setelah iman kaum muslimin semakin kuat dan jiwa mereka telah matang untuk dapat meninggalkan apa yang tidak dibolehkan dalam agama, maka turunlah ayat 90 Surah Al-Maidah ini yang memberikan ketegasan tentang haramnya meminum arak, iaitu dengan mengatakan bahawa meminum arak, dan perbuatan yang lain itu adalah perbuatan kotor, haram dan termasuk perbuatan syaitan yang tidak patut dilakukan oleh manusia yang beriman kepada Allah swt. Setelah turunnya ayat ini, tertutuplah semua kemungkinan bagi orang-orang mukmin untuk meminum arak. 

Demikianlah peringkat-peringkat yang telah disusun oleh Allah Ta’ala dalam Al-Quran bagi menetapkan hukum haram meminum arak. Prinsip ini adalah sangat tepat untuk digunakan apabila seseorang ingin mengadakan pembanterasan dan pembasmian sesuatu yang telah sebati dalam masyarakat. Andaikata sesuatu tindakan itu dilakukan secara mendadak dan sekali gus, maka akan terjadilah kekacauan dalam masyarakat dan akan timbul penentangan yang keras terhadap peraturan baru yang hendak diterapkan itu. Agama Islam sangat mementingkan pembinaan mental manusia agar tidak menimbulkan kekacauan dalam masyarakat. 

Abu Dawud At-Tayalisi mengatakan, “Aku pernah mendengar Ibnu Umar berkata, ‘Mengenai minuman arak (khamar), telah turun tiga ayat, yang pertama adalah, “Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi.” (Al-Baqarah:219). Kemudian dikatakan, ‘Arak telah diharamkan.’ Kemudian mereka mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, biarkanlah kami memanfaatkannya seperti yang telah difirmankan Allah.’  Maka Rasulullah saw diam, lalu turunlah ayat ini, “Janganlah kamu mendekati solat, sementara kamu dalam keadaan mabuk.’ (An-Nisa’:43). Kemudian dikatakan, ‘Arak telah diharamkan.’ Maka mereka berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak meminumnya bila dekat dengan waktu solat.’ Maka Rasulullah saw diam, lalu turunlah ayat 90 ini. Selanjutnya Rasulullah saw bersabda, ‘Arak telah diharamkan.’” 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin menjauhi meminum arak, berjudi, berkorban untuk patung-patung berhala serta mengundi nasib agar mereka menjadi orang-orang yang beroleh kejayaan dalam kehidupan mereka di dunia dan di akhirat. 

Ayat 91

إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ ٱلْعَدَٰوَةَ وَٱلْبَغْضَآءَ فِى ٱلْخَمْرِ وَٱلْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Allah Ta’ala menyatakan bahawa syaitan akan menjadikan indah dan menanamkan perasaan cinta terhadap semua laranganNya. Tujuan syaitan melakukan semua ini adalah untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara hamba-hambaNya serta menghalang mereka daripada zikrullah iaitu mengingatiNya. 

Ayat 92

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَٱحْذَرُوا۟ ۚ فَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلْبَلَـٰغُ ٱلْمُبِينُ

Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.

Allah Ta’ala mengingatkan hamba-hambaNya supaya taat kepadaNya dan RasulNya serta jangan terjebak dalam kemaksiatan dan pengaruh buruk. Oleh itu hendaklah berhati-hati dalam setiap tindakan dan keputusan. FirmanNya: 

“………………Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa ujian atau ditimpa azab yang pedih.” 

An Nur 24:63 

Sekiranya mereka masih berpaling setelah datangnya peringatan daripada Rasulullah saw, maka Baginda tidak sekali-kali akan bertanggungjawab terhadap sikap mereka. Ini kerana Baginda hanyalah seorang rasul yang diutuskan sebagai pemberi peringatan dan Baginda telahpun melaksanakan tugas yang mulia ini. Oleh itu balasan kepada orang-orang yang berpaling daripada peringatan ini adalah seksaan yang menghinakan. Firman-firman Allah Ta’ala: 

“………………..Dan jika mereka berpaling, maka kewajipan kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah), dan Allah Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” 

Ali ‘Imran 3:20 

“……………sesungguhnya tugasmu hanya menyampaikan sahaja, sedangkan Kami lah yang menghisab amalan mereka.” 

Ar Ra’d 13:40

Rasulullah saw telah menyampaikan tugasnya seperti yang diperintahkan oleh Allah swt. Jika seseorang itu mengikutinya, maka yang demikian itu adalah untuk kebaikan dirinya juga. Sebaliknya, jika tidak mengikutinya, maka diri sendirilah yang mendapat kerugian dan Allah swt akan menghisab setiap perbuatan hamba-hambaNya 

Ayat 93

لَيْسَ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُوٓا۟ إِذَا مَا ٱتَّقَوا۟ وَّءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ ثُمَّ ٱتَّقَوا۟ وَّءَامَنُوا۟ ثُمَّ ٱتَّقَوا۟ وَّأَحْسَنُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ

Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertakwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Ketika turun ayat yang melarang minuman arak, sebahagian sahabat Nabi saw ingin mengetahui keadaan saudara-saudaranya yang telah meninggal dunia dalam keadaan muslim sebelum diharamkan minuman arak, sedangkan ketika itu mereka meminumnya. 

Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat di atas iaitu mereka tidak berdosa atas apa yang mereka makan terdahulu sebelum turunnya hukum ini, dengan syarat mereka beriman kepada Allah Ta’ala, bertakwa kepadaNya, taat kepada syariatNya dan mendekatkan diri kepadaNya.