Surah 5: Al-Maidah (78 – 81)

Laknat untuk Orang Yahudi

Surah 5: Al-Maidah (78 – 81)


Ayat 78

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.

Allah Swt memberitahu bahawa Dia telah melaknat orang-orang kafir daripada Bani Israil sejak dahulu lagi dalam kitab yang diturunkan-Nya kepada Nabi Daud as dan melalui lisan Nabi Isa as disebabkan kederhakaan mereka kepada-Nya dan kezaliman yang mereka lakukan kepada makhluk-Nya. 

Ayat 79

كَانُوا۟ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ

Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.

Orang alim di kalangan mereka tidak mencegah perbuatan-perbuatan dosa dan haram sedangkan seburuk-buruk perbuatan adalah perbuatan mereka. Ini menggambarkan betapa buruknya perbuatan mereka dan sekali gus pengajaran buat semua manusia. Ini kerana apabila kemungkaran telah bermaharajalela, maka kelihatan umat itu sangat buruk secara keseluruhannya. 

Amar makruf nahi mungkar mampu melindungi dan menghalang perbuatan tercela, mengingatkan keutamaan akhlak dan mendorong kepada kebaikan serta mewujudkan kebahagiaan. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya kekurangan pertama yang menimpa Bani Israil adalah pertemuan seorang lelaki dengan lelaki lain (yang salah seorang membuat kemungkaran). Maka berkata (lelaki yang tidak mengerjakan kemungkaran itu), “Wahai kawanku, takutlah kepada Allah dan tinggalkan perbuatanmu kerana perbuatanmu itu tidak halal bagimu!” Kemudian hari berikutnya (lelaki yang menegur) berjumpa lagi dengan lelaki itu sedang membuat kemungkaran seperti biasanya, maka tidak dicegahnya lagi malahan dijadikan teman makannya, teman minumnya dan teman duduknya. Maka setelah perbuatan mungkar tersebut tersebar di kalangan umum, Allah menjadikan hati mereka semua menjadi keras. Kemudian Nabi membacakan ayat 78-81 (kepada kaum mukminin) daripada surah ini. Seterusnya Nabi bersabda, “Sekali-kali tidak, demi Allah kamu semua hendaklah menegakkan amar makruf dan nahi mungkar kemudian hendaklah kamu mencegah perbuatan orang yang zalim dan hendaklah kamu memaksakan kepadanya menerima kebenaran itu. Jika tidak, nescaya Allah akan memukulkan hati sebahagian daripada kamu dengan hati sebahagian yang lain (menjadikan hati orang yang tidak berbuat maksiat sama kotornya dengan hati orang yang berbuat maksiat) kemudian Allah akan melaknat kamu sebagaimana melaknat orang-orang Yahudi.” 

(HR. Abu Dawud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah) 

Ayat 80

تَرَىٰ كَثِيرًا مِّنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ لَبِئْسَ مَا قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنفُسُهُمْ أَن سَخِطَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ وَفِى ٱلْعَذَابِ هُمْ خَـٰلِدُونَ

Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka).

Dalam ayat yang lepas Allah Ta’ala menerangkan keburukan tingkah laku nenek moyang orang-orang Yahudi (Bani Israil). Dalam ayat ini pula, Dia menerangkan bagaimana Nabi Muhammad saw menyaksikan sendiri tingkah laku orang-orang kafir daripada kalangan Bani Israil yang ada pada zamannya. Kebanyakan mereka memberikan kesetiaan kepada orang-orang musyrik daripada kalangan Arab (kaum Baginda sendiri) dan tidak mengasihi kaum mukmin. Malah mereka menolong orang-orang musyrik dalam usaha memerangi Baginda dan kaum mukmin. 

Perbuatan yang mereka lakukan itu amatlah buruk kerana hanya mengikut kehendak hawa nafsu dan hasutan semata. Ini adalah seburuk-buruk amal yang mereka persiapkan dan akan dipersembahkan untuk akhirat mereka. Inilah yang mengakibatkan mereka mendapat kemurkaan Allah Swt hingga ke hari kiamat dan pasti mendapat balasan daripada-Nya berupa azab api neraka buat  selama-lamanya. 

Ayat 81

وَلَوْ كَانُوا۟ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلنَّبِىِّ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مَا ٱتَّخَذُوهُمْ أَوْلِيَآءَ وَلَـٰكِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُمْ فَـٰسِقُونَ

Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.

Sekiranya mereka benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala, Rasulullah saw dan Al-Quran yang diturunkan-Nya nescaya mereka tidak akan mengambil orang-orang musyrik itu menjadi penolong-penolong dan tidak pula menjadikan orang-orang beriman musuh mereka. Namun kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasik.