Surah 5: Al-Maidah (82 – 86)

Pujian Allah Swt terhadap Orang Nasrani yang Beriman kepada Al-Quran dan Rasulullah saw

Surah 5: Al-Maidah (82 – 86)


Ayat 82

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُوا۟ ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّا نَصَـٰرَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang paling keras memusuhi orang-orang mukmin pada masa Al-Quran diturunkan ialah orang-orang Yahudi dan musyrik. Hal ini adalah kerana kekufuran orang-orang Yahudi didasari oleh pembangkangan, keingkaran, kesombongan, sikap menentang, menghancurkan kebenaran dan meremehkan serta merendahkan kedudukan orang lain. Oleh itu, mereka telah membunuh sebahagian daripada para nabi dan mencuba untuk membunuh Rasulullah saw. Mereka juga pernah meracuni dan menyihir Baginda. Mereka ini sombong dan dengki terhadap Baginda dengan sebab adanya ajaran-ajaran  pemimpin-pemimpin mereka yang menanamkan sifat taksub pada bangsa dalam diri mereka. Selain itu, mereka juga berpendirian bahawa Bani Israil adalah satu-satunya bangsa yang dipilih oleh Allah Swt. 

Manakala orang-orang musyrik pula tidak memahami hakikat agama Islam kerana kebodohan mereka dan kehidupan mereka telah sebati dan bergelumang dalam perbuatan haram yang telah mereka amalkan dalam waktu yang cukup lama seperti khurafat, syirik dan kesesatan. 

Adapun orang-orang yang paling dekat persahabatan mereka terhadap orang-orang mukmin ialah orang-orang yang mengatakan mereka adalah pengikut Nabi Isa as dan kitab Injil iaitu kaum Nasrani. Mereka memiliki rasa cinta pada Islam dan pengikut-pengikutnya kerana dalam hati mereka terdapat ajaran-ajaran agama Nabi Isa as yang bersifat lemah lembut dan santun. 

Rasulullah saw melihat ada kebaikan dalam diri orang-orang Nasrani ketika mereka mendapat sambutan Raja Habsyah (Ethiopia) yang bernama Najasyi yang memeluk agama Nasrani. Dia berserta sahabat-sahabatnya melindungi orang-orang Islam yang pertama kali melakukan hijrah dari Mekah ke Habsyah kerana takut daripada gangguan dan fitnah yang dilakukan oleh kaum musyrik Arab secara kejam.

Raja Rom Timur di Syam iaitu Hiraklius, ketika menerima surat Baginda saw, Baginda menyambutnya dengan sambutan yang baik dan berusaha memberikan penjelasan kepada rakyatnya tentang Islam. Ini supaya rakyatnya dapat menerima ajakan Nabi Muhammad saw meskipun rakyat belum sependapat dengannya kerana masih berpegang dengan kefanatikan. 

Raja Makaukis yang menguasai Mesir, juga menyambut surat Baginda dengan sambutan yang baik dan meskipun beliau belum bersedia untuk menerima ajakannya kepada Islam, namun beliau menjawab surat Baginda serta mengirim hadiah berharga, antara lain berupa seorang jariah yang bernama Mariah Al-Qibtiyah. 

Setelah penaklukan Mesir dan Syam, ramai pengikut Nasrani dari dua buah negara itu yang memeluk agama Islam kerana mereka melihat banyak keistimewaan yang terdapat dalam Islam termasuk Ashamah An-Najasy, Raja Habsyah. Ketika An-Najasy meninggal dunia di tengah-tengah orang musyrik tidak ada yang mendirikan solat jenazahnya. Berita kewafatannya sampai kepada Rasulullah saw, lalu Baginda melaksanakan solat jenazah ghaib untuknya. 

Faktor yang menyebabkan mereka memiliki persahabatan dengan orang-orang mukmin adalah keberadaan para pendeta dan para rahib di kalangan mereka. Mereka selalu mengajak untuk beriman, berbuat baik, hidup sederhana, zuhud, tidak sombong dan tidak berpaling terhadap kebenaran. Allah Ta’ala menyebut mereka dengan sebutan orang-orang yang berilmu, rajin beribadah dan memiliki sikap rendah diri serta patuh dan tunduk kepada kebenaran. 

Ayat 83

وَإِذَا سَمِعُوا۟ مَآ أُنزِلَ إِلَى ٱلرَّسُولِ تَرَىٰٓ أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا۟ مِنَ ٱلْحَقِّ ۖ يَقُولُونَ رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱكْتُبْنَا مَعَ ٱلشَّـٰهِدِينَ

Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad saw), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad saw).

Dalam ayat ini diterangkan bahawa ketika kaum Nasrani itu mendengar ayat-ayat Al-Quran, maka bercucuranlah air mata mereka kerana sangat terharu dan hati mereka tersentuh dengan ayat-ayat Allah Ta’ala. Mereka yakin terhadap kebenaran Al-Quran yang membenarkan khabar gembira dalam kitab suci mereka bahawa akan diutuskan seorang rasul. Begitu juga mereka terharu dengan sifat-sifat Rasulullah saw yang telah mereka kenali sebelumnya daripada kitab suci mereka. 

Seterusnya, Allah Swt menyatakan orang-orang Nasrani ini mengaku bahawa mereka telah menerima seruan Islam dan mereka memohon kepada Allah Ta’ala agar nama-nama mereka dituliskan bersama dengan orang-orang yang mengakui kebenaran Al-Quran dan Rasulullah saw, yang akan menjadi saksi pada hari kiamat nanti. 

Ayat 84

وَمَا لَنَا لَا نُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَمَا جَآءَنَا مِنَ ٱلْحَقِّ وَنَطْمَعُ أَن يُدْخِلَنَا رَبُّنَا مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلصَّـٰلِحِينَ

“Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh”

Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka menegaskan bahawa tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalang mereka untuk beriman kepada-Nya dan kepada kebenaran yang telah diturunkan-Nya melalui Rasulullah saw, rasul terakhir yang diutus-Nya untuk seluruh umat manusia. 

Ini kerana mereka sangat ingin agar Allah Ta’ala memasukkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang soleh, iaitu dalam golongan umat Nabi Muhammad saw. Mereka merupakan umat yang benar-benar mengikuti ajaran-ajaran agama Islam yang sebenar dengan merangkumi keimanan, ibadah, muamalah dan akhlak yang luhur. 

Ayat 85

فَأَثَـٰبَهُمُ ٱللَّهُ بِمَا قَالُوا۟ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْمُحْسِنِينَ

Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.

Oleh itu, Allah Ta’ala memberikan balasan kepada mereka dengan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, tempat yang penuh dengan kenikmatan dan mereka kekal di dalamnya. Inilah balasan bagi orang-orang yang patuh dan tunduk pada kebenaran. Allah Swt berfirman: 

“Tidak seorangpun mengetahui pelbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.” 

As-Sajdah 32:17 

Ayat 86

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.

Adapun orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Allah Swt, mengingkari keesaan-Nya dan menolak kenabian Rasulullah saw, maka mereka itulah penghuni neraka Jahannam buat selama-lamanya.